Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump ‘secara aktif’ bincang kemungkinan beli Greenland

Jan 8, 2026 | 12:54 PM
Amerika Syarikat, Donald Trump, Greenland
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengesahkan pentadbirannya sedang meneliti secara aktif kemungkinan membeli Greenland daripada Denmark atas alasan keselamatan negara, sambil menegaskan diplomasi kekal sebagai keutamaan walaupun semua pilihan masih terbuka. Gambar menunjukkan seorang pelancong di Nuuk, Greenland, pada 9 Mac 2025. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengesahkan pentadbirannya sedang membincangkan secara aktif kemungkinan untuk membeli Greenland, satu wilayah autonomi milik Denmark.

Beliau turut menegaskan walaupun pendekatan diplomatik menjadi keutamaan, pilihan ketenteraan tidak diketepikan sepenuhnya.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata perbincangan itu melibatkan Encik Trump dan pasukan keselamatan negaranya.

“Perkara tersebut sedang dibincangkan secara aktif oleh presiden bersama pasukan keselamatan nasionalnya,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan tawaran Amerika untuk membeli wilayah tersebut daripada Denmark.

“Pasukan beliau sedang menilai bagaimana bentuk pembelian yang berpotensi itu.”

Cik Leavitt mengulangi pendirian Encik Trump bahawa penguasaan Greenland dilihat penting dari sudut keselamatan negara Amerika, khususnya dalam konteks geopolitik Artik yang semakin tegang.

“Beliau melihatnya sebagai kepentingan terbaik Amerika untuk mengekang pencerobohan Russia dan China di rantau Artik.

“Itulah sebab pasukannya sedang membincangkan kemungkinan pembelian tersebut,” katanya.

Apabila ditanya mengapa Encik Trump enggan menolak penggunaan kekerasan terhadap sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sendiri, Cik Leavitt menjawab semua pilihan sentiasa terbuka.

“Itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi presiden ini.

“Semua pilihan sentiasa ada di atas meja. Namun, saya ingin tegaskan bahawa pilihan pertama presiden sentiasa diplomasi,” katanya.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut mengesahkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil Denmark pada minggu depan, susulan permintaan rasmi Copenhagen untuk mengadakan rundingan berhubung kenyataan Encik Trump mengenai Greenland.

“Saya akan bertemu mereka minggu depan,” katanya kepada wartawan.

Kenyataan tersebut mencetuskan kebimbangan di Eropah, dengan beberapa pemimpin utama, termasuk di Perancis dan Jerman, mengumumkan mereka sedang menyediakan pelan tindak balas sekiranya Amerika benar-benar melaksanakan ancaman untuk mengambil alih Greenland.

Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, berkata negara Eropah mahu bertindak secara bersama sekiranya Washington bertindak di luar norma antarabangsa.

“Kami mahu bertindak bersama rakan-rakan Eropah,” katanya dalam wawancara radio, France Inter.

Beliau turut memaklumkan telah berbincang dengan Encik Rubio, yang menurutnya menolak kemungkinan apa yang berlaku di Venezuela baru-baru ini boleh berulang di Greenland.

“Beliau menolak idea bahawa apa yang berlaku di Venezuela boleh berlaku di Greenland,” kata Encik Barrot.

Pada 3 Januari, Amerika melancarkan operasi ketenteraan di Caracas yang membawa kepada penangkapan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro – kini digulingkan – dan membawanya ke New York untuk dibicarakan atas tuduhan berkaitan dadah.

Tindakan itu mencetuskan kecaman meluas serta kebimbangan bahawa Washington mungkin menggunakan pendekatan serupa di lokasi lain yang dianggap strategik.

Kebimbangan itu semakin meningkat memandangkan Encik Trump sebelum ini secara terbuka menyatakan Greenland sepatutnya menjadi sebahagian daripada rangka keselamatan Amerika.

Namun begitu, sekutu Eropah segera menyatakan sokongan terhadap kedaulatan Greenland, dengan menegaskan wilayah itu milik rakyatnya sendiri.

Denmark memberi amaran sebarang cubaan untuk mengambil Greenland secara paksa akan membawa implikasi serius terhadap hubungan keselamatan, termasuk kerjasama Nato yang terjalin selama hampir lapan dekad.

Menurut kenyataan menteri luarnya, pemerintah Greenland mengesahkan ia akan menyertai mesyuarat antara Encik Rubio dengan pegawai Denmark minggu depan.

Presiden Majlis Eropah, Encik Antonio Costa, menegaskan Kesatuan Eropah (EU) akan menyokong Denmark dan Greenland sekiranya diperlukan.

“Mengenai Greenland, izinkan saya berterus terang: Greenland milik rakyatnya.

“Tiada apa-apa boleh diputuskan mengenai Denmark atau Greenland tanpa Denmark atau Greenland,” katanya dalam satu ucapan.

“EU tidak boleh menerima pelanggaran undang-undang antarabangsa, di mana-mana sahaja ia berlaku.”

Greenland, pulau terbesar di dunia dengan sekitar 57,000 penduduk, terletak di antara Eropah dengan Amerika Utara serta mempunyai kepentingan strategik yang semakin meningkat akibat perubahan iklim dan laluan Artik yang semakin terbuka.

Sejak 2019, ketika penggal pertama Encik Trump, idea menguasai Greenland telah beberapa kali dibangkitkan atas alasan keselamatan negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg