Pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), melantik Encik Abdul Hakim Mahfudz sebagai pengerusi baharu pada sidang pleno terakhir, 31 Ogos, sekali gus mengakhiri muktamar lima hari yang dibayangi percaturan politik.

Muktamar itu dibayangi dakwaan wujud rundingan di belakang tabir untuk memastikan pasangan pengerusi dan pemimpin tertinggi kerohanian yang mendapat sokongan pemerintah dipilih, selain tentangan ulama kanan NU yang mahukan mekanisme pemilihan kekal bebas dan autonomi.

Encik Abdul, yang lebih dikenali dengan panggilan Gus Kikin, akan memimpin NU bagi tempoh lima tahun akan datang bersama pemimpin tertinggi kerohaniannya atau Rais A’am, Encik Miftachul Akhyar, yang dipilih semula pada malam 30 Ogos untuk penggal kedua.

Encik Miftachul memainkan peranan penting dalam usaha menggugurkan pengerusi ketika itu, Encik Yahya Cholil Staquf, buat sementara waktu pada lewat 2025.

Langkah itu diambil atas alasan Encik Yahya mengundang Encik Peter Berkowitz, seorang sarjana Amerika Syarikat dari Universiti Stanford yang dikenali kerana menyokong tindakan Israel di Gaza, untuk berucap dalam program latihan kepimpinan NU di Jakarta pada Ogos 2025, selain dakwaan salah urus kewangan lembaga eksekutif pertubuhan itu.

Encik Yahya bagaimanapun berjaya mengatasi krisis kepimpinannya dan berusaha mendapatkan pemilihan semula, dengan namanya berada dalam kalangan lima calon utama bagi jawatan pengerusi baharu.

Kedudukan Encik Miftachul sebagai pemimpin tertinggi NU bagi penggal baharu turut memainkan peranan penting dalam mengesahkan lima calon yang akan dipertimbangkan bagi jawatan pengerusi dalam Muktamar NU ke-35 di Pondok Pesantren Bahrul Ulum, Jombang, Jawa Timur.

Encik Abdul dipilih sebagai pengerusi oleh forum perundangan NU yang dikenali sebagai Ahlul Halli wal Aqdi (AHWA).

Anggota AHWA, termasuk Encik Miftachul, terdiri daripada ulama kanan NU yang dipilih menganggotai forum itu semasa muktamar.

“Selepas bermusyawarah mengenai lima calon yang dicalonkan, anggota Ahlul Halli wal Aqdi sebulat suara memutuskan untuk memilih Kiai Haji Abdul Hakim, yang lebih dikenali sebagai Gus Kikin, sebagai Pengerusi Pengurus Besar Nahdlatul Ulama bagi penggal 2026-2031,” kata anggota AHWA, Encik Anwar Iskandar, kepada peserta muktamar.

Selepas menandatangani surat pelantikannya yang dikenali sebagai Kontrak Jami’ah, Encik Abdul berikrar di hadapan peserta muktamar bahawa beliau memenuhi dan akan melaksanakan enam syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh kepimpinannya.

Antaranya ialah beliau tidak memegang jawatan awam atau jawatan politik ketika ini, selain tidak pernah menjadi pegawai parti politik atau pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan parti politik dalam tempoh setahun lalu.

Dua syarat itu sebelum ini menyebabkan Menteri Agama Indonesia, Encik Nasaruddin Umar, mengumumkan pada 27 Ogos lalu bahawa beliau tidak akan bertanding bagi jawatan pengerusi NU.

Nama Encik Nasaruddin sebelum itu disebut secara meluas sebagai calon berpotensi dan dikatakan sebahagian daripada apa yang digelar “pakej istana”, iaitu pasangan calon pengerusi dan pemimpin tertinggi kerohanian yang didakwa mendapat sokongan tidak rasmi pemerintah.

Syarat kedua turut mencetuskan kekecohan pada 30 Ogos apabila penyokong seorang lagi calon berpotensi, Encik Muhammad Yusuf Chudlori, menuntut supaya peraturan yang mewajibkan bekas pemegang jawatan politik menjalani tempoh menunggu selama setahun sebelum boleh bertanding sebagai pengerusi dipinda.

Mengikut peraturan itu, Encik Yusuf masih dalam tempoh menunggu selepas berundur daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), sebuah parti politik yang mempunyai hubungan rapat dengan NU.

Peraturan tersebut sekali gus menghalang Encik Yusuf daripada bertanding sebagai calon rasmi.

Encik Abdul berkata di bawah kepimpinannya, NU akan dikekalkan sebagai pertubuhan sosial dan kemasyarakatan serta tidak akan terbabit dalam politik, sambil terus menyokong pemerintah.

“Itu satu kewajipan. Kita sentiasa mempunyai kewajipan untuk menyokong pemerintah,” katanya kepada wartawan selepas menandatangani surat pelantikan.

Beliau berkata NU perlu kembali kepada asasnya dan kekal sebagai pertubuhan keagamaan dan kemasyarakatan.

“Kita menjadikan prinsip agama sebagai landasan. Apabila kita berpijak pada prinsip itu, kita akan memberi keutamaan kepada pembangunan manusia,” katanya.

Muktamar itu dijadual berakhir pada lewat 31 Ogos dengan Presiden Prabowo Subianto hadir dan merasmikan majlis penutupannya.