JAKARTA: Pemilihan kepimpinan Nahdlatul Ulama (NU) pada Muktamar Ke-35 pada 1 hingga 5 Ogos ini bukan sekadar proses memilih pemimpin baharu bagi organisasi Islam terbesar di dunia.

Proses itu dianggap antara peralihan kepimpinan paling penting di Asia Tenggara kerana bakal menentukan hala tuju NU pada abad keduanya.

Ia sekali gus mempengaruhi perkembangan demokrasi, pendidikan Islam dan landskap sosial Indonesia menjelang Pilihan Raya Presiden 2029.

Dengan puluhan juta anggota, rangkaian ribuan pesantren, universiti, hospital, yayasan kebajikan dan pengaruh yang meluas hingga ke peringkat akar umbi, NU bukan sekadar sebuah pertubuhan keagamaan.

Sebaliknya, organisasi yang diasaskan pada 1926 itu telah berkembang menjadi institusi masyarakat sivil paling berpengaruh di Indonesia, malah kerap dijadikan rujukan dalam perbincangan mengenai Islam sederhana dan demokrasi dalam dunia Islam.

Sejak hampir seabad lalu, NU memainkan peranan penting dalam membentuk identiti Islam Indonesia yang menekankan kesederhanaan, toleransi dan keseimbangan antara tradisi dengan kemodenan.

Pengaruhnya tidak hanya terletak pada autoriti agama, malah keupayaannya menjadi jambatan antara pemerintah, masyarakat dengan institusi agama ketika negara berdepan pelbagai krisis.

Atas sebab itu, penganalisis politik dan masyarakat sivil Indonesia, Encik Samsul Muarif, berpendapat pemilihan kepimpinan baharu pada Muktamar Ke-35 dilihat lebih daripada perebutan jawatan.

Persoalan utama adalah sama ada NU mampu menyesuaikan diri dengan cabaran abad ke-21 tanpa mengorbankan prinsip yang menjadi asas penubuhannya.

Dalam konteks akademik, ahli antropologi politik dari Universiti Boston, Amerika Syarikat, Profesor Robert W. Hefner, berhujah bahawa NU menjadi salah satu tonggak utama ketahanan demokrasi Indonesia kerana berjaya menggabungkan pendidikan agama, masyarakat sivil dan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi.

Sementara itu, Profesor Greg Barton, pakar politik dan Islam dari Universiti Deakin, Australia, berpendapat kekuatan NU terletak pada keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan tradisi keilmuan Islam yang diwarisi sejak penubuhannya.

Mereka berpendapat kejayaan Indonesia mengekalkan sistem demokrasi dalam sebuah negara majoriti Islam tidak dapat dipisahkan daripada peranan organisasi masyarakat sivil seperti NU yang menggalakkan dialog, penyelesaian konflik secara damai dan kesederhanaan beragama.

Namun, cabaran yang dihadapi NU hari ini jauh berbeza berbanding ketika organisasi itu diasaskan hampir 100 tahun lalu.

Jika generasi pengasas berdepan penjajahan Belanda dan perjuangan kemerdekaan, generasi baharu pula perlu menangani kesan kecerdasan buatan (AI), ledakan media sosial, perubahan struktur ekonomi, perubahan iklim serta persaingan geopolitik yang kian kompleks.

Perubahan itu turut mengubah cara masyarakat memperoleh ilmu agama.

Jika sebelum ini autoriti ulama banyak dibentuk melalui sistem pesantren dan sanad keilmuan, kini masyarakat memperoleh pelbagai pandangan agama secara langsung daripada wadah digital, sekali gus mencabar kedudukan institusi tradisional.

Pada masa sama, Indonesia sedang menikmati bonus demografi dengan jumlah penduduk muda yang besar.

Keadaan itu membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi, namun hanya dapat dimanfaatkan sekiranya negara mempunyai sistem pendidikan bermutu, institusi yang kukuh serta kepimpinan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Dalam keadaan sedemikian, persoalan mengenai siapakah yang bakal memimpin NU menjadi semakin signifikan kerana pemimpin baharu bukan sekadar mengurus organisasi selama lima tahun, malah menentukan bagaimana NU akan berdepan perubahan sosial, pendidikan, ekonomi dan teknologi masa depan.

Penganalisis Encik Samsul berpendapat legitimasi sejarah semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memastikan sesebuah organisasi kekal relevan.

Sebaliknya, organisasi besar perlu memperbaharui sistem tadbir urus, kepimpinan dan strategi tanpa mengabaikan nilai asas yang menjadi identitinya.

Muktamar kali ini turut menjadi lambang permulaan abad kedua NU.

Justeru, keputusan yang dibuat bukan sekadar memilih individu tertentu, bahkan menentukan sama ada organisasi itu akan mengekalkan pendekatan sedia ada, melakukan penyesuaian secara berperingkat atau melaksanakan pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh.

Walaupun NU kembali kepada Khittah 1926 pada 1984, iaitu dasar yang mengembalikan organisasi itu kepada peranan asal sebagai pertubuhan keagamaan dan kemasyarakatan, bukan parti politik, pengaruh moralnya tetap besar dalam membentuk wacana awam dan dasar negara.

Berbeza dengan parti politik yang bergantung kepada pilihan raya, pengaruh NU dibina melalui jaringan ulama, institusi pendidikan, kegiatan kemasyarakatan dan hubungan rapat dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

Keadaan ini menjadikan NU sebagai antara institusi masyarakat sivil paling berpengaruh di Indonesia.

Dalam teori modal sosial yang dikemukakan ahli sains politik, Profesor Robert Putnam, organisasi seperti NU berfungsi membina kepercayaan, kerjasama dan penyertaan masyarakat, sekali gus mengukuhkan sistem demokrasi.

Atas sebab itu juga, hampir semua pemerintah Indonesia menjadikan NU sebagai rakan strategik dalam menangani isu pendidikan, perpaduan, kemiskinan, ekstremisme dan pembangunan masyarakat.

Bagaimanapun, hubungan tersebut tidak bermaksud NU berada di bawah pengaruh pemerintah.

Sebaliknya, dalam demokrasi yang matang, organisasi masyarakat sivil perlu mengekalkan autonomi supaya mampu terus berfungsi sebagai suara moral yang bebas.

Dalam kalangan warga NU sendiri, perbincangan menjelang muktamar memperlihatkan dua persoalan utama.

Pertama, apakah pemimpin baharu perlu mengekalkan kesinambungan kepimpinan sedia ada atau membawa pembaharuan yang lebih menyeluruh.

Kedua, sejauh manakah pemimpin baharu mampu mempertahankan tradisi keilmuan NU sambil menyesuaikannya dengan cabaran era digital.

Ahli sejarah Islam Indonesia, Profesor Martin van Bruinessen, pula berpendapat kekuatan NU sepanjang hampir seabad bukan hanya terletak pada jumlah anggotanya, bahkan pada kesinambungan tradisi pesantren dan kewibawaan ulama yang menjadi asas kepimpinan organisasi itu.

Dalam tradisi NU, jawatan Rais Aam, yang merupakan kedudukan tertinggi dalam kepimpinan keagamaan, penyandangnya bertanggungjawab membimbing hal ehwal agama serta meneruskan tradisi keilmuan yang menjadi teras NU sejak 1926

Oleh itu, ukuran utama bukan hanya pengalaman pentadbiran, bahkan juga kedalaman ilmu agama, integriti moral, sumbangan kepada umat dan kemampuan menjadi teladan.

Pandangan itu berasaskan contoh tiga tokoh pengasas utama NU iaitu Allahyarham Hadratussyekh KH M. Hasyim Asy’ari, Allahyarham KH Abdul Wahab Chasbullah, dan Allahyarham KH Bisri Syansuri.

Ketiga-tiga tokoh berkenaan bukan sahaja diiktiraf sebagai ulama besar, malah meninggalkan karya ilmiah, membangunkan institusi pendidikan serta memainkan peranan penting dalam perjuangan kebangsaan Indonesia.

Bagi memastikan jawatan tertinggi itu diisi individu yang memenuhi standard tersebut, NU mengekalkan sistem ahlul halli wal ‘aqdi (AHWA), iaitu mekanisme pemilihan yang melibatkan sembilan ulama kanan bagi menentukan calon Rais Aam.

Sistem itu diperkenalkan pada Muktamar Ke-33 pada 2015 sebagai usaha memastikan pemilihan dibuat berdasarkan pertimbangan keilmuan dan musyawarah, bukan pertandingan politik secara terbuka.

Menjelang Muktamar Ke-35, beberapa nama ulama kanan telah disebut sebagai calon anggota AHWA, sekali gus mencerminkan usaha mengekalkan kesinambungan tradisi keilmuan NU sambil menyediakan ruang kepada generasi baharu.

Bagi pemerhati politik, keputusan muktamar kali ini mempunyai implikasi yang melangkaui organisasi itu sendiri.

Ketika Indonesia menuju Pilihan Raya Presiden 2029, kekuatan institusi masyarakat sivil akan menjadi sama penting dengan kekuatan parti politik dalam memastikan kestabilan demokrasi negara.

Sekiranya NU berjaya mengekalkan kebebasan institusinya, memperkukuh pendidikan Islam, memanfaatkan teknologi baharu serta terus mempromosikan kesederhanaan dan dialog antara agama, organisasi itu dijangka terus menjadi faktor penstabil utama dalam politik dan masyarakat Indonesia.

Sebaliknya, sekiranya NU gagal menyesuaikan diri dengan perubahan zaman atau terlalu terpengaruh dengan kepentingan politik jangka pendek, ia berisiko kehilangan sebahagian daripada pengaruh moral yang dibina sepanjang seabad lalu.

Atas sebab itu, Muktamar Ke-35 bukan sekadar pemilihan kepimpinan organisasi Islam terbesar di dunia, malah, turut menjadi petunjuk bagaimana NU akan memasuki abad keduanya dan sejauh manakah ia mampu terus menjadi tonggak kestabilan demokrasi, perpaduan sosial serta pembangunan Islam sederhana di Indonesia dan rantau Asia Tenggara. – Agensi berita.