JAKARTA: Kumpulan hak asasi manusia telah membantah pencalonan Allahyarham Presiden Suharto dalam senarai pendek yang dicadangkan oleh pemerintah untuk status wira negara.
Kumpulan itu mengecam pencabulan hak asasi manusia yang berlaku sepanjang pemerintahannya sebagai asas penolakan tersebut .
Menteri Hal Ehwal Sosial Encik Saifullah Yusuf pada 21 Oktober telah menyerahkan senarai 40 calon kepada Menteri Kebudayaan Encik Fadli Zon, yang juga pengerusi lembaga anugerah dan gelaran kehormat, yang mempunyai kuasa dalam menentukan siapa yang akan dinamakan wira negara.
Selain Allahyarham Presiden Suharto, senarai itu juga termasuk Allahyarham Presiden Abdurrahman ‘Gus Dur’ Wahid yang dikenali sebagai pejuang pluralisme dan Islam sederhana, aktivis pekerja Allahyarhamha Marsinah yang dibunuh semasa era ‘Orde Baru’ Suharto dan mantan gabenor Jakarta Allahyarham Ali Sadikin.
“Nama-nama yang dicadangkan ini telah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu, jadi sesetengahnya mungkin telah memenuhi syarat untuk dinamakan wira negara sejak lima, enam, atau tujuh tahun yang lalu,” kata Encik Saifullah.
Beliau tidak mendedahkan siapa yang mengusulkan pencalonan tersebut.
Encik Fadli berkata lembaga itu akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan tersebut tidak lama lagi sebelum menyerahkannya kepada Presiden Prabowo Subianto.
Presiden Prabowo, 72 tahun, merupakan seorang leftenan-jeneral Tentera Darat yang telah bersara, ahli perniagaan dan Menteri Pertahanan yang sedang berkhidmat sejak 2019 hingga kini.
Beliau menceburi politik pada 2004 untuk mengejar impiannya menjadi Presiden.
Cadangan itu susulan komen Encik Saifullah pada awal April tentang kemungkinan mantan Presiden Suharto dinamakan sebagai wira negara pada 2025, yang mencetuskan bantahan awam terhadap laporan pelanggaran hak asasi manusia yang beliau lakukan sepanjang 32 tahun memegang jawatan Presiden.
Pencalonan Kementerian Hal Ehwal Sosial pada 21 Oktober telah mendapat kecaman daripada kumpulan hak asasi manusia, yang menganggap langkah itu sebagai “percubaan untuk memutarbelitkan sejarah”.
“Cadangan oleh pihak kementerian jelas merupakan percubaan sistematik untuk menutup kesalahan rejim kuku besi Suharto, yang penuh dengan rasuah, pakatan sulit, nepotisme dan pelanggaran hak asasi manusia,” kata pengarah eksekutif Amnesty International Indonesia, Encik Usman Hamid dalam satu kenyataan pada 22 Oktober.
“Jika cadangan ini diteruskan, gerakan reformasi berpotensi berakhir di tangan pentadbiran Prabowo,” kata Encik Usman, sambil menambah bahawa ia akan menjadi pengkhianatan terbesar terhadap mandat rakyat sejak 1998, yang menyebabkan Presiden Suharto meletak jawatan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg