Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usul hidupkan semula Garis Panduan Dasar Negara Indonesia cetus kontroversi

Aug 13, 2025 | 4:19 PM
Parlimen Indonesia
Anggota parlimen menghadiri sesi pleno Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR)di kompleks perundangan Senayan, Jakarta. - Foto INSTAGRAM #MPR RI#

JAKARTA: Rancangan baru Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) untuk menghidupkan semula garis panduan dasar negara yang telah dimansuhkan menimbulkan kebimbangan akan membuka ‘kotak pandora’ yang berpotensi melemahkan lagi demokrasi di Indonesia.

Pada 2024, MPR membatalkan cadangan memperkenalkan semula Garis Besar Haluan Negara (GBHN) atau versi barunya, Pokok-Pokok Haluan Negara (PPHN).

Ini selepas timbul kebimbangan awam bahawa proses itu boleh digunakan untuk melanjutkan tempoh pemerintahan Presiden ketika itu, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Namun, baru-baru ini cadangan tersebut dihidupkan kembali bagi merangka hala tuju pembangunan negara untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang.

PPHN, yang mengingatkan kepada era Orde Baru di bawah Suharto, memerlukan pindaan Perlembagaan, kali pertama sejak empat pindaan antara 1999 hingga 2002 yang menandakan peralihan demokrasi selepas kejatuhan Presiden kedua Indonesia itu.

Pengkritik bimbang proses tersebut boleh membuka ruang kepada perubahan yang lebih besar, termasuk mengembalikan status MPR sebagai institusi tertinggi negara dan kuasa melantik presiden secara tidak langsung.

Timbalan Ketua MPR, Encik Eddy Soeparno daripada Parti Amanat Nasional (PAN), pada 12 Ogos mempertahankan cadangan itu dengan alasan untuk “menjamin kesinambungan pembangunan negara”, khususnya dalam pertumbuhan ekonomi dan peningkatan sumber manusia.

Menurutnya, perbincangan kini tertumpu kepada kaedah menguatkuasakan PPHN, sama ada melalui pindaan perlembagaan, persetujuan bersama, undang-undang, atau dekri MPR yang memerlukan pindaan bagi mengembalikan kuasa meluluskan dasar secara sepihak.

Encik Eddy menegaskan kepada The Jakarta Post, “Tiada peruntukan dalam PPHN yang menyentuh soal perubahan sistem pilihan raya atau presiden dipilih oleh MPR.”

Encik Fajri Nursyamsi daripada Pusat Kajian Undang-Undang dan Dasar (PSHK) berkata garis panduan seperti GBHN sudah tidak relevan selepas pindaan perlembagaan yang memperkukuh pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Mengembalikan garis panduan ini membuka ruang kepada manipulasi politik dan ketidakseimbangan kuasa,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa GBHN pada era Orde Baru digunakan untuk menggugurkan presiden, seperti Sukarno dan Encik Abdurrahman Wahid, tetapi juga melindungi Suharto daripada digulingkan.

Pakar undang-undang perlembagaan, Encik Yance Arizona, mengkritik kurangnya ketelusan dalam proses penyediaan dokumen ini.

“Tiada kejelasan tentang bagaimana ia disusun atau kandungannya. Tiada keperluan mendesak untuk memperkenalkannya,” katanya sambil memberi amaran langkah tersebut boleh mengembalikan struktur politik Orde Baru yang menempatkan MPR di puncak kuasa negara.

Penganalisis Encik Nicky Fahrizal daripada Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) pula berkata, menghidupkan semula garis panduan era lama itu boleh menjadi langkah awal ke arah pemilihan presiden secara tidak langsung oleh MPR.

Ini selari dengan kecenderungan Presiden Prabowo Subianto ke arah demokrasi yang lebih “terkawal”.

Menurutnya, proses itu boleh bermula dari bawah, seperti menukar pilihan raya daerah daripada sistem langsung kepada tidak langsung, yang pernah diusulkan Presiden Prabowo dan disokong gabungannya.

“Jika itu berlaku, sangat mungkin ia akan berkembang kepada isu pemilihan presiden,” katanya.

Encik Nicky memberi amaran bahawa walaupun pindaan perlembagaan adalah sah, menggunakannya untuk mengembalikan peranan MPR seperti sebelum era Reformasi akan melemahkan demokrasi semasa termasuk hak rakyat memilih presiden secara langsung.

“Hak perlembagaan paling konkrit rakyat hari ini ialah hak mengundi. Jika itu dihapuskan, peranan rakyat akan terbatas kepada memilih ahli DPR sahaja,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg