WASHINGTON: Konglomerat teknologi berbilang negara, Google Alphabet, didapati melanggar undang-undang dengan melakukan monopoli haram bagi khidmat carian dalam talian, kata hakim persekutuan Amerika Syarikat yang membuat keputusan tersebut pada 5 Ogos.
Ini sekali gus merupakan kemenangan besar pertama bagi penguasa antimonopoli Amerika yang telah memfailkan beberapa tindakan undang-undang bagi mencabar penguasaan pasaran oleh syarikat-syarikat gergasi teknologi.
Keputusan itu juga membuka jalan kepada perbicaraan kedua untuk menentukan tindakan susulan, mungkin termasuk memecahkan Alphabet, yang akan mengubah landskap dunia pengiklanan dalam talian yang telah dikuasai Google selama bertahun-tahun.
Ia juga merupakan lampu hijau kepada penguasa antimonopoli Amerika untuk bertindak secara agresif terhadap syarikat teknologi gergasi yang menghadapi kritikan dari seluruh spektrum politik.
“Mahkamah mencapai kesimpulan berikut: Google ialah monopoli dan ia telah bertindak untuk mengekalkan monopolinya,” kata Hakim Daerah Amit Mehta.
Gergasi enjin carian itu mengawal kira-kira 90 peratus pasaran carian dalam talian dan 95 peratus pada telefon pintar.
Fasa “pemulihan” mungkin panjang kerana proses rayuan di pelbagai peringkat mahkamah.
Saham Alphabet, syarikat induk Google jatuh 4.3 peratus pada 5 Ogos sebagai sebahagian daripada penurunan saham teknologi yang luas. Pengiklanan Google ialah 77 peratus daripada jumlah jualan Alphabet pada 2023.
Alphabet berkata ia merancang untuk merayu keputusan Hakim Mehta.
“Keputusan ini mengiktiraf bahawa Google menawarkan enjin carian terbaik, tetapi menyimpulkan bahawa kami tidak sepatutnya dibenarkan untuk menjadikannya mudah didapati,” kata Google dalam satu kenyataan.
Peguam Negara Amerika, Encik Merrick Garland, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “kemenangan bersejarah bagi rakyat Amerika”, sambil menambah bahawa “tiada syarikat – tidak kira betapa besar atau berpengaruh – berada di atas undang-undang”.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karine Jean-Pierre, berkata:
“Keputusan pro-persaingan adalah kemenangan bagi rakyat Amerika” sambil menambah bahawa “rakyat Amerika berhak mendapat Internet yang bebas, adil dan terbuka untuk persaingan”.
Hakim Mehta menyatakan Google telah membayar AS$26.3 bilion ($34.8 bilion) pada 2021 untuk memastikan enjin cariannya adalah kemestian pada telefon pintar dan penyemak imbas dan untuk mengekalkan bahagian pasaran dominannya.
Hakim Metha selanjutnya berkata: “Google, sudah tentu, menyedari kehilangan format carian itu akan memberi kesan secara dramatik kepada keuntungannya. Sebagai contoh, Google telah mengunjurkan bahawa kehilangan format Safari akan mengakibatkan penurunan ketara dalam pertanyaan dan berbilion-bilion dolar dalam kehilangan pendapatan.” – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg