Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hamas bebaskan kumpulan ketiga tebusan

Berhasrat lanjut perjanjian gencatan senjata
Nov 27, 2023 | 03:50 PM



DEIR AL-BALAH (Gaza): Gencatan senjata empat hari yang rapuh antara Israel dengan Hamas kembali ke landasannya pada Ahad apabila kumpulan militan membebaskan 17 lagi tebusan, termasuk 14 warga Israel dan warga Amerika Syarikat pertama, dalam pertukaran ketiga dalam tempoh empat hari.


Israel pula membebaskan 39 tahanan Palestin.

Amerika, yang memantau pelaksanaan perjanjian itu, berharap gencatan senjata dapat dilanjutkan selama mungkin.

Kebanyakan tebusan yang diserahkan terus kepada Israel sempat melambaikan tangan kepada orang ramai yang bersorak ketika mereka tiba di pangkalan tentera udara, manakala yang lain berlalu pergi melalui Mesir.

Tentera Israel berkata seorang tebusan telah dihantar ke hospital dan pengarah Pusat Perubatan Soroka berkata Cik Elma Avraham, 84 tahun, berada dalam keadaan yang mengancam nyawa “akibat daripada tempoh tahanan yang panjang dan tidak dijaga mengikut keperluan”.

Tebusan paling muda yang dibebaskan ialah Abigail Edan, seorang budak perempuan berusia 4 tahun dan dua warga negara Israel-Amerika, yang ibu bapanya terbunuh dalam serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober.

“Tidak dapat bayangkan apa yang dia alami,” kata Presiden Amerika, Encik Joe Biden, mengenai rakyat Amerika pertama yang dibebaskan di bawah gencatan senjata itu.

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk melanjutkan perjanjian gencatan senjata selama mungkin.

Secara keseluruhan, sembilan kanak-kanak berumur 17 tahun ke bawah berada dalam senarai itu, menurut pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Tiga lagi warga Thailand turut dibebaskan.

Secara berasingan, Hamas berkata ia telah membebaskan seorang tebusan Russia “sebagai balasan kepada usaha Presiden Russia, Encik Vladimir Putin”.

Tahanan Palestin yang dibebaskan pula adalah kanak-kanak dan remaja berusia antara 15 dengan 19 tahun –kebanyakannya dituduh melakukan kekacauan awam, kerosakan harta benda dan mencederakan pegawai Israel dengan membaling batu dan koktel Molotov.

Ramai daripada mereka diberkas dalam protes dan konfrontasi dengan tentera.

Pertukaran keempat dijangka pada Isnin – hari terakhir gencatan senjata di mana sejumlah 50 tebusan dan 150 tahanan Palestin akan dibebaskan.

Pengantara antarabangsa yang diketuai oleh Amerika, Mesir dan Qatar, cuba melanjutkan gencatan senjata yang bermula Jumaat itu.

Hamas buat kali pertama berkata ia akan berusaha untuk melanjutkan perjanjian itu dengan hasrat membebaskan lebih ramai tebusan.

Dalam satu kenyataan, Encik Netanyahu berkata beliau telah bercakap dengan Encik Biden dan mengulangi tawarannya untuk melanjutkan gencatan senjata dengan tambahan sehari bagi setiap 10 tebusan yang dibebaskan Hamas.

Namun, beliau menegaskan Israel akan meneruskan serangan sebaik sahaja gencatan senjata tamat.

Ini adalah gencatan senjata pertama dalam tujuh minggu perang berlangsung yang menyaksikan lebih 13,300 rakyat Palestin terbunuh, kira-kira dua pertiga adalah wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, yang diperintah Hamas.

Perang itu juga meragut lebih 1,200 warga Israel, kebanyakannya orang awam yang terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober.

Di New York, ratusan penunjuk perasaan dan sekutu Yahudi menuntut gencatan senjata kekal di Gaza, menutup lalu lintas kenderaan di Jambatan Manhattan di kedua-dua arah selama beberapa jam pada Ahad.

Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kumpulan bantuan terbesar sedang menunggu giliran membawa masuk kontena penghantaran ke utara Gaza dalam tempoh lebih sebulan.

Beliau, yang terbabit dalam konvoi bantuan kemanusiaan itu, berkata sebaik bekalan tiba, penduduk setempat yang keletihan terus meluru ke kontena membawa air untuk minum bagi menghilangkan kehausan.

Sebelum gencatan senjata empat hari antara Israel dan Hamas dimeterai Jumaat lalu, agensi PBB menyuarakan kebimbangan terhadap penyakit dan penyahhidratan di utara Gaza.

Ini kerana wilayah terbabit terputus daripada bantuan luar selama berminggu-minggu akibat tidak dapat bergerak berikutan terkepung disebabkan perang Israel-Hamas. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >