GAZA: Hamas mengumumkan pembubaran pemerintahannya di Gaza selepas hampir dua dekad mentadbir wilayah itu, dalam langkah yang disifatkan sebagai usaha strategik untuk membuka jalan kepada pentadbiran teknokrat di bawah pelan damai tajaan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam satu kenyataan pada 6 Julai, Hamas berkata pengerusi Jawatankuasa Pemerintahan Darurat dan Jawatankuasa Susulan Pemerintah, Encik Mohammed Abdul Khaleq al-Farra telah meletakkan jawatan, manakala jawatankuasa darurat itu dibubarkan bagi memudahkan proses penyerahan kuasa kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG).

Hamas menyifatkan keputusan itu sebagai “langkah strategik dan muktamad” untuk memenuhi tanggungjawab nasional serta mengurangkan penderitaan rakyat Gaza akibat perang berpanjangan, sekatan Israel dan kelewatan proses pembinaan semula.

“Kami mengambil langkah ini bagi memudahkan penyerahan pentadbiran Gaza kepada NCAG dan membantu meringankan penderitaan rakyat akibat pembunuhan beramai-ramai, sekatan berterusan dan kegagalan Israel berundur dari Gaza,” menurut kenyataan itu.

Sebelum pengumuman dibuat, Hamas turut membentangkan mekanisme penyerahan kuasa kepada wakil kumpulan Palestin, jawatankuasa kabilah dan pertubuhan masyarakat sivil dengan kehadiran pemerhati PBB.

NCAG merupakan badan teknokrat Palestin yang dibentuk pada Januari lalu susulan pelan damai “Pelan Komprehensif Menamatkan Konflik Gaza” yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum kemudian disokong menerusi resolusi Majlis Keselamatan PBB.

NCAG menyifatkan pihaknya sebagai sebuah badan bukan politik yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal awam harian di wilayah berkenaan.

Dianggotai oleh tokoh-tokoh nasional Palestin, jawatankuasa itu telah beroperasi dari Kahirah sejak pertengahan Januari lepas namun masih belum memulakan tugasnya dari dalam Jaluran Gaza.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu masih belum dapat memasuki Gaza kerana dihalang Israel walaupun ia dijangka mengambil alih urusan pentadbiran awam wilayah berkenaan.

Ketua Pejabat Media Hamas di Gaza, Encik Ismail al-Thawabta, berkata hanya kakitangan teknikal dan profesional akan kekal mengendalikan urusan harian Gaza sepanjang tempoh peralihan.

“Semua kakitangan yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan ialah penjawat awam dan bersedia sepenuhnya untuk bekerja di bawah NCAG,” katanya dalam sidang media di Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah.

Menurut Hamas, semua pekerja pemerintah akan terus menjalankan tugas seperti biasa bagi mengelakkan kekosongan pentadbiran dan gangguan terhadap perkhidmatan awam.

Langkah itu menandakan perubahan politik penting oleh Hamas yang mentadbir Gaza sejak kumpulannya merampas kawalan daripada Fatah pada 2007 selepas memenangi pilihan raya perundangan setahun sebelumnya.

Sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa di Gaza pada Oktober 2025, kumpulan itu berulang kali menyatakan kesediaan untuk berundur daripada pentadbiran, namun isu pelucutan senjata masih belum dapat diselesaikan.

Penganalisis politik Gaza, Encik Sharhabil al-Gharib, berkata langkah itu menunjukkan Hamas benar-benar mahu menyerahkan pentadbiran kepada badan teknokrat Palestin.

“Ia bukan sekadar langkah pentadbiran biasa tetapi mencerminkan keinginan serius Hamas untuk memindahkan kuasa pemerintahan kepada NCAG,” katanya.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan memberi tekanan kepada negara pengantara supaya memastikan jawatankuasa tersebut dibenarkan memasuki Gaza dan memulakan tugas.

Seorang pegawai Hamas sebelum ini memberitahu AFP bahawa kumpulan itu sudah memaklumkan keputusan berkenaan kepada faksi Palestin lain dalam satu mesyuarat di Kahirah.

“Faksi-faksi itu mengalu-alukan keputusan Hamas dan menyifatkannya sebagai langkah serius ke arah membolehkan NCAG mengambil alih peranan pentadbiran,” katanya.

Pembubaran badan pentadbiran Hamas yang dianggotai 15 ahli itu membuka laluan kepada NCAG yang diketuai teknokrat Palestin, Encik Ali Shaath, untuk mengambil alih tanggungjawab pentadbiran di wilayah berkenaan.

Ketua NCAG, Encik Ali Shaath, berkata badan itu bersedia mengambil alih pentadbiran awam Gaza apabila syarat diperlukan dipenuhi.

“Kejayaan pentadbiran baharu memerlukan satu kuasa pemerintahan, satu rangka undang-undang dan satu pasukan keselamatan yang bertanggungjawab kepada entiti itu,” katanya di platform X.

Namun, Israel menolak langkah Hamas itu dan menegaskan kumpulan tersebut masih perlu melucutkan senjata.

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, berkata mana-mana pemerintah awam di Gaza tetap akan dikawal Hamas selagi kumpulan itu masih bersenjata.

“Selagi Hamas mengekalkan senjata mereka, mana-mana pemerintah awam akan tetap bergerak mengikut arahan Hamas,” katanya.

Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, berkata keputusan itu membuktikan Hamas tidak lagi akan menerajui pentadbiran Gaza.

“Hamas mengambil satu lagi langkah baharu dengan tidak lagi mentadbir Jaluran Gaza bagi menghapuskan sebarang alasan yang digunakan pihak penjajah yang terus melakukan pencerobohan dan perang pembunuhan beramai-ramai.

“Kami berharap NCAG dapat memasuki Gaza dengan segera dan Hamas mengesahkan kesediaannya menyerahkan tanggungjawab pentadbiran kepada jawatankuasa itu bagi memastikan kejayaannya,” katanya kepada AFP.

Lembaga Keamanan yang diwujudkan di bawah pelan damai Trump pula berkata pihaknya mengambil maklum pengumuman Hamas tetapi akan menilai berdasarkan “tindakan, bukan janji”.

Lembaga itu turut menegaskan semua senjata di Gaza perlu berada di bawah kawalan NCAG seperti yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.

Walaupun gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 10 Oktober tahun lalu, rundingan antara Hamas dan Israel masih buntu terutama mengenai isu melucutkan senjata Hamas dan pembinaan semula Gaza.

Hamas menegaskan fasa pertama perjanjian perlu dilaksanakan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum perbincangan mengenai senjata dimulakan.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Walaupun serangan Israel berkurangan sejak gencatan senjata berkuat kuasa, tentera Israel masih melancarkan serangan hampir setiap hari dengan alasan menyasarkan anggota Hamas dan Jihad Islam Palestin.

Pada 6 Julai, sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Khan Younis dan Bandar Gaza.

Pemerhati berkata langkah Hamas membubarkan pemerintahannya mungkin menjadi titik perubahan penting dalam konflik Gaza, namun kejayaan pelan peralihan itu masih bergantung kepada kesediaan Israel, pengantara antarabangsa dan semua pihak Palestin melaksanakan perjanjian yang dipersetujui.

Hamas dan beberapa lagi faksi Palestin sudah mengadakan beberapa pusingan rundingan di Kahirah bersama pihak pengantara bagi merapatkan perbezaan, khususnya berhubung fasa kedua gencatan senjata di Gaza yang merangkumi pelucutan senjata Hamas.

Fasa pertama gencatan senjata menyaksikan pembebasan tebusan Israel terakhir yang ditahan Hamas sebagai pertukaran dengan rakyat Palestin yang ditahan Israel.

Bagaimanapun, peralihan kepada fasa kedua yang dijadual membabitkan pelucutan senjata Hamas dan pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari Gaza masih tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

Tentera Israel juga dilaporkan terus memperluaskan kawalan mereka di wilayah itu sejak kebelakangan ini sehingga menguasai hampir 70 peratus kawasan Gaza- Agensi berita