Topik diikuti
Pergi ke BHkuJawatankuasa Palestin sifatkan rundingan Cyprus produktif persiap Gaza pascaperang
Jawatankuasa Palestin sifatkan rundingan Cyprus produktif persiap Gaza pascaperang
Jawatankuasa Palestin sifatkan rundingan Cyprus produktif persiap Gaza pascaperang
NICOSIA, Cyprus: Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) memaklumkan bahawa pihaknya mengadakan beberapa siri mesyuarat yang disifatkan sebagai “amat produktif” di Cyprus bagi mempersiapkan fasa seterusnya usaha mengurangkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta merangka pelan pembinaan semula wilayah itu selepas perang.
Dalam satu kenyataan pada 1 Julai, jawatankuasa teknokrat Palestin yang ditubuhkan untuk mentadbir Gaza pascaperang berkata mesyuarat selama dua hari itu melibatkan wakil daripada Pejabat Wakil Tinggi Gaza diketuai bekas diplomat Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu (PBB), Encik Nickolay Mladenov, serta wakil daripada Institut Tony Blair bagi Perubahan Global - milik bekas perdana menteri Britain, Encik Tony Blair.
Menurut NCAG, perbincangan tertumpu kepada langkah segera bagi meringankan beban lebih dua juta penduduk Gaza yang masih berdepan krisis kemanusiaan, selain menyusun pelan pentadbiran dan keselamatan wilayah itu.
“Kami menumpukan perhatian terhadap perkara yang boleh dilaksanakan segera termasuk projek dan inisiatif bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat di lapangan.
“Kami turut meneliti pelan pembinaan semula, keselamatan dan tadbir urus, selain memuktamadkan aturan institusi bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti yang diperlukan penderma antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
NCAG berkata mesyuarat itu turut membincangkan mekanisme penyelarasan dengan Lembaga Keamanan dan Pejabat Wakil Tinggi Gaza bagi membolehkan jawatankuasa itu mengambil alih tanggungjawab pentadbiran apabila keadaan mengizinkan.
Jawatankuasa itu sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap pelan 20 perkara yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai asas pelaksanaan pelan damai dan pembinaan semula Gaza.
“Kami bersedia mengambil semua langkah yang perlu, dengan penyelarasan bersama Lembaga Keamanan dan Pejabat Wakil Tinggi, untuk memikul tanggungjawab apabila syarat yang sesuai dipenuhi,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, NCAG tidak menyatakan secara terperinci syarat berkenaan atau garis masa kemasukan jawatankuasa itu ke Gaza.
Sebelum ini, Lembaga Keamanan dilaporkan menetapkan bahawa NCAG hanya boleh mula beroperasi di Gaza sekiranya Hamas bersetuju melucutkan senjata.
Hamas pula menegaskan Israel perlu menghentikan pencabulan terhadap perjanjian gencatan senjata yang dicapai Oktober tahun lalu sebelum sebarang langkah pelucutan senjata dilaksanakan.
Mesyuarat di Cyprus itu diadakan susulan bengkel terdahulu di Kaherah dan disifatkan NCAG sebagai sebahagian daripada “proses lebih luas” bagi memastikan semua keperluan tersedia untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan pentadbiran awam dan perkhidmatan asas dapat dipulihkan secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.
Lembaga Keamanan ditubuhkan awal tahun 2026 menerusi pelan gencatan senjata disokong Amerika Syarikat yang turut mendapat sokongan PBB.
Di bawah fasa kedua pelan itu, Israel sepatutnya berundur secara berperingkat dari Gaza manakala Hamas menyerahkan senjatanya.
Namun sehingga kini kedua-dua perkara itu masih belum berlaku.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober lalu selepas perang selama dua tahun, keganasan masih berterusan di beberapa kawasan.
Israel juga masih menguasai lebih 60 peratus wilayah Gaza termasuk semua pintu masuk dan keluar, manakala sebahagian besar penduduk tertumpu di kawasan pesisir pantai.
Usaha pembinaan semula Gaza pula terus berdepan cabaran besar terutama dari sudut kewangan dan keselamatan.
Pada Mei lalu, satu sumber yang mengetahui operasi Lembaga Keamanan memberitahu AFP bahawa dana rasmi pembinaan semula Gaza masih belum menerima sebarang suntikan kewangan walaupun negara anggota menjanjikan bantuan berbilion dolar.
Dana itu yang diuruskan Bank Dunia dan disokong PBB dilaporkan belum menerima sumbangan rasmi daripada penderma antarabangsa sejak ia ditubuhkan.
Selain itu, Pasukan Penstabilan Antarabangsa untuk Gaza yang diumumkan ketika mesyuarat sulung Lembaga Keamanan juga masih belum dibentuk sepenuhnya.
Lima negara yang sebelum ini menyatakan kesediaan menyumbang anggota tentera dilaporkan belum memberikan komitmen ketenteraan yang signifikan.
Penubuhan Lembaga Keamanan turut mencetuskan pelbagai reaksi di peringkat antarabangsa apabila Encik Trump mengundang beberapa negara termasuk Russia menyertai inisiatif itu, meskipun sebahagian negara Eropah mengambil pendirian menjauhkan diri.
Pemerhati melihat struktur lembaga itu banyak dipengaruhi sekutu rapat Washington di Timur Tengah dan sekutu ideologi Trump, selain negara kecil yang mahu memperkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat.
Menurut beberapa penganalisis, pendekatan berpusat kepada Trump itu turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan jangka panjang pelan tersebut, terutama jika berlaku perubahan pentadbiran di Washington pada masa depan.
Dalam perkembangan berkaitan, penilaian bersama Kesatuan Eropah dan PBB yang diterbitkan April lalu menganggarkan lebih AS$71 bilion (S$96 bilion) diperlukan dalam tempoh sedekad bagi membina semula Gaza.
PBB pula terus memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di wilayah itu masih berada pada tahap “kritikal”, dengan jutaan penduduk masih bergantung kepada bantuan makanan, bekalan air bersih dan rawatan perubatan asas. - Agensi berita
