Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas enggan beri senarai tebusan, Israel boikot rundingan gencatan

Mar 4, 2024 | 1:38 PM
Rakyat Palestin memeriksa kerosakan yang berlaku selepas pengeboman tentera Israel di Rafah, selatan Gaza, pada 3 Mac.
Rakyat Palestin memeriksa kerosakan yang berlaku selepas pengeboman tentera Israel di Rafah, selatan Gaza, pada 3 Mac. - Foto Reuters

JALURAN GAZA: Israel memboikot rundingan gencatan senjata di Kaherah pada 3 Mac selepas Hamas menolak tuntutannya untuk senarai lengkap nama tebusan yang masih hidup, lapor sebuah akhbar Israel.

Delegasi Hamas tiba di Kahirah untuk rundingan itu yang dianggap sebagai halangan terakhir sebelum perjanjian dicapai bagi menghentikan pertempuran. Tetapi menjelang petang tidak ada tanda-tanda kehadiran perwakilan dari Israel.

“Tiada delegasi Israel di Kahirah,” kata Ynet, versi dalam talian akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, yang memetik pegawai Israel yang tidak dikenali sebagai berkata. “Hamas enggan memberikan jawapan yang jelas dan oleh itu tiada sebab untuk menghantar delegasi Israel.”

Perang meletus pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh 1,200 orang dan 240 yang lain dijadikan tebusan.

Washington telah menegaskan perjanjian gencatan senjata sudah hampir dan harus dilaksanakan menjelang permulaan Ramadan iaitu seminggu lagi.

Tetapi pihak yang bertelagah telah memberikan sedikit isyarat untuk berundur daripada tuntutan sebelumnya.

Selepas delegasi Hamas tiba, seorang pegawai Palestin memberitahu Reuters perjanjian itu “belum dicapai”. Tiada komen rasmi daripada Israel.

Seorang pegawai Amerika berkata laluan ke arah mencapai perjanjian itu adalah mudah yang meliputi satu rangka kerja.

Israel telah bersetuju dengan rangka kerja itu dan kini terpulang kepada Hamas untuk bertindak balas, kata pegawai Amerika itu.

Di bawah rangka kerja perjanjian itu, berpuluh-puluh tebusan yang ditahan oleh Hamas akan dibebaskan sebagai balasan kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin.

Bantuan akan dipertingkatkan untuk rakyat Gaza yang dilanda kebuluran. Pertempuran akan terhenti dan sekali gus mengelak serangan besar-besaran Israel ke atas Rafah – tempat berlindung separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg