Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Palestin digesa berarak ke Masjid Al-Aqsa bermula Ramadan

Feb 29, 2024 | 1:54 PM
Para penduduk Palestin berjalan sambil melihat bangunan-bangunan kediaman yang runtuh di kem perlindungan di Al-Nuseirat akibat serangan udara Israel pada 28 Februari.
Para penduduk Palestin berjalan sambil melihat bangunan-bangunan kediaman yang runtuh di kem perlindungan di Al-Nuseirat akibat serangan udara Israel pada 28 Februari. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH/DUBAI: Hamas gesa rakyat Palestin supaya berarak ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis pada permulaan Ramadan untuk meningkatkan tekanan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza sedang Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengharapkan ia akan dilaksanakan kelak.

Gesaan pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, itu dibuat berikutan komen Encik Biden, pada 27 Februari bahawa pada prinsipnya terdapat perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas semasa Ramadan yang bakal menyaksikan pembebasan baki tebusan yang ditahan Hamas.

Encik Biden berkata beliau berharap perjanjian sedemikian, yang menurut sumber akan membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan ke wilayah Palestin dan membawa pembebasan tahanan Palestin, dapat dimuktamadkan pada 4 Mac.

Ramadan dijangka bermula pada 10 Mac.

Kedua-dua Israel dan Hamas telah mengecilkan prospek untuk gencatan senjata dan pengantara Qatar berkata isu yang paling dipertikaikan masih belum selesai.

Israel berkata pada 26 Februari bahawa ia akan membenarkan solat pada Ramadan di Masjid Al-Aqsa tetapi menetapkan had mengikut keperluan keselamatan untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya pertempuran jika ramai penduduk Palestin hadir dan keganasan di Gaza masih berlaku.

“Ini adalah seruan kepada rakyat kita di Baitulmakdis dan Tebing Barat untuk berarak ke Al-Aqsa sejak hari pertama Ramadan,” kata Encik Haniyeh, yang menyifatkan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel sebagai langkah untuk menamatkan serangan Israel ke atas wilayah Palestin.

Dalam ucapan di televisyen, beliau berkata Hamas menunjukkan fleksibiliti dalam rundingan dengan Israel tetapi pada masa yang sama bersedia meneruskan pertempuran.

Israel berkata sebarang perjanjian dengan Hamas akan memerlukan kumpulan itu menggugurkan “tuntutan aneh”.

Hamas sedang menimbangkan cadangan, yang dipersetujui oleh Israel pada rundingan dengan pengantara di Paris minggu lalu, untuk gencatan senjata selama 40 hari. Kedua-dua pihak menghantar delegasi dalam rundingan di Qatar itu.

Sumber kanan yang rapat dengan rundingan itu berkata bahawa di bawah perjanjian itu, tentera Israel akan menarik diri dari kawasan berpenduduk. – Reuters.

Tetapi ia nampaknya tidak mahu memenuhi permintaan Hamas untuk menamatkan perang secara kekal dan pengunduran Israel, atau menyelesaikan nasib rakyat Israel yang ditahan oleh Hamas.

Israel memulakan serangan udara dan daratnya di Gaza selepas Hamas menyerang selatan Israel pada t Oktober, membunuh 1,200 orang dan menawan sekitar 240 yang lain sebagai tebusan. Seramai 136 tebusan masih ditahan Hamas..

Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel kini mencecah hampir 30,000 orang, menurut pegawai kesihatan Gaza, yang turut berkata ribuan lagi tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah di seluruh Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg