KAHIRAH: Usaha diplomatik bagi menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza memasuki fasa penting apabila pegawai kanan Hamas tiba di Mesir pada 5 Oktober untuk rundingan bersama Israel.
Amerika Syarikat berharap pertemuan ini mampu membuka jalan kepada persetujuan mencapai gencatan senjata.
Perunding Israel yang diketuai Menteri Hal Ehwal Strategik, Encik Ron Dermer, berangkat ke Mesir pada 6 Oktober bagi menghadiri rundingan di pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh, untuk membincangkan pembebasan tebusan sebagai sebahagian daripada rancangan Presiden Donald Trump menamatkan perang Gaza.
Delegasi Hamas diketuai Ketua Hamas di Gaza yang kini hidup dalam buangan, Encik Khalil Al-Hayya, yang tiba di Kahirah pada malam 5 Oktober bagi menyertai wakil Amerika dan Qatar.
Lawatan ini adalah yang pertama oleh Encik Al-Hayya ke Mesir selepas beliau terselamat daripada serangan udara Israel di Doha pada September.
Menurut rancangan yang dianjurkan Presiden Trump, rundingan ini dijangka menumpukan kepada pembebasan baki 48 tebusan di Gaza, di mana 20 daripadanya disahkan masih hidup.
Sebagai timbal balas, Israel dijangka membebaskan sehingga 250 banduan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan lebih 1,700 tahanan yang ditahan sejak perang bermula.
“Kami akan tahu dengan segera sama ada Hamas serius atau tidak melalui perbincangan teknikal ini, khususnya dari segi logistik,” kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, kepada NBC pada 5 Oktober.
Beliau menegaskan hari-hari mendatang adalah “kritikal” bagi menentukan hala tuju rundingan.
Encik Trump turut menggesa agar perbincangan dipercepatkan.
“Saya diberitahu fasa pertama sepatutnya diselesaikan minggu ini, dan saya meminta semua pihak BERGERAK PANTAS,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Rancangan Encik Trump yang merangkumi 20 langkah untuk menghentikan pertempuran, membebaskan tebusan dan menentukan masa depan pentadbiran Gaza, diterima sebahagiannya oleh kedua-dua pihak.
Hamas telah bersetuju dengan pembebasan tebusan serta beberapa elemen lain, tetapi menolak tuntutan paling sensitif seperti pelucutan senjata kumpulan itu.
Walaupun Encik Trump mengalu-alukan reaksi Hamas dan menyifatkannya sebagai tanda kesediaan ke arah “perdamaian berkekalan”, serangan Israel tidak berhenti.
Pada 5 Oktober, jet dan kereta kebal Israel terus membedil Gaza, menyebabkan sekurang-kurangnya 19 penduduk terbunuh, termasuk empat yang sedang mendapatkan bantuan di selatan wilayah itu.
“Semua sasaran tentera Israel hanyalah kanak-kanak,” kata Encik Shadi Mansour, bapa kepada Ameer, enam tahun, yang maut dalam serangan udara di kawasan Tuffah, Bandar Gaza, pada 4 Oktober.
Seorang lagi penduduk, Encik Ahmed Assad, yang berpindah ke kawasan tengah Gaza, berkata beliau berharap pelan Enciuk Trump akan membawa kelegaan tetapi realitinya masih tidak berubah. “Kami tidak nampak apa-apa perubahan. Sebaliknya, kami tidak tahu ke mana harus pergi,” ujarnya.
Di Israel, tanda keyakinan muncul apabila nilai mata wang shekel melonjak ke paras tertinggi dalam tiga tahun dan pasaran sahamnya mencatatkan rekod baru. “Untuk pertama kali dalam beberapa bulan, saya benar-benar berharap. Encik Trump memberikan kami harapan,” kata Cik Gil Shelly, penduduk Tel Aviv.
Namun, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berdepan tekanan dalaman.
Keluarga tebusan dan masyarakat awam mendesak perang dihentikan, manakala anggota gabungan kanan ekstrem dalam pemerintahannya menentang sebarang kompromi.
Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, memberi amaran di X bahawa menghentikan serangan ke atas Gaza adalah “kesilapan besar” manakala Menteri Keselamatan, Encik Itamar Ben-Gvir, turut mengancam untuk menggulingkan kerajaan jika perang dihentikan.
Sebaliknya, pemimpin pembangkang Yair Lapid memberi jaminan sokongan politik bagi memastikan pelan Encik Trump dapat diteruskan. “Kami tidak akan membenarkan perjanjian ini digagalkan,” katanya.
Sumber yang rapat dengan rundingan memberitahu agensi berita Reuters bahawa pusingan kali ini cuba mengelak pendekatan berperingkat yang sebelum ini sering gagal.
“Usaha kali ini berbeza kerana kita cuba mencapai perjanjian menyeluruh sebelum gencatan senjata diumumkan,” kata sumber tersebut.
Encik Rubio menegaskan rundingan tidak boleh berlarutan.
“Kita mahu ini berlaku dengan cepat, tidak boleh mengambil masa berminggu-minggu,” katanya kepada ABC.
Beliau secara terbuka menggesa Israel menghentikan pengeboman bagi memberi laluan kepada rundingan tebusan.
“Anda tidak boleh bebaskan tebusan ketika serangan masih berjalan,” tegasnya kepada CBS. “Tidak boleh ada perang ketika proses ini berlangsung.”
Pada masa yang sama, Washington menghantar Encik Jared Kushner dan Encik Steve Witkoff sebagai utusan khas bagi menyokong proses ini.
Hamas pula mendesak agar Israel menghentikan serangan udara, pengintipan dron dan menarik balik tentera dari dalam Bandar Gaza sebagai syarat kepada mereka menghentikan serangan balas.
Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, bagaimanapun memberi amaran bahawa operasi ketenteraan akan disambung jika perbincangan gagal.
Gambar dari AFPTV menunjukkan asap tebal di langit Gaza pada 6 Oktober, manakala agensi pertahanan awam Gaza berkata 20 orang terbunuh pada hari yang sama.
Penduduk Gaza seperti Ahmad Barbakh berharap Amerika menekan Israel agar segera menghentikan serangan. “Kami mahu pertukaran tebusan selesai supaya Israel tiada alasan untuk terus berperang,” katanya.
Menteri Luar Mesir menyifatkan pertemuan kali ini sebagai “peluang sebenar” bagi mencapai gencatan senjata mampan.
Namun hala tuju akhir masih belum jelas, terutamanya kerana Hamas menuntut suara dalam masa depan pentadbiran Gaza sementara pelan Encik Trump gariskan sebuah badan teknokratik bebas untuk mengurus wilayah itu. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg