GAZA: Israel dan Hamas dijangka memulakan rundingan bagi mengakhiri konflik dua tahun yang memusnahkan Gaza dan menjejas kestabilan Timur Tengah pada 6 Oktober.
Ini susulan langkah Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengalu-alukan tawaran kumpulan militan itu untuk membebaskan semua tebusan.
Mesir, sebagai perantara utama dalam rundingan gencatan senjata, berkata ia akan menjadi tuan rumah delegasi dari kedua-dua pihak bagi membincangkan kemungkinan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin.
Duta Khas Amerika, Encik Steve Witkoff, dan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, akan ke Mesir untuk menyertai rundingan tersebut, susulan permintaan Hamas bagi membincangkan rancangan Encik Trump bagi mengakhiri perang.
Usulan tersebut dilaporkan termasuk gencatan senjata segera, pengunduran tentera Israel secara berperingkat serta pertukaran tebusan dan tahanan.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyambut baik perjanjian berkenaan tetapi memberi amaran ia belum muktamad.
“Selepas rundingan, Israel telah bersetuju dengan garisan pengunduran awal yang telah kami kongsi dengan Hamas,” kata Encik Trump dalam satu catatan di media sosial pada 4 Oktober.
“Apabila Hamas mengesahkannya, gencatan senjata akan segera berkuat kuasa, pertukaran tebusan dan tahanan bermula, dan kami akan mencapai fasa seterusnya untuk mengakhiri ‘Bencana 3,000 tahun’ ini,” jelas seorang pegawai rasmi Israel yang mengesahkan pihak tentera telah mengambil langkah mempertahankan diri di Gaza.
Pihak Hamas pula berkata serangan udara berterusan, membunuh kian ramai penduduk Gaza.
Delegasi Israel di Mesir, diwakili Menteri Hal Ehwal Strategik, Encik Ron Dermer, sementara Encik Ghazi Hamad Osama Hamdan dan Encik Muhamed Darwish, akan mewakili Hamas.
Perbincangan akan memberi tumpuan kepada aturan akhir mengenai masa pembebasan tebusan dan senarai tahanan Palestin yang akan dibebaskan.
Encik Netanyahu, yang digesa Encik Trump untuk “segera hentikan pengeboman Gaza” bagi mendesak Hamas membebaskan tebusan Israel, berkata tentera Israel akan menyusun semula kedudukan mereka.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan melucutkan senjata Hamas dengan kekerasan.
Pertukaran tebusan Israel dan tahanan Palestin akan berlaku segera setelah perjanjian dicapai, sementara pelucutan senjata Hamas akan berlaku dalam fasa kedua, kata Encik Netanyahu.
“Saya harap dalam beberapa hari akan datang, semasa cuti umum Sukkot (perayaan kaum Yahudi yang meraikan penuaian musim gugur), kami dapat mengumumkan kepulangan semua tebusan kami,” kata Encik Netanyahu di televisyen Israel pada 4 Oktober.
Perayaan Sukkot bermula pada malam 6 Oktober dan berlangsung selama seminggu.
Maklumat lanjut mengenai rancangan Encik Trump, buat masa ini, masih terhad.
“Saya percaya mereka sudah bersedia untuk keamanan yang berkekalan,” kata Encik Trump, dalam satu catatan media sosial selepas Hamas memberi respons terhadap rancangan pentadbirannya yang diumumkan pada 6 Oktober.
Gesaan Encik Trump untuk gencatan senjata segera mungkin mencabar Encik Netanyahu secara politik, memandangkan beberapa anggota Kabinet sayap kanan beliau mungkin ragu-ragu untuk meneruskan perbincangan dengan Hamas.
Kumpulan tersebut – yang ditetapkan sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika, Kesatuan Eropah (EU) dan lain-lain – tidak bersetuju dengan beberapa syarat utama dalam rancangan Encik Trump, termasuk kewajipan melucutkan senjata dan tidak terlibat dalam pentadbiran Gaza selepas perang.
Hamas yang disokong Iran mencetuskan perang dengan menyerang Israel dari Gaza pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menculik 250 orang lagi.
Daripada jumlah itu, 48 individu masih berada di Gaza dan Israel mengatakan mereka percaya sekitar 20 orang masih hidup.
Israel telah kehilangan lebih 450 askar dalam pertempuran di Gaza sejak itu.
Lebih 66,000 rakyat Palestin terbunuh dalam perang ini, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah tersebut.
Perang Israel telah menyebabkan kelaparan di beberapa bahagian wilayah itu, menurut badan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menyebabkan panel yang disokong PBB mengisytiharkan ia sebagai genosid.
Hamas berkata penyerahan tebusan akan “bergantung kepada syarat-syarat yang diperlukan untuk melaksanakan pertukaran”.
“Kami akan memasuki rundingan mengenai semua perkara yang berkaitan dengan rancangan Amerika,” kata pegawai kanan Hamas, Encik Musa Abu Marzouk, kepada stesen televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar pada 4 Oktober. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg