Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas, Israel siap runding fasa kedua gencatan senjata

Feb 19, 2025 | 1:11 PM
Penduduk Palestin yang melarikan diri ketika perang tetapi telah pulang ke Gaza selepas gencatan senjata dikuat kuasa, kini berteduh dalam khemah untuk meneruskan kehidupan.
Penduduk Palestin yang melarikan diri ketika perang tetapi telah pulang ke Gaza selepas gencatan senjata dikuat kuasa, kini berteduh dalam khemah untuk meneruskan kehidupan. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Israel dan Hamas akan memulakan rundingan tidak langsung fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza, kata pegawai pada 18 Februari, ketika kumpulan Palestin berkata ia akan menyerahkan lebih ramai tebusan, termasuk mayat dua kanak-kanak.

Pemimpin Hamas di Gaza, Encik Khalil al-Hayya, berkata mayat empat tebusan, akan dikembalikan pada 20 Februari.

Enam tebusan yang masih hidup pula akan menyusul pada 22 Februari.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengesahkan perjanjian telah dicapai di Kahirah bagi memastikan pembebasan enam tebusan yang masih hidup pada 22 Februari; empat tebusan yang telah mati pada 20 Februari; dan empat lagi minggu depan yang tarikhnya belum ditetapkan.

Namun, pejabat Encik Netanyahu tidak memberikan butiran nama mereka.

Seorang pegawai Israel berkata tebusan yang mati akan menjalani pengenalan di Israel sebelum mereka dinamakan.

Rundingan untuk fasa kedua perjanjian itu sepatutnya bermula pada 2 Februari tetapi Qatar – yang, bersama Mesir dan Amerika Syarikat sebagai perantara – berkata rundingan itu belum bermula secara rasmi.

“Ia akan dijalankan minggu ini,” kata Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, pada sidang media di Baitulmakdis.

Israel telah memberikan isyarat bercampur-campur dalam beberapa minggu lalu berhubung penglibatannya dalam rundingan bagi tiga fasa perjanjian gencatan senjata itu.

Perjanjian yang berkuat kuasa pada 19 Januari itu bertujuan menamatkan secara kekal perang Gaza yang telah berlarutan selama 15 bulan.

Fasa pertama gencatan senjata selama 42 hari menyaksikan pemulangan 33 tebusan Israel sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin,

Ia kekal di landasan walaupun terdapat beberapa tuduhan pelanggaran yang mengancam menggagalkannya.

Tetapi, rundingan fasa kedua dijangka sukar kerana ia termasuk isu seperti pentadbiran Gaza selepas perang kerana terdapat jurang besar antara kedua-dua pihak.

“Kami tidak akan menerima kehadiran berterusan Hamas atau mana-mana organisasi pengganas lain di Gaza,” kata Encik Saar.

Namun, jika rundingan itu membina, Israel akan terus terlibat dan mungkin melanjutkan gencatan senjata ke fasa selanjutnya, tambah beliau.

Setakat ini, 19 tebusan Israel telah dibebaskan sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin di penjara Israel.

Hamas menawan lebih 240 tebusan dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang turut membunuh sekitar 1,200 orang.

Serangan balas Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 48,000 orang dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg