KAHIRAH: Mesir dan Qatar sedang mempergiat usaha menyelamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza, lapor stesen televisyen Mesir, Al Qahera.
Gencatan senjata kelihatan semakin rapuh sejak Hamas berkata ia telah menangguhkan pembebasan baki tebusan Israel yang ditahan di Gaza selepas Israel melanggar syarat perjanjian gencatan senjata.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sebelum ini telah memberi amaran kepada rakyat Palestin bahawa “neraka akan meletus” jika tebusan Israel tidak dibebaskan pada 15 Februari.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata bahawa negaranya akan meneruskan “serangan sengit” jika Hamas gagal menepati tarikh akhir itu.
Sumber Mesir memberitahu Reuters bahawa Qatar dan Mesir sedang berbincang dengan Hamas dan Israel untuk menghalang pembatalan perjanjian gencatan senjata dan memastikan ia selesai.
Delegasi Hamas telah tiba di Kahirah untuk meneruskan rundingan gencatan senjata, kata Hamas dalam satu kenyataan.
Mesir dan Qatar bersama Amerika menjadi perantara perjanjian yang berkuat kuasa pada 19 Januari selepas lebih setahun usaha diplomatik yang meluas dijalankan.
Dalam pada itu, Israel pada 12 Februari mengancam melancarkan perang “baru” ke atas Hamas dan melaksanakan rancangan Presiden Amerika, Encik Trump untuk memindahkan secara paksa penduduk Palestin dari Jaluran Gaza jika Hamas tidak membebaskan tebusan hujung minggu ini.
Kenyataan Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, itu dibuat sejurus selepas kumpulan Palestin Hamas berkata ia tidak akan tunduk kepada “ancaman” Amerika dan Israel berhubung pembebasan tebusan di bawah perjanjian gencatan senjata yang rapuh.
Pengantara Qatar dan Mesir mendesak menyelamatkan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari, kata sumber Palestin dan diplomat yang biasa dengan rundingan itu lapor AFP.
Gencatan senjata itu sebahagian besar telah menghentikan pertempuran selama lebih 15 bulan dan menyaksikan tebusan Israel dibebaskan dalam kumpulan kecil sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin dalam tahanan Israel.
Tetapi perjanjian itu, yang kini dalam fasa pertama 42 hari, telah mengalami tekanan yang semakin meningkat.
Pihak yang masih belum bersetuju mengenai fasa gencatan senjata seterusnya, telah saling menuduh berhubung pelanggaran, mencetuskan kebimbangan bahawa keganasan boleh berlaku semula.
Encik Katz berkata Israel akan menyambung semula perangnya jika Hamas gagal membebaskan tawanan pada 15 Februari, apabila pertukaran tebusan keenam dijadualkan di bawah syarat perjanjian.
Jika serangan diteruskan, Encik Katz berkata “perang Gaza baru... tidak akan berakhir tanpa kekalahan Hamas dan pembebasan semua tebusan”.
“Ia juga akan membolehkan visi Encik Trump di Gaza direalisasikan,” tambahnya.
Israel telah berulang kali berikrar untuk memusnahkan Hamas dan membebaskan semua tebusan sejak serangan kumpulan Palestin itu pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg