Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas kaji cadangan gencatan senjata terbaru Israel

Apr 27, 2024 | 6:35 PM
Seorang kanak-kanak Palestin berdiri di tengah-tengah serpihan sebuah rumah yang musnah susuli serangan semalaman di Rafah pada 27 April.
Seorang kanak-kanak Palestin berdiri di tengah-tengah serpihan sebuah rumah yang musnah susuli serangan semalaman di Rafah pada 27 April. - Foto AFP

GAZA: Kumpulan Hamas sudah menerima dan sedang mengkaji cadangan balas terbaru Israel berhubung potensi gencatan senjata di Jaluran Gaza dan pembebasan tebusan.

“Hari ini, pergerakan Hamas menerima maklum balas rasmi pendudukan Zionis terhadap kedudukan pergerakan itu, yang diserahkan kepada pengantara Mesir dan Qatar pada 13 April,” kata Timbalan Ketua Cabang Politik Hamas, Encik Khalil al-Hayya, di Gaza dalam satu kenyataan ringkas.

“Pergerakan Hamas akan mengkaji cadangan ini dan apabila selesai (kajian), ia akan mengemukakan maklum balasnya,” katanya.

Selepas lebih enam bulan berperang dengan Israel di Gaza, rundingan masih menemui jalan buntu dengan Hamas tetap dengan tuntutannya bahawa sebarang perjanjian perlu menamatkan perang.

Delegasi Mesir melawat Israel untuk berbincang dengan pegawai Israel pada 26 April dalam mencari jalan untuk memulakan semula rundingan bagi menamatkan konflik dan mengembalikan baki tebusan yang ditahan ketika Hamas menyerbu bandar Israel pada 7 Oktober, kata seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai pertemuan itu.

Pegawai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata Israel tidak mempunyai cadangan baru untuk dibuat walaupun ia bersedia mempertimbangkan gencatan senjata terhad di mana 33 tebusan akan dibebaskan oleh Hamas, bukannya 40 tebusan yang dibincangkan sebelum ini.

Pada 25 April, Amerika Syarikat dan 17 negara lain merayu supaya Hamas membebaskan semua tebusannya sebagai laluan untuk menamatkan krisis.

Hamas berikrar untuk tidak menyerah kepada tekanan antarabangsa, tetapi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 26 April, ia berkata “terbuka kepada sebarang idea atau cadangan yang mengambil kira keperluan dan hak rakyat Palestin”.

Bagaimanapun, ia berpegang kepada tuntutan utamanya yang ditolak oleh Israel, dan mengkritik kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Amerika dan negara lain kerana tidak menyeru gencatan senjata kekal dan pengunduran tentera Israel dari Gaza. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg