KAHIRAH/BAITULMAKDIS: Satu delegasi kanan Hamas telah bertemu ketua perisikan Mesir di Kahirah pada 23 November untuk membincangkan perjanjian gencatan senjata dan keadaan di Gaza.
Demikian kata kumpulan itu, ketika Israel dan kumpulan militan Palestin terus berbalas tuduhan pelanggaran gencatan senjata.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat telah menjadi pengantara antara Hamas dengan Israel untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata ia mengesahkan semula komitmennya untuk melaksanakan fasa pertama perjanjian gencatan senjata dalam pertemuannya dengan ketua perisikan Mesir, tetapi menuduh Israel melakukan “pelanggaran berterusan” yang dikatakannya mengancam perjanjian tersebut.
Hamas, yang delegasinya termasuk ketua Gaza yang dibuang negeri, Encik Khalil Al-Hayya, menyeru “mekanisme yang jelas” di bawah pengawasan pengantara untuk mendokumentasi dan menghentikan sebarang pelanggaran perjanjian itu.
Kumpulan itu berkata ia juga membincangkan dengan Mesir cara untuk segera menyelesaikan isu anggota Hamas dalam terowong di Rafah, sambil menambah bahawa komunikasi dengan mereka telah terputus.
Agensi berita Reuters melaporkan awal November bahawa pengantara cuba menangani nasib anggota Hamas itu yang bersembunyi dalam rangkaian terowong di Gaza yang dikawal Israel.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata tenteranya telah membunuh lima anggota kanan Hamas pada 22 November selepas seorang pejuang dihantar ke wilayah Gaza yang dikawal Israel untuk menyerang tentera Israel di sana. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg