WASHINGTON: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 November mengundi untuk menerima ketetapan yang menyokong pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi menamatkan perang di Gaza serta memberi kuasa kepada pembentukan pasukan penstabilan antarabangsa di wilayah Palestin itu.
Pada Oktober lalu, Israel dan Hamas, bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara bagi Gaza yang diketengahkan Encik Trump, yang merangkumi perjanjian pembebasan tebusan, serta gencatan senjata bagi menamatkan perang yang telah berlarutan selama dua tahun.
Ketetapan PBB dilihat sebagai langkah penting untuk mengesahkan pembentukan sebuah badan pentadbiran peralihan, serta memberi keyakinan kepada negara-negara yang sedang menimbangkan untuk menghantar tentera mereka ke Gaza.
Menurut teks ketetapan, negara anggota boleh mengambil bahagian dalam Lembaga Damai yang digariskan sebagai satu badan peralihan untuk memantau usaha pembinaan semula dan pemulihan ekonomi Gaza.
Ketetapan itu turut memberi kuasa kepada pasukan penstabilan antarabangsa untuk memastikan proses melucutkan senjata di Gaza, termasuk menghapuskan prasarana ketenteraan.
Dalam satu kenyataan, kumpulan Hamas menegaskan ia tidak akan melucutkan senjata dan menekankan bahawa perjuangannya menentang Israel merupakan satu penentangan yang sah.
Pendirian itu berisiko menimbulkan konflik antara kumpulan itu dengan pasukan antarabangsa yang diberi kuasa melalui ketetapan tersebut.
“Ketetapan itu mengenakan mekanisme penjagaan antarabangsa ke atas Jaluran Gaza, yang ditolak oleh rakyat dan kumpulan dalaman kami,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Serangan yang diketuai Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 telah meragut nyawa 1,139 penduduk Israel, dengan sekitar 200 orang ditawan.
Manakala tindak balas Israel ke atas Gaza sejak serangan tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 69,483 penduduk Palestin serta mencederakan 170,706 penduduk, menurut laporan terkini Aljazeera.
Duta Amerika ke PBB, Encik Mike Waltz, berkata ketetapan tersebut, yang turut menyertakan lampiran pelan damai 20 perkara Encik Trump, “membuka laluan bagi penentuan nasib sendiri rakyat Palestin… yang mana roket digantikan dengan dahan zaitun dan memberi peluang kepada mereka untuk mencapai persetujuan politik”.
Sebelum pengundian dilakukan, Encik Waltz memberitahu majlis itu:
“Ia (ketetapan itu) menghapuskan kuasa Hamas, memastikan kebangkitan Gaza bebas daripada bayang-bayang pengganasan, serta kembali makmur dan selamat.”
Russia, yang mempunyai kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB, sebelum ini memberi isyarat ia mungkin menentang ketetapan tersebut.
Namun, ia berkecuali daripada pengundian, sekali gus membolehkan ketetapan itu diluluskan. China turut berkecuali.
Penguasa Palestin telah mengeluarkan kenyataan menyambut baik ketetapan itu dan menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaannya.
Para diplomat berkata sokongan Penguasa Palestin terhadap ketetapan itu adalah kunci untuk mengelak daripada undi veto Russia.
Ketetapan tersebut menimbulkan kontroversi di Israel kerana ia bermakna terdapat kemungkinan Palestin bakal memperoleh taraf sebuah negara pada masa akan datang.
Teks ketetapan itu menyatakan bahawa “akhirnya mungkin wujud laluan meyakinkan bagi rakyat Palestin menentukan nasib sendiri dan mencapai taraf negara”, setelah pihak Penguasa Palestin melaksanakan program pembaharuan dan proses pembangunan semula Gaza menunjukkan kemajuan.
“Amerika akan mengadakan dialog antara Israel dengan Palestin untuk mencapai persetujuan politik bagi kehidupan bersama yang aman dan makmur,” menurut teks berkenaan.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang berada di bawah tekanan anggota sayap kanan pemerintah beliau, berkata pada 16 November, bahawa Israel kekal menentang penubuhan negara Palestin dan berikrar untuk melucutkan senjata di Gaza “dengan cara mudah atau cara kasar”. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg