BANDAR GAZA, Wilayah Palestin: Hamas sedang membuat persiapan untuk mengadakan pilihan raya dalaman bagi membina semula kepimpinannya susulan pembunuhan beberapa tokoh tertinggi kumpulan itu oleh Israel semasa perang di Gaza, kata sumber dalam pergerakan itu pada 12 Januari.
“Persediaan dalaman masih berterusan untuk mengadakan pilihan raya pada masa yang sesuai apabila keadaan membenarkannya,” kata seorang pemimpin Hamas.
Pemilihan itu dijangka diadakan “pada bulan-bulan pertama 2026.”
Sebahagian besar kepimpinan tertinggi kumpulan itu telah musnah semasa perang, yang dicetuskan oleh serangan Hamas yang belum pernah terjadi sebelumnya ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Proses pembaharuan kepimpinan termasuk pembentukan Majlis Syura dengan 50 anggota - sebuah badan perundingan yang dikuasai oleh tokoh agama.
Anggotanya dipilih setiap empat tahun oleh tiga cabang Hamas di Jaluran Gaza, Tebing Barat yang diduduki Israel dan kepimpinan luaran pergerakan itu.
Banduan Hamas di penjara Israel juga layak mengundi.
Semasa pilihan raya sebelumnya, yang diadakan sebelum perang, anggota-anggota di seluruh Gaza dan Tebing Barat biasanya berkumpul di lokasi yang berbeza termasuk masjid untuk memilih Majlis Syura.
Majlis itu bertanggungjawab, setiap empat tahun, untuk memilih biro politik yang terdiri daripada 18 anggota dan pemimpin keseluruhan pergerakan Hamas.
Sumber Hamas berkata masa pilihan raya biro politik masih tidak menentu “memandangkan keadaan yang dilalui oleh rakyat kita.”
Selepas Israel membunuh bekas ketua Hamas Ismail Haniyeh di Teheran pada Julai 2024, kumpulan itu memilih ketua Gaza ketika itu, Encik Yahya Sinwar, sebagai penggantinya.
Israel menuduhnya mendalangi serangan 7 Oktober.
Beliau juga dibunuh oleh tentera Israel di bandar Rafah di selatan Gaza, tiga bulan selepas pembunuhan Haniyeh.
Hamas kemudian memilih jawatankuasa kepimpinan sementara lima anggota yang berpangkalan di Qatar, menangguhkan pelantikan seorang pemimpin sehingga pilihan raya diadakan kerana risiko menjadi sasaran Israel.
Menurut sumber, dua tokoh kini telah muncul sebagai calon utama untuk menjadi ketua biro politik: Encik Khalil Al-Hayya dan Encik Khaled Meshaal.
Encik Hayya, 65 tahun, yang berasal dari Gaza dan ketua perunding Hamas dalam rundingan gencatan senjata, telah memegang jawatan kanan sekurang-kurangnya sejak 2006.
Encik Meshaal, yang mengetuai Biro Politik dari 2004 hingga 2017, tidak pernah tinggal di Gaza. Beliau dilahirkan di Tebing Barat pada 1956.
Beliau kini mengetuai pejabat diaspora pergerakan itu. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg