PALM BEACH: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi amaran keras kepada Iran dan Hamas ketika tampil bersama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam satu sidang media bersama di Florida pada 29 Disember.
Beliau sekali gus menonjolkan kesatuan pendirian Washington–Tel Aviv di tengah gencatan senjata Gaza yang masih rapuh dan ketegangan serantau yang berlarutan.
Berucap di resort mewahnya, Mar-a-Lago, Encik Trump menegaskan Iran akan berdepan serangan baru sekiranya cuba membina semula program nuklear atau peluru berpandu balistiknya selepas siri serangan Amerika Syarikat dan Israel pada Jun.
Pada masa sama, beliau memberi amaran keras kepada Hamas, sambil menegaskan kumpulan itu mesti melucutkan senjata seperti yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata Gaza.
“Jika mereka gagal melucutkan senjata seperti yang telah dipersetujui, maka mereka akan berdepan akibat yang amat berat,” kata Encik Trump kepada wartawan.
“Mereka perlu melucutkan senjata dalam tempoh yang agak singkat.”
Namun, sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, menegaskan pada hari yang sama mereka tidak akan menyerahkan senjata.
Dalam satu mesej video, kumpulan itu berkata, “Rakyat kami mempertahankan diri dan tidak akan melepaskan senjata selagi pendudukan masih berterusan.”
Kenyataan Encik Trump itu segera dibalas dari Teheran.
Encik Ali Shamkhani, penasihat kanan politik kepada Pemimpin Tertinggi Iran, memberi amaran sebarang pencerobohan terhadap negaranya akan menerima tindak balas segera dan keras.
“Keupayaan peluru berpandu dan pertahanan Iran tidak boleh dihadkan atau ditentukan oleh pihak lain. Sebarang pencerobohan akan menerima tindak balas keras yang segera, di luar jangkaan perancangnya,” tulis beliau di wadah media sosial, X.
Walaupun menggunakan bahasa tegas, Encik Trump berkata beliau percaya Iran masih berminat untuk mencapai perjanjian dengan Washington berkaitan isu nuklear dan peluru berpandu.
Iran, bagaimanapun, terus menafikan dakwaan ia sedang membangunkan senjata nuklear.
Dalam sidang media yang sama, Encik Trump cuba meredakan laporan mengenai perbezaan pandangan antara beliau dan Encik Netanyahu berkaitan fasa kedua gencatan senjata Gaza.
Beliau berkata Israel telah “mematuhi komitmennya” dan menegaskan tanggungjawab kini terletak pada Hamas.
“Saya tidak melihat perbezaan besar antara saya dan Perdana Menteri,” kata Encik Trump.
“Saya tidak bimbang dengan apa yang Israel lakukan.”
Encik Netanyahu pula menyifatkan pertemuannya dengan Encik Trump sebagai “sangat produktif”, sambil mengumumkan Israel akan menganugerahkan Encik Trump anugerah awam tertinggi negara itu, Hadiah Israel pada 2026.
Keputusan itu memecahkan tradisi berdekad-dekad, kerana anugerah tersebut lazimnya diberikan kepada warganegara atau penduduk Israel.
Dari sudut dasar, Encik Trump menekankan keinginannya untuk bergerak ke fasa seterusnya dalam pelan Gaza, yang melibatkan penubuhan pemerintah Palestin bersifat teknokratik serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa.
Laman berita Axios melaporkan Washington berharap dapat membuat pengumuman seawal Januari berkaitan pemerintah interim dan pasukan antarabangsa itu.
Bagaimanapun, isu pelucutan senjata Hamas terus menjadi halangan utama.
Walaupun Encik Trump berkata beliau berharap pembinaan semula Gaza dapat dimulakan tidak lama lagi, realiti di lapangan menunjukkan jurang besar antara visi diplomatik Washington dan pendirian keras pihak yang terlibat.
Pertemuan Encik Trump dan Encik Netanyahu itu turut menyentuh isu-isu serantau lain, termasuk Syria dan Hezbollah di Lebanon.
Encik Trump berkata beliau berharap Encik Netanyahu dapat “menjalin hubungan yang baik” dengan presiden baru Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, bekas komander pemberontak yang menggulingkan Encik Bashar al-Assad, walaupun Israel terus melancarkan serangan di kawasan sempadan.
Lawatan Encik Netanyahu ke Palm Beach itu menutup beberapa hari diplomasi antarabangsa yang padat bagi Encik Trump, selepas beliau menerima kunjungan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, sehari sebelumnya untuk membincangkan usaha menamatkan perang Russia-Ukraine. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg