Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas sedia berdamai, Trump gesa Israel henti serang Gaza

Oct 4, 2025 | 6:20 PM
presiden donald trump, perang palestin-israel
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump berkata bahawa Israel mesti segera menghentikan pengeboman Gaza supaya tebusan boleh dikeluarkan dengan selamat. - Foto AFP

GAZA/WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 3 Oktober, meminta Israel agar segera menghentikan pengeboman Gaza selepas Hamas bersetuju melepaskan tebusan dan akur pada beberapa ketetapan lain yang dibentangkan dalam rancangan Amerika menamatkan perang. 

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula berkata Israel sedang bersiap untuk “pelaksanaan segera” peringkat pertama rancangan Encik Trump di Gaza bagi membebaskan tebusan Israel, berikutan tindak balas Hamas.

Tidak lama selepas itu, media Israel melaporkan peringkat atasan politik negara itu telah mengarahkan tentera bagi mengurangkan aktiviti serangan di Gaza.

Namun, isu seperti pelucutan senjata nampaknya belum dapat diselesaikan.

Hamas, pada 3 Oktober, melahirkan kesediaannya berbincang mengenai pembebasan tebusan ditahan di Gaza, di bawah kerangka pelan gencatan senjata terkini yang dipelopori Encik Trump.

Ia sekali gus mendorong Encik Trump menggesa Israel agar menghentikan serta-merta pengeboman ke atas wilayah Palestin itu.

Susulan respons kumpulan Palestin itu, Encik Trump memuji kenyataan Hamas sebagai tanda komitmen terhadap keamanan berkekalan, lapor agensi berita Reuters.

“Ini hari yang sangat penting. Kita perlu lihat bagaimana perkembangannya nanti. Kita perlu mendapatkan persetujuan terakhir secara konkrit. Saya ingin anda semua tahu bahawa ini merupakan hari yang sangat istimewa,” kata Encik Trump kemudian dalam rakaman video yang dimuat naik di laman Truth Social.

Awal daripada itu, Hamas menegaskan mereka harus mempunyai peranan dalam menentukan masa depan wilayah Palestin.

“Kami mengumumkan persetujuan untuk membebaskan semua tebusan yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, mengikut formula pertukaran yang terkandung dalam cadangan Presiden Trump,” kata kumpulan militan Palestin yang mengawal Gaza itu, dalam satu kenyataan sambil menegaskan kesediaan membincangkan butiran lanjut.

Sebelum ini, Encik Trump menetapkan 5 Oktober sebagai tarikh akhir bagi Hamas menerima cadangan gencatan senjata serta pertukaran tahanan, lapor agensi berita Turkey, Anadolu Ajansi.

Sejurus pengumuman itu, pegawai kanan Hamas, Encik Mahmoud Mardawi, berkata kumpulan itu menyambut baik cadangan Encik Trump tetapi menyifatkannya sebagai tidak jelas.

“Kami perlukan penjelasan dan pengesahan melalui perjanjian rundingan,” katanya.

Mengenai pelan keamanan di Gaza yang dipelopori Encik Trump dan disokong Perdana Menteri Israel, Encik Netanyahu, ia merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan dalam tempoh 72 jam, pelucutan senjata Hamas, dan pengunduran berperingkat rejim Zionis dari wilayah Palestin itu.

Sehingga 3 Oktober, Israel terus-terusan melancarkan pengeboman udara dan tembakan meriam bedilan besar-besaran di bandar Gaza. 

Serangan itu membunuh sekurang-kurangnya 11 orang di seluruh wilayah, termasuk lapan orang di Bandar Gaza.

Menurut penduduk Gaza, kereta kebal Israel mengebom Talateeni Street, nadi utama di tengah-tengah kota Gaza, selepas Encik Trump mengirim pesanan kepada Israel agar berhenti menyerang.

Saksi berkata pesawat tentera Israel juga memperhebatkan pengeboman di Gaza, sejam selepas Hamas mengeluarkan kenyataannya, memusnahkan beberapa rumah di kawasan kejiranan Remal.

Terdapat juga serangan ke atas kota Khan Younis tetapi tiada kematian dilaporkan, kata seorang lagi penduduk.

Encik Trump, yang menganggap dirinya sebagai satu-satunya orang yang mampu mencapai keamanan di Gaza, telah melaburkan modal politik yang besar dalam usaha menamatkan perang dua tahun yang telah mengorbankan puluhan ribu orang dan menyebabkan sekutu Amerika, Israel, semakin terasing di pentas dunia.

Encik Trump berkata beliau percaya Hamas telah menunjukkan ia “bersedia untuk keamanan yang berkekalan” dan beliau meletakkan tanggungjawab kepada pemerintah Encik Netanyahu untuk merealisasikan kedamaian. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg