Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hakim AS putuskan tindakan Trump usir aktivis kampus pro-Palestin langgar undang-undang

Oct 1, 2025 | 3:11 PM
Penunjuk perasaan berdiri di luar Mahkamah Persekutuan selepas hari pertama perbicaraan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Persatuan Profesor Universiti Amerika Syarikat pada 7 Julai lalu.
Penunjuk perasaan berdiri di luar Mahkamah Persekutuan selepas hari pertama perbicaraan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Persatuan Profesor Universiti Amerika Syarikat pada 7 Julai lalu. - Foto REUTERS

BOSTON: Seorang hakim Amerika Syarikat memutuskan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump telah bertindak tidak mengikut perlembagaan dengan mengamalkan dasar membatalkan visa, menangkap, menahan dan menghantar pulang pelajar dan fakulti asing yang pro-Palestin.

Dalam keputusan setebal 161 muka surat, Hakim Daerah William Young di Boston memihak kepada kumpulan yang mewakili fakulti universiti dengan mendapati bahawa pentadbiran Encik Trump telah menyekat kebebasan bersuara di kampus yang melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika.

Hakim Young berkata pegawai Jabatan Negara dan Keselamatan Dalam Negeri “bertindak dengan menyalahgunakan kuasa meluas pejabat masing-masing untuk menyasarkan individu bukan warga yang pro-Palestin untuk dihantar pulang terutamanya kerana ucapan politik mereka yang dilindungi Pindaan Pertama itu”.

“Mereka berbuat demikian untuk menimbulkan ketakutan kepada individu pro-Palestin bukan warga yang sama kedudukannya, secara proaktif (dan berkesan) mengekang ucapan pro-Palestin yang sah dan dengan sengaja menafikan kebebasan hak individu tersebut termasuk plaintif untuk bersuara,” tulis Hakim Young.

Beliau juga mengecam Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam Amerika kerana menangkap Cik Rumeysa Ozturk, seorang pelajar Universiti Tufts, yang telah ditahan di Massachusetts selepas mengkritik tindak balas sekolahnya terhadap perang Israel di Gaza.

Hakim Young, yang dilantik semasa pentadbiran Presiden Republikan Ronald Reagan, berkata tindakan pemerintah adalah selaras dengan usaha Encik Trump yang lebih luas untuk mengehadkan kebebasan bersuara dengan menyasarkan firma guaman, universiti dan media.

Menurutnya, pihak mahkamah akan menentukan tindakan sewajarnya terhadap kes yang disebutnya mungkin paling penting yang pernah didengar oleh mahkamahnya.

Peguam pihak plaintif telah menggesa beliau untuk menghalang pentadbiran Encik Trump daripada terus melaksanakan apa yang mereka panggil “dasar pengusiran ideologi”.

Plaintif tersebut termasuk Persatuan Profesor Universiti Amerika dan cawangannya di Harvard, Rutgers dan Universiti New York, serta Persatuan Pengajian Timur Tengah, telah memuji keputusan tersebut yang mengesahkan perlindungan Pindaan Pertama bagi bukan warganegara.

“Pengusiran ideologi pentadbiran tidak menghormati Pindaan Pertama dan demokrasi,” kata Cik Ramya Krishnan, peguam bagi pihak plaintif di Institut Pindaan Pertama, Universiti Columbia, dalam satu kenyataan.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Liz Huston, dalam satu kenyataan berikrar untuk meneruskan rayuan mengenai apa yang disebutnya sebagai “keputusan keterlaluan yang menghalang keselamatan dan kesejahteraan negara kita”.

“Belajar di Amerika Syarikat adalah satu keistimewaan yang pentadbiran Trump tidak akan membenarkan warga asing yang membahayakan keselamatan negara Amerika atau membahayakan keselamatan kampus,” kata Cik Huston.

Hakim Young mengeluarkan keputusan itu selepas mempengerusikan perbicaraan bagi mencabar tindakan yang dilakukan oleh pentadbiran Encik Trump sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan imigresen ketat presiden Republikan itu.

Encik Trump menandatangani arahan eksekutif pada Januari lalu dan mengarahkan agensi persekutuan untuk memerangi anti-Semitisme susulan bantahan di kampus seluruh negara selepas Israel melancarkan perangnya di Gaza ekoran serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Tuntutan itu difailkan pada Mac lalu selepas pihak imigresen menahan graduan Universiti Columbia, Encik Mahmoud Khalil, sasaran pertama usaha Encik Trump untuk menghantar pulang pelajar bukan warga yang berpandangan pro-Palestin atau anti-Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg