Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas sedia laksana segera perjanjian gencatan senjata deklarasi Biden

Sep 12, 2024 | 12:22 PM
Para penduduk Palestin mencari mereka yang mungkin tertimbus di bawah runtuhan bangunan ekoran serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan pelarian Palestin di Nuseirat di tengah Gaza pada 11 September.
Para penduduk Palestin mencari mereka yang mungkin tertimbus di bawah runtuhan bangunan ekoran serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan pelarian Palestin di Nuseirat di tengah Gaza pada 11 September. - Foto EPA-EFE

DOHA: Delegasi Hamas bertemu pengantara Qatar dan Mesir di Doha pada 11 September untuk merundingkan gencatan senjata di Gaza dan kemungkinan pembebasan tebusan Israel serta pertukaran tahanan Palestin, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Hamas berkata perunding utamanya, Encik Khalil al-Hayya, telah bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, dan ketua perisikan Mesir, Encik Abbas Kamel.

Menurut kumpulan Palestin itu, mereka telah membincangkan “perkembangan mengenai perjuangan Palestin dan pencerobohan di Jaluran Gaza” tanpa menunjukkan bahawa perbincangan telah menghasilkan kejayaan.

Beberapa bulan rundingan di belakang tabir yang dimediasi oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat telah gagal untuk menghentikan pertempuran antara Hamas dengan Israel, kecuali gencatan senjata selama seminggu bermula pada akhir November.

Semasa gencatan senjata tunggal dalam perang 11 bulan itu, 105 tebusan telah dibebaskan ke Israel sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin di bawah perjanjian yang dibuat oleh pengantara.

Pusingan pengantaraan yang diadakan baru-baru ini di Doha dan Kahirah adalah berdasarkan rangka kerja yang dibentangkan pada Mei oleh Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan “cadangan penyambungan” yang dibentangkan kepada pihak-pihak terbabit pada Ogos.

Kenyataan Hamas mengulangi “kesediaan untuk melaksanakan segera perjanjian gencatan senjata berdasarkan deklarasi Presiden Biden”.

Tekanan untuk perjanjian semakin meningkat selepas kematian enam tebusan pada awal September apabila mayat mereka ditemui di terowong Gaza.

Tetapi dalam menghadapi seruan luar untuk mencapai perjanjian, Israel dan Hamas telah secara terbuka memberi isyarat semakin kuat dalam kedudukan perundingan mereka.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mendesak Israel mengawal Koridor Philadelphi yang merupakan sempadan Gaza-Mesir – titik penting dalam rundingan – dengan alasan untuk mencegah penyeludupan senjata.

Minggu lalu, Mesir dan Qatar menepis tuduhan Israel bahawa sempadan itu telah digunakan untuk mempersenjatakan Hamas.

Hamas pula menegaskan semula tuntutannya supaya Israel berundur daripada semua wilayah Gaza.

Sementara itu, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin dalam kejadian berasingan di Tebing Barat yang didudukinya pada 11 September.

Serangan udara Israel di bandar Tubas pula membunuh lima lelaki yang dikatakan bersenjatakan bahan letupan yang menimbulkan ancaman kepada tentera Israel dan memusnahkan kemudahan pengeluaran senjata serta kenderaan yang dilengkapi bahan letupan dan alat kawalan jauh.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata pekerja penyelamat telah menemui lima mayat di lokasi dan memindahkannya ke hospital. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg