BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata bahawa negaranya hanya akan bersetuju dengan gencatan senjata kekal di Gaza kecuali koridor sempadan antara selatan Gaza dengan Mesir tidak digunakan Hamas sebagai talian hayatnya.
“Sehingga itu berlaku, kami akan tetap berada di sana,” katanya dalam sidang akhbar pada 4 September.
Encik Netanyahu mengulangi penolakannya secara terang-terangan terhadap penarikan diri dari Koridor Philadelphi dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata, dijangka berlangsung selama 42 hari.
Beliau berkata penolakan itu dibuat kerana tekanan antarabangsa akan menjadikannya mustahil untuk Israel kembali ke koridor berkenaan.
Untuk gencatan senjata kekal dipersetujui, Israel memerlukan jaminan bahawa sesiapa yang mengendalikan Gaza selepas perang akan dapat menghalang koridor itu daripada digunakan sebagai laluan penyeludupan dan bekalan senjata kepada Hamas.
“Bawa kepada saya sesiapa saja yang benar-benar boleh menunjukkan – bukan di atas kertas, bukan dengan kata-kata, bukan di slaid – tetapi hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, bahawa mereka sebenarnya boleh menghalang berulangnya apa yang berlaku di sana sebelum ini,” katanya, merujuk kepada serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.
“Kami terbuka mempertimbangkannya, tetapi saya tidak nampak perkara itu akan berlaku sekarang,” tegasnya.
Koridor Philadelphi menjadi salah satu halangan utama kepada perjanjian untuk menghentikan pertempuran di Gaza dan membawa pulang 101 tebusan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin di penjara Israel.
Encik Netanyahu bertegas mengekalkan kawalan koridor itu kerana tentera Israel menemui berpuluh-puluh terowong yang dikatakan digunakan untuk membekalkan Hamas dengan senjata dan peluru.
Beliau berdepan kritikan hebat daripada banyak pihak di Israel kerana berpegang teguh kepada pendiriannya itu.
Ini termasuk daripada ramai anggota pasukan keselamatannya sendiri yang percaya tentera Israel boleh campur tangan jika perlu, untuk mencegah sebarang penyeludupan senjata.
Keluarga tebusan, termasuk daripada enam yang mayatnya ditemui di terowong di selatan Gaza pada 1 September, menuduhnya mengorbankan orang tersayang mereka dengan berkeras untuk mengekalkan tentera di koridor. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg