Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas serah senarai tebusan Israel dan Palestin untuk perjanjian pertukaran damai Gaza

Oct 8, 2025 | 5:30 PM
Sekumpulan wanita mempersembahkan lakonan mengenai kanak-kanak yang terbunuh di Gaza semasa demonstrasi menuntut penamatan serangan ke atas Jaluran Gaza dan wilayah Palestin sebagai sebahagian daripada protes nasional di Guadalajara, Mexico pada 7 Oktober 2025.
Sekumpulan wanita mempersembahkan lakonan mengenai kanak-kanak yang terbunuh di Gaza semasa demonstrasi menuntut penamatan serangan ke atas Jaluran Gaza dan wilayah Palestin sebagai sebahagian daripada protes nasional di Guadalajara, Mexico pada 7 Oktober 2025. - Foto AFP

SHARM EL-SHEIKH, MESIR: Hamas mengesahkan pihaknya telah menyerahkan senarai nama tebusan Israel dan tahanan Palestin yang dicadangkan untuk pertukaran, sekali gus menyalakan harapan baharu bagi pelan damai yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Jurucakap Hamas berkata rundingan di Sharm el-Sheikh pada 8 Oktober memberi tumpuan kepada tiga perkara utama - mekanisme gencatan senjata, pengunduran tentera Israel dari Gaza, dan pelaksanaan pertukaran tahanan.

“Kami telah menyerahkan senarai nama dan terus berunding bagi memastikan perjanjian yang adil dan menjamin hak rakyat Palestin,” ujar seorang pegawai kanan Hamas.

Namun, sumber Palestin yang dekat dengan rundingan mendedahkan tarikh pelaksanaan fasa pertama pelan 20 perkara yang diumumkan Trump masih belum dimuktamadkan. “Masih ada perincian teknikal yang perlu diputuskan, terutama mengenai keselamatan dan pengunduran tentera Israel,” kata sumber itu.

Encik Trump sebelum ini menyuarakan keyakinan terhadap kemajuan rundingan, bertepatan dengan ulang tahun kedua serangan 7 Oktober 2023 oleh Hamas ke atas Israel, yang mencetuskan perang berdarah sehingga kini. “Saya percaya ada kemungkinan untuk mencapai keamanan di Timur Tengah, lebih daripada sekadar Gaza,” kata Encik Trump kepada pemberita di Rumah Putih.

Delegasi Amerika diketuai utusan khas Encik Steve Witkoff dan penasihat kanan Encik Jared Kushner dijangka menyertai pusingan rundingan baru ini. Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Encik Ron Dermer, yang merupakan orang kepercayaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, dijadual tiba di Sharm el-Sheikh bagi menyertai perbincangan pada petang 8 Oktober.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, dan ketua perisikan Turkey, Encik Ibrahim Kalin -kedua-duanya memainkan peranan penting sebagai pengantara.

Hamas menegaskan tuntutannya agar gencatan senjata kekal dilaksanakan, tentera Israel berundur sepenuhnya, dan pembinaan semula Gaza dimulakan segera di bawah pengawasan badan teknokrat Palestin. Sebaliknya, Israel mahu Hamas melucutkan senjata, sesuatu yang ditolak keras oleh kumpulan itu.

Pegawai Amerika memberi bayangan fokus awal ialah menghentikan pertempuran dan menyelaras pembebasan tebusan Israel di Gaza serta tahanan Palestin di penjara Israel.

Hamas menuntut pembebasan tahanan Palestin berprofil tinggi, Marwan Barghouti daripada penjara Israel sebagai sebahagian daripada rundingan pertukaran tahanan dengan tebusan yang sedang dijalankan, lapor media berkaitan kerajaan Mesir, semalam.

Saluran Al-Qahera News yang rapat dengan perkhidmatan risikan Mesir melaporkan bahawa rundingan sudah dimulakan di pusat peranginan Sharm El-Sheikh mengenai senarai tahanan Palestin yang akan dibebaskan oleh Israel di bawah perjanjian gencatan senjata yang berpotensi untuk dicapai.

Encik Barghouti yang juga tokoh kanan parti Fatah dipenjarakan sejak 2002, termasuk antara beberapa tahanan terkenal yang pembebasannya sedang diperjuangkan Hamas. Antara nama lain yang turut disebut ialah Ahmad Saadat, Hassan Salameh dan Abbas Al-Sayed.

Rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak sudah bermula sejak Isnin, 6 Oktober di Sharm El-Sheikh.

Ia sebahagian daripada pelan 20 perkara yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.

Pelan berkenaan merangkumi pembebasan tebusan yang ditawan Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain semasa serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang Gaza.

Sebagai pertukaran bagi pembebasan tebusan, Israel dijangka akan membebaskan 250 tahanan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup selain lebih 1,700 tahanan dari Gaza yang ditahan sepanjang perang.

Pelan itu turut mencadangkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza serta pelucutan senjata kumpulan Hamas.

Sementara rundingan berlangsung, serangan Israel di Gaza masih diteruskan, meningkatkan kecaman global. Tekanan antarabangsa memuncak apabila hampir seluruh penduduk Gaza kini dipaksa berpindah dan berdepan krisis kebuluran. “Keadaan kemanusiaan sangat parah, rakyat Gaza tidak boleh menunggu lebih lama untuk keamanan,” kata seorang pegawai bantuan antarabangsa.

Menurut pihak berkuasa Gaza, lebih 67,000 penduduk terbunuh sejak serangan balas Israel bermula, manakala Israel menyebut serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 meragut 1,200 nyawa dan membawa 251 tebusan ke Gaza. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg