BAITULMAKDIS: Jurucakap tertinggi tentera Israel berkata Hamas tidak boleh disingkirkan, sekali gus mencetuskan reaksi segera daripada pemerintah yang dengan cepat mengulangi iltizamnya untuk memusnahkan kumpulan militan Palestin itu.
Lebih lapan bulan perang berlangsung, yang dicetuskan oleh serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel, bukan saja telah gagal mengusir mereka dari Gaza, malah telah membawa kemusnahan meluas di serata wilayah Palestin itu.
“Untuk menyatakan bahawa kami dapat membuat Hamas hilang adalah bak membuang pasir ke mata orang.
“Jika kami tidak menyediakan alternatif, Hamas akan terus kekal,” kata Laksamana Muda Daniel Hagari, kepada penyiar Channel 13 Israel pada 19 Jun.
“Hamas adalah sebuah ideologi, kita tidak boleh menghapuskan ideologi,” tambahnya.
Komennya dengan cepat ditolak oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang Kabinetnya telah menyatakan serangan ke atas Gaza tidak akan berakhir sehingga Hamas dikalahkan.
“Kabinet politik dan keselamatan yang diketuai oleh Encik Netanyahu itu mentakrifkan sebagai salah satu matlamat perang untuk memusnahkan keupayaan tentera dan pemerintahan Hamas,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.
“IDF (Angkatan Pertahanan Israel) sudah tentu komited untuk melaksanakan ini,” tambah kenyataan itu.
Dalam kenyataan berasingan di saluran Telegramnya, tentera menjelaskan bahawa Laksamana Hagari telah menyebut Hamas “sebagai ideologi... dan kenyataannya adalah jelas dan nyata”.
“Sebarang dakwaan lain adalah mengambil kenyataan di luar konteks,” kata tentera Israel lagi.
Serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang telah membunuh lebih 1,400 orang di Israel dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel pula telah mengorbankan sekurang-kurangnya 37,396 orang di Gaza, juga kebanyakannya orang awam, kata kementerian kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg