Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas tolak gencatan senjata kerana tidak penuhi tuntutannya

Apr 9, 2024 | 1:33 PM
Rumah-rumah penduduk Palestin yang musnah akibat pengeboman tentera Israel sejak perang meletus pada 7 Oktober, tidak lagi layak didiami.
Rumah-rumah penduduk Palestin yang musnah akibat pengeboman tentera Israel sejak perang meletus pada 7 Oktober, tidak lagi layak didiami. - Foto AFP

KAHIRAH: Hamas berkata bahawa cadangan Israel bagi gencatan senjata yang diterima daripada pengantara Qatar dan Mesir tidak memenuhi mana-mana tuntutan pihak Palestin.

Bagaimanapun, kumpulan itu menambah dalam satu kenyataan pada 9 April bahawa ia akan mengkaji cadangan itu, yang disifatkannya sebagai “sukar dikompromi”, dan akan menyampaikan responsnya kepada pengantara kelak.

Seorang pegawai Hamas memberitahu Reuters pada 8 April bahawa kumpulan itu telah menolak cadangan gencatan senjata Israel yang dibuat dalam rundingan di Kahirah, dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata tarikh telah pihaknya tetapkan untuk pencerobohan Rafah, tempat perlindungan terakhir penduduk Palestin yang sesak di Gaza.

Israel dan Hamas menghantar pasukan ke Mesir pada 7 April untuk rundingan yang melibatkan pengantara Qatar dan Mesir serta Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, Encik William Burns.

Kehadiran Encik Burn menggariskan tekanan yang semakin meningkat daripada sekutu utama Israel, Amerika, untuk mencapai perjanjian yang akan membebaskan baki tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza dan meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Tetapi pegawai kanan Hamas, Encik Ali Baraka memberitahu Reuters: “Kami menolak cadangan terbaru Israel yang dimaklumkan pihak Mesir kepada kami.”

“Tiada perubahan dalam kedudukan pendudukan (Israel) dan oleh itu, tidak ada yang baru dalam rundingan di Kahirah,” kata seorang lagi pegawai Hamas yang enggan dikenali.

Israel berkata ia berminat untuk mencapai perjanjian banduan-untuk-tebusan yang bakal menyaksikan pembebasan beberapa banduan Palestin di Israel sebagai balasan kepada tebusan di Gaza, tetapi ia tidak bersedia untuk menamatkan perang sebelum ia menyerang Rafah.

Hamas selama ini menuntut penamatan serangan tentera Israel, mengeluarkan tentera Israel dari Gaza dan membenarkan pelarian pulang ke rumah mereka. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg