MAKKAH: Arab Saudi mencatat peningkatan 22.5 peratus dalam jumlah jemaah yang tiba menggunakan visa umrah pada awal musim Umrah 1448 Hijrah, mencerminkan permintaan yang terus kukuh terhadap ibadah itu dari seluruh dunia.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bersama Program Pengalaman Jemaah memaklumkan seramai 931,500 anggota jemaah memasuki negara itu menggunakan visa umrah antara 15 Zulhijah hingga akhir Muharam.

Dalam tempoh sama, jumlah keseluruhan ketibaan jemaah dari luar negara melebihi 1.27 juta orang.

Menurut kementerian itu, peningkatan tersebut didorong sokongan berterusan pemerintah Arab Saudi, penyelarasan yang lebih berkesan antara agensi kerajaan serta penambahbaikan terhadap perkhidmatan digital dan operasi.

Usaha itu dilaksanakan selaras dengan Wawasan Saudi 2030 yang antara lain bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah dan pelawat ke dua tanah suci.

Daripada jumlah jemaah luar negara yang tiba, kira-kira 75 peratus memasuki Arab Saudi melalui lapangan terbang, manakala baki 25 peratus menggunakan pintu masuk darat dan laut.

Pakistan mencatat jumlah jemaah umrah tertinggi, dengan kira-kira 200,000 orang, diikuti Indonesia seramai 170,000 dan Iraq seramai 130,000.

Kementerian Haji dan Umrah berkata pihaknya akan terus memperluaskan akses kepada perkhidmatan digital serta meningkatkan kecekapan operasi bagi memudahkan perjalanan jemaah, bermula daripada perancangan ibadah sehingga mereka meninggalkan Arab Saudi.

Musim Umrah 1448 Hijrah bermula selepas berakhirnya musim haji 1447 Hijrah, dengan visa umrah mula dikeluarkan pada 31 Mei lalu.

Jemaah antarabangsa juga mula memasuki Arab Saudi pada tarikh sama.

Musim umrah kali ini dijadualkan berlangsung sehingga 23 Mac 2027.

Tarikh akhir pengeluaran visa umrah ditetapkan pada 9 Mac 2027, bersamaan 1 Syawal 1448 Hijrah. Semua jemaah mesti memasuki Arab Saudi selewat-lewatnya pada 23 Mac 2027 dan meninggalkan negara itu sebelum 7 April 2027.

Jemaah boleh mendapatkan permit umrah melalui aplikasi Nusuk, iaitu platform digital rasmi Arab Saudi bagi urusan permit, tempahan dan pelbagai perkhidmatan ibadah.

Sebagai sebahagian daripada Wawasan Saudi 2030, pemerintah Arab Saudi telah mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan umrah melalui penggunaan permit elektronik, prosedur kontrak automatik dan sistem pengesahan kod QR.

Kemudahan pengangkutan, penginapan dan perkhidmatan sokongan turut diperluaskan bagi menampung peningkatan jumlah jemaah.

Angka terbaharu itu menyusuli prestasi kukuh pada 2025 apabila Arab Saudi menerima lebih 11 juta anggota jemaah umrah dalam suku keempat tahun berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pertama seramai 250 anggota jemaah lelaki dan wanita dari 16 negara Asia di bawah Program Haji, Umrah dan Ziarah Penjaga Dua Masjid Suci mengunjungi Kompleks Raja Abdulaziz bagi Kiswah Kaabah di Makkah.

Kumpulan itu tiba di Madinah pada 9 Julai lalu sebagai sebahagian daripada program yang dilaksanakan dalam empat fasa sepanjang 1448 Hijrah.

Secara keseluruhan, program berkenaan akan menaja 1,000 anggota jemaah Umrah dari 16 negara Asia, termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand, China, Jepun dan Korea Selatan.

Lawatan itu memberi peluang kepada tetamu melihat proses menghasilkan kiswah, bermula daripada penyediaan dan pewarnaan benang sutera asli, diikuti proses tenunan, sulaman, jahitan dan pemasangan akhir.

Mereka turut melawat bahagian teknikal dan pengeluaran serta diberikan penerangan mengenai teknologi yang digunakan dalam penghasilan kiswah.

Para tetamu juga berpeluang mengambil bahagian secara simbolik dalam proses menenun sebahagian kiswah, sekali gus memahami ketelitian dan kemahiran tinggi yang diperlukan untuk menghasilkan kain penutup Kaabah itu. – Agensi berita.