RIYADH: Arab Saudi selesai membuat persiapan menerima kumpulan pertama jemaah umrah di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci bagi Haji, Umrah dan Ziarah yang ditaja sepenuhnya oleh Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi berkata kumpulan pertama membabitkan 250 anggota jemaah lelaki dan wanita dari 16 negara Asia dijadual tiba di Madinah pada 8 Julai sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah untuk menunaikan umrah.

Negara yang terlibat dalam kumpulan pertama itu termasuk Indonesia, Timor-Leste, Filipina, Malaysia, Kemboja, Thailand, Vietnam, Myanmar, Laos, Singapura, China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Mongolia.

Program itu dilaksanakan susulan perkenan Raja Salman untuk menaja 1,000 anggota jemaah umrah dari seluruh dunia menggunakan perbelanjaan peribadinya.

Kesemua jemaah akan dibawa masuk secara berperingkat dalam empat fasa sepanjang 2026.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Dr Abdullatif Al Alsheikh, berkata inisiatif berkenaan mencerminkan iltizam berterusan kepimpinan Arab Saudi dalam berkhidmat kepada Islam dan umat Islam di seluruh dunia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas usaha berterusan mereka dalam memudahkan umat Islam menunaikan ibadah umrah serta menziarahi Tanah Suci dengan selesa dan aman.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kepimpinan Arab Saudi dalam memperkukuh hubungan persaudaraan sesama umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Menurut beliau, program itu turut menunjukkan peranan kemanusiaan dan keagamaan Arab Saudi dalam membina hubungan lebih erat dengan ulama, pendakwah dan tokoh masyarakat Islam antarabangsa.

Sepanjang berada di Madinah, jemaah akan mengikuti beberapa program khas termasuk lawatan ke lokasi bersejarah dan muzium berkaitan kehidupan Nabi Muhammad saw serta tamadun Islam.

Mereka kemudian akan dibawa ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah sebelum pulang ke negara masing-masing.

Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci sebelum ini menjadi antara inisiatif utama Arab Saudi dalam memperluaskan layanan kepada umat Islam dari pelbagai negara, khususnya golongan ulama, cendekiawan dan tokoh masyarakat.

Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu terus memperkukuh pelbagai kemudahan bagi jemaah haji dan umrah termasuk penggunaan teknologi digital, sistem pengangkutan moden serta penambahbaikan prasarana di Makkah dan Madinah bagi memastikan pengalaman ibadah yang lebih lancar dan selamat. – Agensi berita.