TEHERAN: Hampir 100 anggota tentera Amerika Syarikat cedera dalam tempoh dua minggu sejak konflik dengan Iran kembali memuncak, ketika kedua-dua negara terus bertukar serangan buat malam ke-10 berturut-turut.

Pada masa sama, Iran melancarkan satu lagi siri serangan balas pada 21 Julai dengan menyasarkan aset tentera Amerika di Bahrain dan Kuwait, selain mendakwa menyerang dua kapal tangki minyak di Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.

Jurucakap Pentagon, Encik Sean Parnell, mengesahkan seramai 98 anggota tentera Amerika cedera dalam beberapa serangan Iran di pangkalan tentera Amerika di rantau Teluk.

Beliau berkata kebanyakan mangsa hanya mengalami gegaran otak ringan dan 96 peratus daripada mereka sudah kembali bertugas.

“Kebanyakan kecederaan adalah ringan dan anggota yang terlibat telah menerima rawatan sewajarnya. Dakwaan bahawa Pentagon menyembunyikan jumlah sebenar kecederaan adalah tidak benar,” katanya.

Beliau mengulas laporan The New York Times yang mendakwa Pentagon tidak mendedahkan sepenuhnya jumlah anggota yang cedera akibat serangan Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pertahanan Amerika turut mengesahkan identiti dua anggota yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu Iran ke atas Pangkalan Muwaffaq Salti di Jordan hujung minggu lalu.

Mereka ialah Prebet Isabella Gonzales, 19 tahun, dari Texas, dan Leftenan Tyler James Feehan, 25 tahun, dari Hawaii.

Seorang lagi anggota dilaporkan hilang sebelum mayat yang belum dikenal pasti ditemui berhampiran lokasi serangan.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi amaran Iran akan menerima balasan “berkali ganda” susulan kematian anggota tenteranya.

“Saya berjanji Iran akan membayar harga yang jauh lebih tinggi atas kematian anggota tentera Amerika Syarikat,” katanya.

Sebagai tindak balas, tentera Amerika melancarkan serangan udara buat malam ke-10 berturut-turut ke atas beberapa sasaran di Iran.

Markas Pusat Amerika (Centcom) berkata serangan terbaharu menyasarkan pusat pemerintahan tentera, sistem pertahanan udara, tapak pelancaran peluru berpandu dan dron serta kemudahan ketenteraan maritim Iran.

Letupan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan termasuk Bandar Abbas, Pulau Qeshm, Chabahar, Konarak dan Sirik.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa telah menyerang sistem radar dan pertahanan udara Amerika di Bahrain dan Kuwait.

IRGC turut mendakwa dua kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz terbakar selepas diserang ketika menggunakan laluan selatan yang disifatkannya sebagai “berbahaya”.

Bagaimanapun, Centcom menafikan dakwaan bahawa kapal berkenaan diserang oleh Iran.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pula mengesahkan sebuah kapal tangki minyak dilaporkan terkena objek tidak dikenali kira-kira lapan batu nautika di timur Limah, Oman.

Menurut UKMTO, anak kapal terpaksa meninggalkan kapal dan berpindah ke bot penyelamat, namun tiada pencemaran alam sekitar dilaporkan.

Tidak dapat dipastikan sama ada kapal yang dilaporkan UKMTO itu adalah antara dua kapal yang didakwa diserang Iran.

Di Jordan, tentera negara itu memaklumkan berjaya memintas tiga peluru berpandu Iran selepas siren amaran serangan dibunyikan di beberapa kawasan.

Kuwait pula mengesahkan sistem pertahanannya berjaya memintas beberapa dron Iran, manakala Bahrain berkata dron yang dilancarkan Iran menyasarkan sistem navigasi udara negara itu, namun operasi penerbangan tidak terjejas.

Di tengah-tengah pertempuran yang semakin sengit, Selat Hormuz terus menjadi tumpuan apabila sebahagian besar pergerakan kapal dagang dan kapal tangki minyak dilaporkan terhenti.

Konflik itu turut memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia.

Harga minyak mentah Brent meningkat melepasi AS$88 ($113) setong, manakala harga petrol di Amerika mencecah purata AS$4 segelen ketika negara itu bersiap menghadapi pilihan raya pertengahan penggal pada November depan.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menyifatkan negaranya kini sedang berdepan “perang berskala penuh” dengan Amerika.

Bagaimanapun, beliau berkata saluran diplomatik masih diteruskan menerusi negara pengantara termasuk Pakistan, walaupun gencatan senjata yang dimeterai bulan lalu telah gagal dipertahankan.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan di rantau berkenaan semakin melebar selepas kumpulan Houthi di Yemen turut mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, sekali gus menambah tekanan terhadap laluan perdagangan dan bekalan tenaga global yang sudah pun terjejas akibat konflik di Selat Hormuz. – Agensi berita.