Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran lancar serangan balas ke atas sekutu AS di Teluk
Iran lancar serangan balas ke atas sekutu AS di Teluk
Kedua-dua pihak turut sasarkan laluan kapal dagang
Iran lancar serangan balas ke atas sekutu AS di Teluk
DUBAI/KAHIRAH: Iran melancarkan serangan baharu terhadap sekutu-sekutu Amerika Syarikat di Teluk pada 18 Julai, sejurus selepas malam ketujuh berturut-turut pangkalan tenteranya digempur tentera Amerika.
Serangan bertubi-tubi itu menyasarkan prasarana logistik Iran, sekali gus menambah lagi ketegangan perang seminggu selepas perjanjian gencatan senjata yang rapuh sebelum ini terbatal.
Kedua-dua pihak turut menyasarkan laluan kapal dagang, dengan Amerika menegaskan bahawa pihaknya sedang menguatkuasakan sekatan maritim.
Iran pula mendakwa pihaknya menyasarkan kapal-kapal yang melanggar peraturan pelayaran di Selat Hormuz – laluan air penting yang mengawal seperlima daripada bekalan minyak dunia.
Harga minyak melonjak lebih 4 peratus pada 17 Julai ke paras tertinggi dalam tempoh lebih sebulan.
Perkembangan ini memberi tekanan politik yang hebat kepada Presiden Amerika, Encik Donald Trump, ketika Parti Republikan berusaha mengekalkan kuasa menjelang pilihan raya kongres November ini.
Washington dan Teheran dilihat terus menguji had kesabaran masing-masing sejak runtuhnya perjanjian gencatan senjata minggu lalu, sekali gus meningkatkan risiko tercetusnya perang berskala penuh.
Dalam pada itu, Markas Pusat Amerika (Centcom) mengesahkan bahawa operasi terbaharu mereka itu berjaya memusnahkan tapak pengawasan, prasarana logistik ketenteraan, tempat simpanan senjata bawah tanah, serta keupayaan maritim Iran.
“Angkatan tentera Amerika telah mengerahkan jet pejuang, dron pengesan, dan kapal perang selain aset-aset lain,” jelas Centcom dalam satu kenyataan.
“Lebih 50,000 anggota tentera Amerika kini beroperasi di seluruh Timur Tengah dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, boleh membawa impak maut, dan bersiap siaga.”
Media Iran pada Sabtu memetik kenyataan pegawai tempatan yang berkata beberapa butir peluru berpandu telah menjejaskan kemudahan janakuasa elektrik dan pam penyahgaraman di bandar Jask, di selatan Iran.
Serangan tersebut turut menyebabkan bekalan air bersih ke beberapa kampung di kawasan berkenaan terputus.
Pihak Amerika mendakwa tenteranya telah menukar haluan empat kapal komersial, melumpuhkan sebuah kapal, dan menaiki sebuah lagi kapal bagi menguatkuasakan sekatan maritim terhadap Iran.
Sebaliknya, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menyatakan bahawa empat kapal yang melanggar peraturan trafik maritim telah disekat daripada melalui selat berkenaan menerusi operasi gabungan peluru berpandu dan dron.
Selain itu, media Iran yang memetik sumber IRGC melaporkan bahawa dua kapal tangki minyak meletup dan terbakar selepas melalui laluan berperiuk api di selatan selat tersebut. Bagaimanapun, pihak tentera Amerika menyifatkan laporan itu sebagai palsu.
Dalam insiden berasingan, sekumpulan lelaki bersenjata telah merampas sebuah lagi kapal di luar perairan Yaman, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan di satu lagi laluan sempit eksport minyak utama Timur Tengah di pintu masuk Laut Merah.
Televisyen rasmi Iran memetik kenyataan IRGC yang menegaskan bahawa selagi “pencerobohan” Amerika tidak dihentikan, adalah mustahil untuk mengeksport baja kimia mahupun “setitik minyak dan gas” dari rantau berkenaan.
Penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Mohsen Rezaei, pada 17 Julai turut memberi amaran keras terhadap tindakan Amerika yang mengeruhkan keadaan atau sebarang cubaan untuk merampas wilayah Iran.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, melahirkan kebimbangan mendalam berhubung peningkatan konflik ini, terutamanya menyentuh “serangan ke atas prasarana awam di Iran dan di seluruh rantau berkenaan,” kata jurucakapnya. – Reuters.
