JAKARTA: Langit bertukar kemerahan dan jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatera ketika kebakaran hutan dan tanah semakin meluas di Indonesia, menyebabkan kualiti udara merosot ke tahap sangat tidak sihat dan berbahaya.

Data Sistem Pemantauan Kebakaran Hutan dan Tanah (SiPongi) Kementerian Perhutanan Indonesia menunjukkan sebanyak 24,952 titik panas dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga pagi 8 Oktober.

Jumlah itu meningkat 1,621 titik berbanding tempoh pemantauan sebelumnya.

Data berdasarkan imej satelit pada 11.16 pagi 8 Oktober menunjukkan 1,002 daripada keseluruhan titik panas itu berada pada tahap tinggi; 22,885 pada tahap sederhana dan 1,065 pada tahap rendah.

Titik panas dengan tahap tinggi menunjukkan kemungkinan besar berlakunya kebakaran hutan dan tanah di sesuatu kawasan.

Bagaimanapun, titik panas bukan bermakna jumlah sebenar kebakaran. Ia merujuk kepada lokasi yang mempunyai suhu permukaan lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya, menurut SiPongi.

Apabila sejumlah besar titik panas dikesan berhampiran antara satu sama lain, ia boleh menunjukkan kemungkinan kebakaran sedang berlaku.

Kalimantan Tengah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 8,092 titik panas, diikuti Papua Selatan sebanyak 6,437 dan Sumatera Selatan dengan 3,321.

Sebanyak 1,246 titik panas turut dikesan di Kalimantan Timur, Kalimantan Selatan (880), Kalimantan Barat (755) dan Maluku (562).

Kementerian Perhutanan sebelum itu melaporkan 1,176 titik panas tinggi di seluruh Indonesia sehingga malam 7 Oktober.

Memetik pemantauan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kementerian itu berkata kualiti udara mencapai tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya di Kalimantan Tengah, sebahagian Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan, selain Sumatera Selatan dan Jambi.

Keadaan antara paling buruk dilaporkan di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, apabila jarak penglihatan merosot kepada hanya 150 meter pada 12.30 tengah hari, 7 Oktober.

Pegawai peramal BMKG, Encik Chandra Mukti, berkata angin yang lemah menyebabkan asap daripada kebakaran tidak dapat tersebar dengan baik, sekali gus memburukkan keadaan jerebu.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan langit berwarna jingga kemerahan, asap tebal menyelubungi kawasan tertentu dan api kelihatan menghampiri kawasan perumahan di beberapa bahagian Kalimantan.

Penduduk di Palangka Raya turut melaporkan mengalami kerengsaan mata dan kesukaran bernafas akibat jerebu.

Kementerian Perhutanan berkata operasi memadam kebakaran diteruskan dari darat dan udara.

Sebanyak 61 pesawat dikerahkan bagi membantu operasi itu, termasuk 44 pesawat untuk pengeboman air serta 17 bagi rondaan udara dan operasi pengubahsuaian cuaca.

Pasukan darat pula membabitkan anggota tentera, polis, agensi pengurusan bencana dan masyarakat setempat.

“Sebanyak 61 pesawat telah dikerahkan untuk menyokong operasi memadam kebakaran, termasuk 44 untuk pengeboman air dan 17 untuk rondaan udara dan pengubahsuaian cuaca, bersama pasukan darat yang melibatkan tentera, polis, agensi pengurusan bencana dan masyarakat tempatan,” menurut kementerian itu.

Keadaan turut membimbangkan di Sumatera.

BMKG Pekanbaru melaporkan jumlah titik panas di seluruh Sumatera meningkat mendadak daripada 3,157 pada petang 7 Oktober kepada 4,845 pada 11 malam hari sama.

Sumatera Selatan mencatatkan jumlah tertinggi, manakala Jambi merekodkan 384 titik panas, Bangka Belitung (316) dan Lampung (251).

Pegawai peramal BMKG Pekanbaru, Encik Yasir P, berkata peningkatan titik panas terutama di selatan Sumatera menyebabkan jerebu mula merebak ke kawasan lain, termasuk Riau.

Di Riau sendiri, 19 titik panas dikesan, dengan 15 daripadanya berada di Kuantan Singingi.

Kepekatan zarah pencemar di Riau sejak awal pagi 8 Oktober turut mencapai paras sangat tidak sihat, iaitu melebihi 200 mikrogram bagi setiap meter padu.

Jerebu tebal juga mula menjejaskan operasi penerbangan di beberapa kawasan.

Jarak penglihatan di Lapangan Terbang Melalan di Kalimantan Timur dilaporkan merosot kepada 500 meter pada 7 Oktober menyebabkan beberapa penerbangan dilaporkan dibatalkan.

Di Lapangan Terbang Sultan Thaha di Jambi pula, jarak penglihatan menurun kepada 800 meter menjelang tengah hari, menyebabkan beberapa penerbangan dari dan ke Jakarta tertangguh.

BMKG memberi amaran keadaan udara yang semakin buruk boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan, khususnya jangkitan pernafasan akut.

Orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah dan mengurangkan kegiatan luar sekiranya jerebu semakin tebal.

“Kami menggesa orang ramai memakai pelitup muka ketika melakukan kegiatan di luar dan mengehadkan kegiatan di luar rumah sekiranya keadaan jerebu semakin tebal,” kata Encik Yasir. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan