Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemua sekolah di Johor ditutup 8-9 Okt susulan jerebu
Penutupan turut libatkan sekolah agama, institusi pendidikan Islam swasta berdaftar
Semua sekolah di Johor ditutup 8-9 Okt susulan jerebu
JOHOR BAHRU: Semua sekolah di seluruh Johor ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh daerah negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata keputusan itu menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan murid.
“Semua sekolah di seluruh Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober 2026 sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid,” katanya dalam kenyataan pada 7 Oktober.
Sepanjang penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan.
Dr Muhammad Naqib berkata pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau pentaksiran lain yang terlibat akan ditangguhkan dan dijadualkan semula mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan.
Beliau turut meminta pertimbangan majikan untuk memberikan kelonggaran kepada ibu bapa dan penjaga yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang bersesuaian dengan syarikat masing-masing.
“Kerajaan negeri memahami bahawa keputusan ini mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa serta penjaga yang masih perlu bekerja,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
“Keputusan ini mungkin menuntut sedikit penyesuaian daripada semua pihak, namun dalam keadaan semasa, keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor perlu menjadi keutamaan kita bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata arahan penutupan turut melibatkan 575 Sekolah Agama Kerajaan Johor, tiga Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor dan 239 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) berdaftar.
Kesemua institusi berkenaan berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
“Penutupan ini merupakan langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah dan institusi pendidikan Islam susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang berlaku ketika ini,” katanya dalam kenyataan berasingan pada 7 Oktober.
Beliau berkata peperiksaan, pentaksiran atau program yang dijadualkan sepanjang tempoh itu akan ditangguhkan dan dijadualkan semula mengikut ketetapan pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
Kededua pengerusi jawatankuasa itu menyeru ibu bapa dan penjaga supaya memantau kesihatan anak-anak, mengurangkan kegiatan di luar rumah dan mendapatkan rawatan sekiranya mengalami batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
Dr Muhammad Naqib turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak minum air secukupnya.