KATHMANDU: Harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin tipis pada 2 September, seminggu selepas runtuhan glasier di Himalaya mencetuskan banjir besar yang meragut sekurang-kurangnya 1,050 nyawa di Nepal.

Hampir 4,500 orang masih hilang, dengan pihak berkuasa bimbang ramai tertimbus di bawah timbunan lumpur, batu dan serpihan bangunan selepas arus deras memusnahkan bandar dan kawasan lembah berhampiran sempadan China.

Pegawai kanan Pusat Operasi Kecemasan Nasional (NEOC) Nepal, Encik Phanindra Paudel, mengakui peluang menemukan mangsa terselamat semakin berkurangan selepas operasi mencari dan menyelamat memasuki minggu kedua.

“Harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin berkurangan,” katanya.

“Kami berdoa dan masih berharap. Harapan tetap harapan.”

Pasukan penyelamat kini memberi tumpuan kepada terowong beberapa loji hidroelektrik yang musnah akibat bencana itu kerana dipercayai masih terdapat mangsa terperangkap di dalamnya.

Jurucakap tentera Nepal, Encik Raja Ram Basnet, berkata terowong dan rumah janakuasa di kemudahan berkenaan mempunyai ruang serta bilik yang boleh digunakan pekerja untuk berlindung.

Pihak berkuasa berkata 279 orang berjaya diselamatkan dari runtuhan projek hidroelektrik setakat ini, tetapi sekurang-kurangnya 639 lagi masih hilang. Sebahagian daripada mereka dipercayai terperangkap di dalam terowong.

Namun, peluang menemukan mereka hidup semakin kecil.

Bekas pegawai kanan tentera, Encik Binoj Basnet, yang pernah menyelia operasi mencari dan menyelamat selepas gempa bumi Nepal pada 2015, berkata keadaan dan keluasan kawasan bencana menyukarkan usaha tersebut.

“Melihat kepada keadaan bencana dan kawasan yang dilanda banjir, semakin banyak hari berlalu, semakin tipis peluang untuk menemukan mangsa yang masih hidup,” katanya.

Gempa bumi pada 2015 mengorbankan kira-kira 9,000 orang.

Di seberang sempadan di Tibet, angka rasmi China kekal 16 orang terkorban dan 546 lagi hilang sejak 30 Ogos.

Perdana Menteri Nepal, Encik Balendra Shah, berkata pemerintah kini mula mengalihkan tumpuan daripada operasi mencari, menyelamat dan menyalurkan bantuan kecemasan kepada usaha pemulihan dan pembinaan semula.

“Pemerintah kini memberi tumpuan kepada pemulihan sambil berusaha melindungi nyawa penduduk di kawasan terjejas serta menyediakan rawatan perubatan dan kaunseling psikologi yang diperlukan,” katanya menerusi media sosial pada lewat 1 September.

Skala kerja pemulihan dijangka amat besar.

Anggaran awal Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan bencana itu meninggalkan sekurang-kurangnya 2.2 juta tan serpihan, termasuk runtuhan bangunan, batu dan mendapan.

Menurut UNDP, jumlah itu bersamaan kira-kira berat enam bangunan Empire State Building di New York.

“Jumlah serpihan menunjukkan skala kemusnahan dan cabaran yang dihadapi masyarakat ketika mereka membersihkan rumah, jalan dan ruang awam serta mula membina semula,” katanya.

Risiko penyakit semakin membimbangkan

Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai peningkatan risiko kesihatan awam di kawasan yang terjejas.

Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata agensi bantuan “amat bimbang” mengenai pusat perlindungan yang sesak, bekalan air tercemar dan kemudahan kesihatan yang rosak.

Risiko itu lebih membimbangkan bagi wanita dan kanak-kanak ketika musim tengkujuh masih berterusan.

Kira-kira 3,500 mangsa kini ditempatkan di 27 pusat pemindahan di Nuwakot dan Rasuwa, antara kawasan paling teruk dilanda bencana.

Encik Shah berkata pemerintah telah meningkatkan pemantauan kesihatan dan langkah tindak balas bagi mencegah kemungkinan tercetusnya wabak penyakit di kawasan banjir.

Bencana 26 Ogos itu tercetus selepas runtuhan ais dan batu di kawasan glasier pergunungan tinggi menghasilkan gelombang besar air, lumpur dan serpihan yang mengalir deras ke lembah di Nepal dan Tibet.

Para saintis sejak sekian lama memberi amaran bahawa peningkatan suhu dunia mempercepat pencairan glasier Himalaya dan meningkatkan risiko bencana berkaitan glasier.

Encik Shah berkata masyarakat antarabangsa perlu membantu mencari jawapan mengenai punca dan skala bencana tersebut.

“Persoalan mengapa ais dan batu runtuh serta bagaimana jumlah air yang begitu besar terhasil mesti dijawab oleh masyarakat global,” katanya.

China turut mengaitkan bencana itu dengan perubahan iklim.

Ketika Nepal mula beralih kepada usaha pemulihan, pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian, terutama di terowong loji hidroelektrik, dalam perlumbaan dengan masa untuk menemukan mereka yang masih hilang. - Agensi berita