Topik diikuti
Pergi ke BHkuMangsa banjir Nepal cuma sempat diberi amaran lima minit
KATHMANDU: Mangsa banjir besar Nepal hanya mempunyai kurang lima minit untuk menyelamatkan diri sebelum arus deras melanda, sekali gus mendedahkan kelemahan sistem pemantauan cuaca di kawasan pergunungan tinggi serta perkongsian data bencana antara Nepal dengan negara jirannya, China.
Bencana pada 26 Ogos itu, yang berpunca daripada runtuhan glasier, mengorbankan sekurang-kurangnya 797 orang di Nepal dan Tibet, manakala sekurang-kurangnya 3,048 lagi masih hilang.
Ketua Eksekutif Penguasa Nasional Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Nepal (NDRRMA), Encik Dharam Raj Uprety, berkata penduduk hampir tidak mempunyai masa untuk bertindak apabila gelombang air, ais, lumpur dan batu meluru dari kawasan pergunungan.
“Penduduk tidak mendapat tempoh amaran walaupun lima minit,” katanya.
Menurut beliau, antara masalah utama ialah kekurangan stesen pemantauan cuaca di kawasan pergunungan tinggi yang membolehkan pihak berkuasa mengesan perubahan keadaan dengan lebih awal.
“Kami tidak mempunyai stesen cuaca di kawasan pergunungan tinggi,” katanya sambil menjelaskan bahawa perkongsian data cuaca dan iklim merentas sempadan juga masih terhad.
“Ini antara cabaran terbesar kami.”
Bencana itu mendedahkan kelemahan besar dalam pemantauan kawasan Himalaya ketika peningkatan suhu dipercayai menyebabkan glasier dan cerun gunung menjadi semakin tidak stabil.
Sistem ramalan dan amaran awal yang lebih baik bukan sahaja penting untuk menyelamatkan nyawa, malah boleh membantu melindungi prasarana penting seperti empangan, projek hidroelektrik, jalan raya dan jambatan.
Ia juga penting bagi sektor pelancongan Nepal yang menjadi antara sumber pekerjaan dan pendapatan mata wang asing utama negara itu.
Banjir tercetus apabila sebahagian glasier runtuh, menyebabkan sejumlah besar ais, batu dan lumpur meluru ke lembah sebelum menghasilkan gelombang air deras yang memusnahkan kawasan penempatan di sepanjang laluannya.
Rakaman video menunjukkan penduduk cuba melarikan diri ketika arus deras bersama puing merempuh bangunan, meruntuhkan jambatan dan talian elektrik serta menghanyutkan pokok, batu besar dan kenderaan.
Walaupun Nepal mempunyai kemudahan pemantauan di kawasan lebih rendah dan di hilir sungai, sebahagian besar kawasan pergunungan tinggi masih tidak mempunyai sistem pemantauan mencukupi.
Memasang dan menyelenggara stesen cuaca pada altitud tinggi bukan sahaja mahal, malah sukar dilakukan kerana keadaan muka bumi dan cuaca ekstrem.
Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa mempunyai keupayaan terhad untuk mengesan perubahan suhu secara mendadak, keadaan tanah beku kekal serta ancaman baharu daripada glasier.
Analisis satelit awal menunjukkan batuan dasar di bawah sebuah glasier runtuh sebelum mencetuskan bencana tersebut.
Saintis bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa perubahan iklim secara langsung menyebabkan kejadian itu.
Namun, peningkatan suhu boleh mencairkan lapisan tanah yang biasanya kekal beku, sekali gus melemahkan kestabilan cerun gunung di kawasan altitud tinggi.
China turut mengambil langkah meningkatkan pemantauan selepas bencana tersebut.
Presiden China, Encik Xi Jinping, mengarahkan tinjauan terhadap glasier dan tasik glasier di seluruh Dataran Tinggi Tibet dipercepat bagi mengurangkan risiko bencana serupa.
Parti Komunis China pada 28 Ogos turut mengarahkan pemantauan dan sistem amaran awal diperkukuh supaya pihak berkuasa dapat mengenal pasti lebih awal risiko bencana yang saling berkaitan.
Kedutaan China di Nepal pula berkata Beijing sentiasa berusaha, berdasarkan kemampuan teknologi sedia ada, untuk menjalankan pemantauan, penilaian dan analisis serta berkongsi maklumat penting dengan Nepal dengan segera.
Menurut kedutaan itu, kedua-dua negara turut mengekalkan komunikasi rapat mengenai pengurusan bencana rentas sempadan.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menjelaskan sama ada China telah memberi amaran khusus kepada Nepal sebelum bencana 26 Ogos itu berlaku.
Encik Uprety berkata memperkukuh sistem amaran awal kini menjadi antara keutamaan utama Nepal.
NDRRMA, yang menyelaras tindak balas pemerintah terhadap bencana itu, telah menyediakan pelan tindakan yang dijangka diluluskan tidak lama lagi.
Antara tumpuannya ialah memastikan masyarakat di kawasan berisiko menerima amaran lebih awal supaya mempunyai masa mencukupi untuk berpindah atau mencari tempat selamat.
Encik Uprety turut menekankan bahawa data berkaitan iklim dan bencana perlu dikongsi dengan lebih terbuka antara negara kerana ancaman yang bermula di kawasan pergunungan tidak mengenal sempadan.
“Selagi kita terus meletakkan sempadan terhadap maklumat iklim,” katanya, bencana yang bermula di kawasan pergunungan terpencil akan kekal sukar diramal.
Perdana Menteri Nepal, Encik Balendra Shah, menyifatkan bencana itu sebagai tragedi yang “tidak dapat dibayangkan dan menyayat hati”, ketika pihak berkuasa masih berusaha menentukan skala sebenar kemusnahan.
“Negara kita sedang menghadapi bencana alam yang tidak dapat dibayangkan dan menyayat hati,” katanya.
Menurut beliau, banjir dahsyat di Sungai Bhote Koshi di Rasuwa menyebabkan usaha mendapatkan gambaran lengkap mengenai kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kemusnahan prasarana menjadi amat sukar.
“Walaupun tugas ini kekal mencabar disebabkan cuaca buruk, keadaan muka bumi yang sukar dan risiko yang masih berterusan, kami tetap bergerak ke hadapan dengan tekad untuk melindungi nyawa rakyat,” katanya.
Selain penduduk tempatan, ramai pelancong dan jemaah yang dalam perjalanan ke Gunung Kailash di Tibet masih belum dapat dikesan.
Anggaran awal menunjukkan kerosakan akibat bencana itu boleh mencecah sekurang-kurangnya AS$5 bilion (S$6.37 bilion).
Pengerusi konglomerat Chaudhary Group, Encik Binod Chaudhary, menganggarkan usaha membangunkan semula kawasan yang musnah mungkin mengambil masa antara tujuh dengan lapan tahun, hampir sama dengan tempoh pemulihan selepas gempa bumi besar Nepal pada 2015.
Bagi Nepal, bencana terbaru itu bukan sahaja menuntut operasi mencari dan menyelamat besar-besaran, malah meningkatkan keperluan mendesak untuk membina sistem pemantauan dan amaran awal yang mampu memberi penduduk lebih daripada beberapa minit untuk menyelamatkan diri apabila bencana seterusnya melanda. - Agensi berita
