JAKARTA: Syarikat tenaga milik negara, Pertamina, menaikkan harga beberapa produk bahan api tidak bersubsidi secara mendadak berkuat kuasa 18 April, susulan gangguan bekalan global akibat sekatan di Asia Barat dan ketegangan geopolitik.

Di Jakarta, harga petrol RON-98 Pertamax Turbo meningkat kepada 19,400 rupiah ($1.43) seliter daripada 13,100 rupiah sebelum ini.

Bahan api diesel pula mencatat kenaikan lebih ketara, dengan Dexlite melonjak kepada 23,600 rupiah daripada 14,200 rupiah, manakala Pertamina Dex naik kepada 23,900 rupiah daripada 14,500 rupiah.

Namun, Pertamina menegaskan harga bahan api bersubsidi seperti Pertalite dan Biosolar masing-masing kekal pada 10,000 rupiah dan 6,800 seliter rupiah.

Harga Pertamax (RON 92) dan Pertamax Green juga tidak berubah.

Penganalisis ekonomi menyifatkan kenaikan tersebut sebagai kesan langsung daripada gangguan rantaian bekalan global, termasuk penutupan Selat Hormuz dan kerosakan kemudahan tenaga di negara Teluk.

Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Bhima Yudhistira, berkata kenaikan mendadak, khususnya bagi Pertamina Dex, berpotensi memberi kesan luas kepada ekonomi.

“Kenaikan ini akan menular kepada inflasi kerana bahan api ini digunakan bukan sahaja oleh kenderaan persendirian, tetapi juga jentera berat dan sektor industri,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa pengguna mungkin beralih kepada bahan api lebih murah, sekali gus memberi tekanan kepada bekalan alternatif.

“Bekalan bahan api lain perlu dikekalkan dan tidak boleh merosot secara mendadak akibat perubahan corak penggunaan,” katanya.

Harga minyak mentah global kini berada sekitar AS$90 ($114) setong, jauh melebihi andaian peruntukan Indonesia sebanyak AS$70.

Keadaan ini dijangka berterusan apabila laluan perkapalan di Selat Hormuz masih terganggu, sekali gus mengekang bekalan global.

Encik Bhima mencadangkan pemerintah mempercepat penyediaan pengangkutan awam percuma di luar Pulau Jawa serta menyediakan pakej pampasan seperti subsidi gaji dan diskaun elektrik bagi melindungi kuasa beli rakyat.

“Langkah mitigasi perlu dipercepat untuk mengelakkan tekanan ekonomi dan risiko kehilangan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Energy Shift Institute, Putra Adhiguna berkata kesan kenaikan harga terhadap bajet negara dijangka terhad kerana produk terlibat hanya menyumbang sebahagian kecil daripada jumlah jualan Pertamina.

“Kenaikan ini lebih bersifat simbolik untuk menunjukkan betapa seriusnya krisis bahan api global,” katanya.
Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa tekanan bekalan mungkin akan meningkat dalam tempoh terdekat.

“Hakikatnya, bekalan minyak global kini berdepan krisis terbesar dalam sejarah,” katanya.

Pengarah Eksekutif Pusat Reformasi Ekonomi (Core) Indonesia, Encik Mohammad Faisal pula berkata langkah menaikkan harga bahan api premium bertujuan mengekalkan aliran tunai syarikat serta mengagihkan beban kepada golongan berpendapatan tinggi.

“Golongan yang mempunyai kuasa beli lebih tinggi tidak lagi sepatutnya menerima subsidi besar daripada kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Pertama Iran, Encik Mohammad Reza Aref awal 20 April, memberi amaran bahawa keselamatan di Selat Hormuz tidak dapat dijamin, sekiranya eksport minyak Iran terus disekat, lapor Anadolu Ajansi.

“Tiada siapa boleh menyekat eksport minyak Iran sambil mengharapkan keselamatan laluan itu dinikmati secara bebas oleh pihak lain. 

“Keselamatan di Selat Hormuz bukan percuma,” kata beliau menerusi platform media sosial X.

Beliau turut berkata dunia kini berdepan pilihan sama ada “pasaran minyak bebas untuk semua” atau “kos besar yang perlu ditanggung semua pihak”.

Iran mengumumkan semula kawalan ketat ke atas Selat Hormuz susulan sekatan laut berterusan oleh Amerika Syarikat.

Data penjejakan kapal menunjukkan pergerakan kapal tangki minyak di laluan itu hampir terhenti, manakala beberapa insiden tembakan dan ancaman terhadap kapal komersial turut dilaporkan.

Dua kapal milik Pertamina, Pertamina Pride dan Gamsunoro, dilaporkan masih terkandas di Teluk Arab dan tidak dapat melalui Selat Hormuz.

Jurucakap PT Pertamina International Shipping, Cik Vega Pita berkata syarikat sedang memantau situasi yang berubah-ubah serta menyediakan pelan laluan selamat.

“Keselamatan kru, kapal dan kargo adalah keutamaan kami,” katanya. – Agensi berita.

Kementerian Luar Indonesia memaklumkan pihaknya terus memantau perkembangan di rantau tersebut dengan kerjasama Kedutaan Indonesia di Teheran.

“Keutamaan kami adalah keselamatan kru serta keselamatan kapal dan muatan,” kata jurucakap kementerian, Cik Yvonne Mewengkang.

Dalam usaha meredakan tekanan pasaran, Amerika turut melanjutkan pengecualian sekatan minyak Russia sehingga 16 Mei bagi membolehkan pembelian minyak yang terkandas di laut.

“Langkah ini bagi memastikan bekalan minyak mencukupi ketika rundingan sedang dipercepatkan,” menurut jurucakap Perbendaharaan Amerika. – Agensi berita.