Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia pilih lindungi rakyat, subsidi bahan api serap kejutan ekonomi
Indonesia pilih lindungi rakyat, subsidi bahan api serap kejutan ekonomi
Subsidi tenaga bukan sekadar dasar fiskal, ia ‘kontrak sosial’ pemerintah dengan rakyat
Indonesia pilih lindungi rakyat, subsidi bahan api serap kejutan ekonomi
JAKARTA: Ketika banyak negara bergelut dengan lonjakan harga tenaga sejagat akibat konflik Iran dan Timur Tengah, Indonesia memilih pendekatan berbeza – mengekalkan harga bahan api domestik pada paras rendah melalui subsidi besar-besaran.
Pendekatan itu bukan sekadar dasar ekonomi, malah, ia mencerminkan struktur politik dan kontrak sosial yang telah terbina sejak beberapa dekad lalu.
Dalam keadaan semasa, harga bahan api bersubsidi di Indonesia kekal tidak berubah.
Ia susulan pengumuman pemerintah pada 31 Mac bahawa tiada pelarasan harga akan dibuat bagi April.
Petrol bersubsidi RON90 dijual pada harga tetap 10,000 rupiah ($0.85) seliter, manakala diesel bersubsidi (biosolar) dihadkan pada 6,800 rupiah seliter, dengan pemerintah menanggung perbezaan kos.
Ini walaupun harga minyak mentah Brent melepasi AS$118 ($154) setong.
Sebaliknya, bahan api tidak bersubsidi ditetapkan berdasarkan mekanisme pasaran.
Langkah itu dilihat sebagai usaha mengekalkan kestabilan ekonomi domestik, khususnya dalam negara, memandangkan sebahagian besar rakyat bergantung kepada bahan api murah untuk kehidupan harian.
“Untuk rakyat” bukan sekadar retorik, tetapi diterjemahkan melalui dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat.
Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto, menegaskan pendekatan itu bertujuan melindungi kuasa beli rakyat.
“Bagi mengekalkan kestabilan ekonomi dan kuasa beli rakyat, pemerintah memutuskan harga bahan api bersubsidi tidak akan dinaikkan,” katanya dalam sidang media.
Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berkata pemerintah mempunyai kapasiti fiskal yang mencukupi untuk meneruskan dasar berkenaan, disokong oleh pengiraan belanjawan serta penampan kewangan sedia ada.
“Harga bahan api bersubsidi tidak akan dinaikkan sehingga akhir tahun (2026) ini,” katanya dalam sidang media pada 6 April.
Beliau menambah, pemerintah juga mempunyai penampan kewangan kira-kira 420 trilion rupiah dalam lebihan belanjawan (SAL) yang boleh digunakan jika perlu.
Pendekatan itu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, terutama apabila sekitar 60 peratus isi rumah di Indonesia bergantung kepada motosikal, manakala diesel menjadi nadi sektor logistik, perikanan dan ekonomi luar bandar.
Dari sudut ekonomi, subsidi tenaga di Indonesia berfungsi sebagai mekanisme “penyerap kejutan” terhadap turun naik harga sejagat.
Belanjawan negara digunakan untuk menampung perbezaan harga, sekali gus mengelakkan kesan inflasi secara mendadak kepada rakyat.
Namun, pendekatan itu bukan tanpa kritikan.
Dalam wacana ekonomi antarabangsa, subsidi bahan api sering dilihat sebagai tidak efisien kerana ia mengurangkan insentif ke arah penggunaan tenaga secara lestari dan membebankan kewangan negara.
Walaupun demikian, pengalaman Indonesia menunjukkan pendekatan yang lebih pragmatik.
Subsidi tidak semata-mata dianggap sebagai beban fiskal, tetapi sebagai instrumen kestabilan sosial dan politik.
Dasar itu tidak muncul secara kebetulan, sebaliknya berakar daripada pengalaman sejarah yang panjang.
Sejak era mantan Presiden Sukarno dan diteruskan di bawah pemerintahan mantan Presiden Suharto, tenaga dilihat sebagai sumber strategik yang perlu memberi manfaat kepada rakyat sebelum pertimbangan keuntungan.
Krisis Kewangan Asia 1998 menjadi titik penting yang membentuk pendekatan itu.
Ketika itu, kenaikan mendadak harga bahan api mencetuskan inflasi dan rusuhan besar-besaran, akhirnya membawa kepada kejatuhan Encik Suharto selepas 32 tahun berkuasa.
Pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam pada dasar tenaga Indonesia.
“Memotong subsidi secara mendadak tanpa perlindungan sosial boleh menjatuhkan pemerintah,” merupakan pengajaran utama yang terus mempengaruhi dasar sehingga hari ini.
Sejak itu, pemerintah Indonesia mengambil pendekatan berperingkat.
Ia mengekalkan harga selagi mampu, menaikkan hanya apabila perlu, dan menyediakan bantuan sosial untuk mengurangkan kesan kepada rakyat.
Walaupun pendekatan itu berjaya mengekalkan kestabilan dalam negara, ia memberi tekanan besar pada kewangan negara.
Belanjawan 2026 memperuntuk sekitar AS$12.4 bilion ($15.8 bilion) untuk subsidi tenaga, meningkat daripada AS$10.9 bilion tahun sebelumnya.
Pada masa sama, perbelanjaan perlindungan sosial turut meningkat, menunjukkan bahawa strategi itu bergantung kepada keupayaan fiskal yang kukuh.
Presiden, Encik Prabowo Subianto, mengakui kepentingan memperkukuh daya tahan ekonomi dalam menghadapi ketidaktentuan sejagat.
“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kita mahu mencapai 100 gigawatt tenaga solar. Ini semakin mendesak berdasarkan keadaan semasa,” katanya.
Kenyataan itu mencerminkan usaha Indonesia mengimbangi kebergantungan pada bahan api fosil dengan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
Dalam konteks ini, krisis tenaga sejagat sebenarnya membuka ruang kepada reformasi yang telah lama dibincangkan, khususnya peralihan daripada subsidi produk kepada subsidi yang lebih bersasar kepada isi rumah.
Dengan penggunaan sistem data nasional dan pendigitalisasi bantuan sosial, pemerintah berpotensi menyalurkan subsidi secara lebih tepat kepada golongan memerlukan, sekali gus meningkatkan kecekapan perbelanjaan.
Namun, cabaran utama bukan hanya bersifat ekonomi, malah politik.
Subsidi tenaga di Indonesia bukan sekadar dasar fiskal, ia sebahagian daripada ‘kontrak sosial’ antara pemerintah dengan rakyat.
Sebarang perubahan drastik tanpa sokongan sosial yang mencukupi berisiko mencetuskan ketidakstabilan.
Pendekatan Indonesia dalam menangani lonjakan harga tenaga memperlihatkan satu dilema dasar yang ketara.
Ia termasuk keperluan mengekalkan kestabilan harga bagi melindungi rakyat, berbanding tekanan untuk memastikan kecekapan fiskal dalam jangka panjang.
Dalam tempoh terdekat, subsidi bahan api jelas berfungsi sebagai perisai terhadap kejutan ekonomi sejagat, khususnya dalam melindungi kuasa beli isi rumah.
Namun, tekanan terhadap belanjawan negara serta keperluan peralihan kepada tenaga lebih lestari menuntut pembaharuan dasar yang lebih menyeluruh dan berstruktur.
Seorang penunggang e-hailing di Jakarta, Encik Ahmad Rizky, berkata kestabilan harga bahan api memberi kesan langsung kepada pendapatannya.
“Kalau harga minyak naik, kos harian kami terus meningkat.
“Dengan harga sekarang dikekalkan, sekurang-kurangnya kami masih boleh bertahan,” katanya.
Di wilayah luar bandar, kesannya lebih ketara.
Cik Liyana, seorang peniaga kecil di Jawa Tengah, berkata subsidi bahan api membantu mengekalkan harga barangan.
“Kalau kos pengangkutan naik, harga barang pun naik. Subsidi ini penting untuk kami terus berniaga,” ujarnya.
Pandangan itu mencerminkan keutamaan dasar pemerintah yang tidak hanya tertumpu kepada angka dalam belanjawan, tetapi kepada kestabilan kehidupan harian rakyat.
Dalam konteks Indonesia, subsidi tenaga bukan sekadar instrumen ekonomi, ia sebahagian daripada kontrak sosial yang telah lama terbina.
Walaupun pendekatan itu sering diperdebatkan di peringkat antarabangsa, ia berakar dalam realiti dalam negara yang kompleks – kestabilan sosial dan ekonomi saling berkait rapat.
Sebarang perubahan dasar, khususnya yang melibatkan pengurangan subsidi, perlu dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelakkan kesan yang lebih besar terhadap masyarakat. – Agensi berita.

