SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Harga barangan di Iran melambung di tengah gencatan senjata

Harga barangan di Iran melambung di tengah gencatan senjata

Apr 9, 2026 | 2:37 PM

Harga barangan di Iran melambung di tengah gencatan senjata

Sebuah mural yang memaparkan pemimpin Revolusi Islam Iran yang telah meninggal dunia, Ayatollah Ruhollah Khomeini, dan bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dipapar pada tingkap sebuah kedai buku di Teheran pada 5 April 2026.
Sebuah mural yang memaparkan pemimpin Revolusi Islam Iran yang telah meninggal dunia, Ayatollah Ruhollah Khomeini, dan bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dipapar pada tingkap sebuah kedai buku di Teheran pada 5 April 2026. - Foto REUTERS

TEHERAN: Rakyat Iran berdepan tekanan ekonomi yang semakin parah selepas lebih lima minggu konflik, dengan harga barangan asas melonjak mendadak di tengah gencatan senjata rapuh antara Iran dan Amerika Syarikat.

Sebelum perang bermula, inflasi di negara yang dikenakan sekatan itu sudah mencecah hampir 50 peratus, mencetuskan protes besar-besaran anti-pemerintah. Kini, keadaan dilihat semakin memburuk apabila harga makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian terus meningkat.

Seorang penduduk Tehran, Encik Amir, 40, berkata harga roti bakar yang biasa dibelinya meningkat ketara.

“Harganya naik daripada 700,000 rial ($0.68 ) kepada 1,000,000 rial dalam masa singkat,” katanya.

Kenaikan harga turut memberi kesan besar kepada kos rawatan. Seorang pesakit dilaporkan terpaksa membayar sehingga 180 juta rial untuk ubat barah yang sebelum ini hanya berharga sekitar tiga juta rial.

Kesan inflasi turut dirasai di sektor perkhidmatan. Seorang artis di ibu negara, Encik Kaveh, berkata sebuah kafe popular di pusat bandar menaikkan harga sehingga 25 peratus dalam satu hari. “Semua menu naik harga sekali gus,” katanya.

Di barat laut Iran, harga barangan import juga meningkat ketara. “Ada produk yang harganya naik sehingga tiga kali ganda,” kata seorang wanita berusia 50 tahun.

Dalam usaha menangani tekanan inflasi, bank pusat Iran memperkenalkan wang kertas baru bernilai 10 juta rial pada pertengahan Mac, selepas sebelum itu mengeluarkan wang kertas lima juta rial – mencerminkan kejatuhan nilai mata wang negara itu.

Kesukaran ekonomi ini turut mencetuskan gelombang protes besar pada awal 2026, bermula dengan mogok pedagang di bazar terkenal Tehran. Menurut kumpulan hak asasi, ribuan orang terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa.

Selain kenaikan harga, ramai rakyat kehilangan pekerjaan apabila perniagaan terpaksa ditutup akibat perang. Aktiviti ekonomi terjejas teruk apabila waktu operasi bazar dipendekkan dan sektor pembinaan menghentikan projek.

Seorang pelukis, Cik Faizullah Arab, 23 tahun, berkata peluang kerja semakin sukar diperoleh.

“Sejak perang bermula, kerja semakin susah dan projek pembinaan terhenti,” katanya. Seorang lagi pekerja, Cik Walijan Akbari, 42 tahun, berkata ramai majikan meninggalkan negara. “Majikan pergi ke luar negara dan banyak perniagaan berhenti,” katanya.

Gangguan internet selama lebih lima minggu turut menjejas peniaga dalam talian dan perniagaan e-dagang, menyukarkan operasi harian.

Seorang wanita berusia 35 tahun yang bekerja dalam sektor kewangan di Isfahan menggambarkan keadaan semasa sebagai sangat membimbangkan. “Saya benar-benar takut tentang masa depan kami, terutama dari segi ekonomi. Keadaan sekarang seperti bencana,” katanya. “Pembuangan pekerja berlaku di mana-mana, banyak perniagaan ditutup. Semuanya terasa sangat menekan.”

Serangan udara ke atas sektor industri seperti keluli dan petrokimia, serta prasarana penting termasuk jambatan dan jalan raya, dijangka memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara.

Bekas pegawai kanan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Encik Adnan Mazarei, berkata sektor perbankan Iran juga berada dalam keadaan rapuh sebelum perang.

“Sistem perbankan sudah lemah sebelum konflik ini dan kini akan menerima tekanan tambahan apabila pengguna dan syarikat tidak mampu membayar balik pinjaman,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa lebih banyak bank mungkin memerlukan bantuan. “Jika bank pusat terpaksa mencetak wang untuk menyelamatkan institusi kewangan, ia akan meningkatkan bekalan wang dan seterusnya menambah tekanan inflasi,” katanya.

Kegagalan Bank Ayandeh pada akhir 2025, yang mencatat kerugian besar, turut menjadi tanda awal kelemahan sektor tersebut.

Menurut data rasmi, kadar inflasi tahunan Iran mencecah 47.5 peratus pada Februari.

Dalam masa sama, gencatan senjata selama dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat mencetuskan reaksi bercampur dalam kalangan rakyat. Ada yang melihatnya sebagai peluang untuk meredakan konflik, namun ramai juga meluahkan kekecewaan terhadap situasi semasa.

“Gencatan senjata ini memberi sedikit ruang untuk bernafas, tetapi kehidupan masih sangat sukar,” kata seorang penduduk Teheran. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg