Penduduk Teheran dalam ketakutan, konflik ragut nyawa lebih 1,000 orang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Teheran dalam ketakutan, konflik ragut nyawa lebih 1,000 orang

Mar 5, 2026 | 1:22 PM

Penduduk Teheran dalam ketakutan, konflik ragut nyawa lebih 1,000 orang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
teheran, iran, america, israel, war
Beberapa individu berjalan melepasi bangunan yang musnah selepas serangan ke atas balai polis di tengah konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, di Teheran, Iran, pada 4 Mac. - Foto REUTERS

TEHERAN: Serangan udara yang berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran sejak 28 Februari telah menukar kehidupan harian di ibu kota Teheran menjadi suasana penuh ketegangan, ketakutan dan ketidakpastian, dengan penduduk terpaksa berlindung di rumah ketika letupan dan bunyi pesawat pejuang kedengaran hampir setiap hari.

Serangan tersebut menyasarkan tapak ketenteraan dan politik Iran dalam usaha melemahkan pemerintah Islam negara itu.

Namun, beberapa kawasan awam turut terjejas akibat serangan tersebut.

Lebih daripada 1,000 orang awam dilaporkan terbunuh dalam tempoh lima hari pertama serangan udara Amerika dan Israel ke atas Iran, termasuk sekurang-kurangnya 181 kanak-kanak berusia di bawah 10 tahun, menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di Amerika.

Rumah Putih menyatakan Amerika sedang menyiasat insiden tersebut dan menegaskan sasaran operasi ketenteraan tidak melibatkan orang awam.

Di Teheran, ramai penduduk menggambarkan keadaan sebagai jauh lebih buruk berbanding konflik 12 hari sebelumnya antara Iran dengan Israel pada 2025.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Encik Salar, yang namanya dirahsiakan atas faktor keselamatan, berkata intensiti serangan udara yang berlaku kini amat luar biasa.

“Jumlah letupan dan kemusnahan yang berlaku sekarang sukar digambarkan. Apa yang sedang berlaku benar-benar tidak dapat dipercayai,” katanya kepada BBC.

Beliau berkata bunyi serangan udara yang kerap membuatkan penduduk hidup dalam kebimbangan berterusan.

“Setiap hari terasa seperti sebulan. Serangan berlaku terlalu banyak,” katanya.

Encik Salar turut menceritakan bagaimana satu serangan udara menyebabkan seluruh rumahnya bergegar sehingga beliau terpaksa membiarkan tingkap terbuka bagi mengelakkan kaca pecah akibat tekanan letupan.

Maklumat mengenai keadaan sebenar di Iran sukar diperoleh kerana wartawan asing jarang diberikan visa untuk memasuki negara itu.

Sekatan Internet yang berterusan juga menyukarkan komunikasi dan penyebaran maklumat.

Ramai penduduk memilih untuk kekal di rumah dan hanya keluar bagi membeli bekalan asas.

Seorang pelajar berusia 25 tahun di Teheran berkata kehadiran pasukan keselamatan di jalan raya semakin meningkat sejak kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam gelombang pertama serangan.

“Terdapat sekatan jalan raya di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata harga barangan asas seperti telur dan kentang meningkat mendadak sejak konflik tercetus.

Menurutnya, barisan panjang untuk membeli petrol dan roti juga semakin ketara.

“Keadaan barisan sangat luar biasa. Orang ramai berebut untuk mendapatkan bekalan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk Teheran berkata suasana bandar itu kini terasa sunyi dan lengang.

“Teheran terasa kosong. Orang hanya keluar rumah jika benar-benar ada sebab penting,” katanya.

Beliau menambah pada hari pertama serangan, sesetengah penduduk dilihat bersorak di jalanan, namun keadaan kini berubah dengan kehadiran polis yang semakin ketat.

“Pada awalnya orang melaungkan slogan dan kelihatan gembira. Tetapi sekarang pasukan keselamatan berada di mana-mana,” katanya.

Encik Salar berkata pemerintah juga memberi amaran keras kepada penduduk agar tidak menyertai sebarang protes.

Menurut beliau, pasukan keselamatan menghantar mesej teks kepada orang ramai bagi menghalang mereka keluar ke jalanan.

“Setiap hari kami menerima mesej SMS yang memberi amaran bahawa jika kami keluar rumah untuk berkumpul, tindakan keras akan diambil,” katanya.

Satu mesej yang diterimanya memberi amaran sesiapa yang menyertai protes akan dianggap sebagai sekutu Israel.

“Mesej itu menyatakan jika ada antara kami yang keluar untuk membantah, mereka akan dianggap sebagai kolaborator Israel,” katanya.

Beliau percaya amaran tersebut menunjukkan pasukan keselamatan bersedia mengambil tindakan tegas, termasuk menggunakan kekerasan.

Serangan udara bukan sahaja berlaku di Teheran.

Cik Kaveh, seorang penduduk bandar Zanjan yang terletak kira-kira 275 kilometer di timur laut ibu negara, berkata bandar itu juga menjadi sasaran serangan udara.

“Dalam tiga hari pertama, bandar kami dibom dengan teruk,” katanya.

Menurut beliau, kawasan tempat tinggalnya sering dilintasi jet pejuang yang terbang rendah.

Cik Kaveh berkata langit di bandar itu hampir sentiasa diliputi asap akibat serangan udara.

“Langit sentiasa kelihatan berawan kerana asap dari tapak serangan. Ia kelihatan indah tetapi pada masa yang sama menakutkan,” katanya.

Ramai penduduk Teheran kini cuba menghantar anggota keluarga mereka ke kawasan yang dianggap lebih selamat.

Encik Salar berkata beliau menghantar ibu bapanya ke kawasan utara Iran, walaupun tidak pasti bandar mana yang benar-benar selamat.

Rumah keluarganya terletak di kawasan Shariati di Teheran yang mempunyai banyak kemudahan ketenteraan.

“Ibu saya sangat ketakutan. Keadaan ini lebih buruk daripada apa yang beliau alami semasa perang Iran-Iraq pada 1980-an,” katanya.

Beliau berkata semakin ramai penduduk meninggalkan Teheran setiap hari, tetapi tidak semua orang mempunyai pilihan untuk berbuat demikian.

“Seorang rakan saya mempunyai nenek yang sakit dan mereka tidak dapat memindahkannya,” katanya.

Sekatan Internet yang meluas juga menyebabkan ramai penduduk sukar berhubung dengan keluarga dan rakan.

Cik Kaveh berkata sambungan Internet di kawasannya terputus pada hari pertama serangan dan hanya pulih selepas dua hari.

Beliau kini menggunakan rangkaian persendirian maya (VPN) bagi mengakses laman web yang disekat pemerintah.

Apabila berjaya mendapatkan sambungan Internet, beliau cuba membantu rakan-rakan di luar negara yang tidak dapat menghubungi keluarga mereka di Iran.

“Saya cuba membantu mereka mendapatkan maklumat tentang keluarga mereka atau menyampaikan mesej,” katanya.

Reaksi rakyat terhadap kematian Ayatollah Ali Khamenei pula sukar diukur dengan tepat kerana kawalan keselamatan yang ketat serta sekatan komunikasi di seluruh negara.

Namun laporan daripada penduduk dan rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan respons yang bercampur.

Di beberapa kawasan, sekumpulan penduduk dilihat keluar ke jalanan untuk meraikan kematian pemimpin tersebut, manakala di tempat lain ribuan orang menghadiri perhimpunan berkabung yang dianjurkan pihak pemerintah.

Cik Kaveh berkata beliau pada awalnya sukar mempercayai berita mengenai kematian pemimpin tersebut.

“Saya selalu membayangkan detik itu akan membawa kegembiraan, tetapi apabila ia benar-benar berlaku, perasaan saya bercampur-baur,” katanya.

Menurut beliau, peristiwa itu turut mengingatkan rakyat kepada penderitaan dan pengorbanan yang dialami selama bertahun-tahun di bawah konflik dan tekanan politik.

“Hampir seluruh hidup saya dan jutaan orang lain dibayangi kesukaran, dan ribuan nyawa telah terkorban.

“Namun perubahan besar boleh berlaku dalam sekelip mata, dan saya berharap ia membuka ruang kepada masa depan yang lebih baik untuk rakyat Iran,” katanya.

Walaupun keadaan masih tidak menentu, sebahagian rakyat Iran masih berharap masa depan negara mereka akan berubah.

Encik Salar juga berkata ramai penduduk mengalami tekanan emosi yang teruk akibat perang.

“Saya rasa tiada seorang pun daripada kami akan kembali seperti dahulu,” katanya.

Beliau juga berkata penyokong perubahan politik di luar negara mungkin tidak memahami kesukaran yang sedang dialami rakyat di Iran.

“Mereka yang berada di luar negara tidak benar-benar tahu apa yang sedang kami lalui. Saya harap mereka tidak perlu mengalaminya,” katanya.

Cik Kaveh pula percaya konflik ini mungkin tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

“Perang ini mungkin tidak akan berakhir secepat yang kami jangkakan,” katanya.

Namun beliau tetap menaruh harapan terhadap masa depan.

“Walaupun begitu, harapan saya tidak berkurang. Malah ia semakin kuat setiap hari,” katanya.

Menurutnya, apa sahaja yang berlaku selepas operasi ketenteraan ini, rakyat Iran masih berharap kepada peluang untuk kehidupan yang lebih baik.

“Sekurang-kurangnya masih ada peluang untuk hidup dan melihat hari esok,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg