Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA: E-MEL DARI KL

Hari mengundi awal November?

Oct 12, 2022 | 05:30 AM



SETELAH hampir tiga bulan berteka-teki dalam kesamaran, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akhirnya tunduk pada desakan para pemimpin Umno untuk membubarkan Parlimen.



Sejak lewat Ahad lalu, terdengar desas-desus yang mengatakan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Yang Di Pertuan Agong untuk memohon perkenan membubarkan Parlimen.



Pengumuman mengejut yang dibuat Isnin lalu adalah di luar dugaan walaupun terdapat banyak spekulasi ia akan berlaku dalam masa terdekat.



Namun tidak ramai menjangka Parlimen dibubarkan sebelum Belanjawan 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu dapat dibahas dan diluluskan.



Umno jelas bertekad meneruskan rancangan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 November ini meskipun terdapat risiko bencana banjir.



Keadaan serupa pernah berlaku pada 1999, sewaktu Umno juga sedang menghadapi krisis kepimpinan.



Pada masa itu laungan reformasi pertama kali kedengaran di jalanan menyokong mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menghadapi beberapa tuduhan salah laku seks.



Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, membentangkan Belanjawan 2000 pada 29 Oktober 1999.



Parlimen dibubarkan pada 11 November dan PRU10 diadakan pada 29 November.



Setelah hampir tiga bulan, pada 25 Februari 2000, Belanjawan negara dibentangkan semula untuk perbahasan Parlimen.



Kini setelah 23 tahun, sejarah berulang kembali.



Tetapi krisis kepimpinan Umno kali ini lebih serius daripada 1999.



Umno tidak lagi mempunyai undi majoriti dua pertiga di Parlimen.



Mantan Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, sedang menjalani hukuman penjara.



Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi, masih menghadapi tuduhan rasuah dan pecah amanah.



Malah di kalangan kepimpinan utama Umno sendiri tidak ada kata sepakat.



Alasan utama yang diajukan ialah Malaysia memerlukan sebuah kerajaan stabil untuk menghadapi kemelesetan ekonomi dunia menjelang tahun depan.



Parti-parti pembangkang mendakwa Umno mahu PRU15 diadakan secepat mungkin atas muslihat dan kepentingan politik.



Menurut mereka kerajaan seharusnya menyalurkan sumber kewangan dan bantuan untuk membantu rakyat yang dilanda bencana banjir.



Ini kerana kos membiayai PRU15 dalam masa banjir dijangka mencecah RM1 bilion ($300 juta) berbanding RM500 juta pada PRU 2018.



Malah, 12 orang menteri PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengutus surat kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menyuarakan bantahan mereka.



Di samping itu, enam kerajaan negeri yang dikuasai parti pembangkang dijangka memboikot PRU15 jika diadakan tahun ini.



Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hingga tahun depan.



Tindakan serupa diambil oleh PAS untuk DUN Kelantan, Kedah dan Terengganu di bawah kuasanya.



Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri mengatakan matlamat utama PRU15 ialah adalah untuk memulangkan mandat kepada rakyat memilih sebuah kerajaan baru.



"Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15," kata beliau.



Kerajaan pimpinan beliau sering disifatkan oleh pembangkang sebagai kerajaan pintu belakang yang dilantik berikutan 'Langkah Sheraton' yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 apabila beberapa pemimpin kanan Parti Bersatu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpaling tadah.



Datuk Ismail Sabri hanya menjadi Perdana Menteri selama 13 bulan setelah dilantik pada 21 Ogos 2021, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan.



Presiden PKR, Datuk Seri Anwar mempersoalkan niat pihak tertentu dan berkepentingan yang mahu PRU15 diadakan di sebalik cabaran getir dihadapi rakyat menghadapi risiko banjir dan peningkatan kos sara hidup.



Hari Penamaan calon dijangka diadakan pada 22 Oktober sementara hari mengundi pada 5 November, sebelum musim tengkujuh pada pertengahan bulan.



  • Penulis mantan wartawan kanan BH yang kini menetap di Kuala Lumpur.


"Alasan utama yang diajukan ialah Malaysia memerlukan sebuah kerajaan stabil untuk menghadapi kemelesetan ekonomi dunia menjelang tahun depan.

Parti-parti pembangkang mendakwa Umno mahu PRU15 diadakan secepat mungkin atas muslihat dan kepentingan politik. Menurut mereka kerajaan seharusnya menyalurkan sumber kewangan dan bantuan untuk membantu rakyat yang dilanda bencana banjir."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >