Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harris dapat sokongan padu sebagai calon presiden Demokrat

Jul 23, 2024 | 2:31 PM
Kamala Harris
Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris, berkata pencalonannya sebagai presiden daripada Parti Demokrat, mendapat sokongan meluas termasuk daripada tokoh-tokoh terkemuka. - Foto AFP

WASHINGTON: Naib Presiden Kamala Harris dengan cepat menyatukan sokongan daripada Demokrat untuk dicalonkan sebagai presiden Amerika Syarikat, dengan merungkaikan kegawatan yang telah menjejas partinya.

Cik Harris mengesahkan statusnya sebagai calon pada 22 Julai selepas melepasi angka 1,976 perwakilan yang diikrarkan.

Meskipun perwakilan tidak diperlukan untuk menyokong pencalonannya, namun pencapaian itu – dan kekurangan pembangkang – telah membantu mengukuhkan kedudukannya dalam parti Demokrat.

Presiden Joe Biden memilih Cik Harris – saingan utama 2020 yang menjadi pasangannya – sebagai pengganti jelas sejurus selepas Encik Biden mengumumkan pada 21 Julai beliau tidak akan bertanding.

Pengumuman dibuat menyusuli meningkatnya tekanan agar beliau berundur selepas prestasinya dalam perdebatan menimbulkan banyak persoalan tentang kecekapannya untuk memimpin negara.

Cik Harris dengan cepat mendapat sokongan termasuk daripada mantan Presiden, Encik Bill Clinton, dan mantan Speaker Dewan Rakyat, Cik Nancy Pelosi.

Cik Harris juga meraih manfaat daripada keghairahan penderma, mencatatkan rekod AS$81 juta ($109 juta) dalam 24 jam pertama selepas mengumumkan pencalonannya.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk tampil dan memperoleh pencalonan ini dan untuk menang,” kata Cik Harris dalam ucapan kepada penyokongnya di ibu pejabat kempennya di Wilmington, Delaware, pada 22 Julai.

“Jadi pada hari-hari dan minggu-minggu akan datang, saya, bersama-sama dengan anda, akan melakukan segala-galanya untuk menyatukan Parti Demokrat kita, untuk menyatukan negara kita dan untuk memenangi pilihan raya ini,” tegasnya.

Encik Biden, yang dikuarantin di rumah di Delaware selepas diuji positif Covid-19, menyatakan beliau akan bekerja keras untuk membantu naib presidennya.

“Saya masih akan terlibat sepenuhnya. Saya akan melakukan apa sahaja yang Kamala mahu saya perlu lakukan,” tambah Encik Biden.

Cik Harris mengambil alih kempen Encik Biden, yang dinamakan semula sebagai, “Harris sebagai Presiden”, memberikannya akses kepada biaya AS$96 juta.

Perwakilan akan merasmikan undian mereka dalam beberapa minggu akan datang.

Pada 22 Julai, pemimpin parti menggariskan proses pengundian secara maya untuk menetapkan calon menjelang 7 Ogos.

Cik Harris kini akan mengemukakan pasangan penyandang jawatan kepada perwakilan yang sama kelak.

Spekulasi telah berkisar di sekitar sekumpulan orang kulit putih seperti gabenor – Encik Josh Shapiro dari Pennsylvania; Encik Roy Cooper (Carolina Utara); Encik Andy Beshear (Kentucky); Encik Tim Walz (Minnesota); serta Senator Mark Kelly dari Arizona.

Gabenor Michigan, Encik Gretchen Whitmer, menyatakan beliau tidak berminat dengan jawatan itu.

Dalam satu lagi petanda betapa pantas dan luasnya sokongan terhadap Cik Harris, Persekutuan Buruh Amerika dan Kongres Pertubuhan Perindustrian (AFL-CIO) mengumumkan pada 22 Julai bahawa majlis eksekutifnya telah, “sebulat suara menyokong” beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg