WASHINGTON: Cik Kamala Harris sebagai presiden, boleh membawa perubahan terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Tetapi ia tidak mungkin mengubah dasar Amerika Syarikat yang sebenar mengenai Israel, lapor NBC News.
Cik Harris “secara meluas dijangka akan meneruskan” dasar luar Presiden Biden jika dipilih, tetapi “kelihatan lebih bersedia mengkritik Encik Netanyahu secara terbuka dan menyatakan empati terhadap nasib orang awam Palestin di Jaluran Gaza,” kata NBC memetik bekas pegawai dan penganalisis di Washington.
Sumber yang rapat dengan pentadbiran itu berkata bahawa orang Arab-Amerika, pengundi muda dan progresif mungkin lebih terbuka kepada Cik Harris “kerana beliau tidak dilihat bertanggungjawab terhadap dasar Israel Encik Biden,” dan Demokrat berharap “itu akan membantu”.
Jawatan presiden bagi Cik Harris mungkin menghasilkan “postur retorik yang lebih seimbang,” kata Encik Aaron David Miller, zamil kanan di badan pemikir Carnegie Endowment for International Peace.
“Beliau jelas akan lebih bersimpati apabila ia melibatkan isu kenegaraan Palestin dan juga hak-hak Palestin,” kata Encik Miller.
Namun menurut beliau, Cik Harris tidak mungkin membawa perubahan ketara dalam dasar luar.
Berikutan serangan dron dan peluru berpandu Iran pada April, Cik Harris bercakap tentang sokongan Amerika yang “kukuh” untuk Israel dan mengisytiharkan bahawa rakyat Amerika “berdiri bersama rakyat Israel dalam pertahanan terhadap serangan ini”.
Namun, hubungan Cik Harris dengan masyarakat Yahudi kekal kukuh.
Suaminya, Encik Doug Emhoff, ialah pasangan Yahudi pertama seorang naib presiden, dan secara aktif terbabit dengan masyarakat Yahudi dan memerangi anti-Semitisme, lapor NBC News. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg