Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harris dijangka tegas terhadap Israel, sokong Nato

Cik Harris telah beri isyarat, beliau tetap dengan sokongan padu kepada Nato dan terus sokong Ukraine menentang Russia.
Jul 22, 2024 | 3:25 PM
Cik Kamala Harris akan menggunakan pengalaman beliau selaku orang kedua dalam pentadbiran Presiden Joe Biden untuk menguatkan peluangnya memenangi pilihan raya presiden pada November.
Cik Kamala Harris akan menggunakan pengalaman beliau selaku orang kedua dalam pentadbiran Presiden Joe Biden untuk menguatkan peluangnya memenangi pilihan raya presiden pada November. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Naib Presiden, Cik Kamala Harris, dijangka berpegang pada buku panduan dasar luar Encik Joe Biden, mengenai isu-isu penting seperti Ukraine, China dan Iran.

Tetapi beliau lebih tegas dengan Israel berhubung perang Gaza, jika beliau menggantikan Encik Biden sebagai calon presiden bagi parti Demokrat dan memenangi pilihan raya Amerika Syarikat pada November.

Sebagai pendahulu yang jelas untuk pencalonan, selepas Encik Biden berundur daripada bertanding dan menamakan Cik Harris pada 21 Julai, Cik Harris akan membawa pengalamannya semasa memegang jabatan.

Beliau dijangka memanfaatkan hubungan peribadi yang terjalin dengan pemimpin dunia, dan pemahamannya tentang urusan sejagat yang diperoleh semasa menganggotai Dewan Senat dan sebagai orang kedua dalam pentadbiran Encik Biden.

Tetapi bertanding menentang calon Republikan, Encik Donald Trump, Cik Harris juga akan mengalami kelemahan besar – iaitu situasi bermasalah di sempadan Amerika-Mexico yang telah mengganggu Encik Biden dan menjadi isu utama semasa berkempen.

Cik Harris ditugaskan pada permulaan penggalnya, untuk menangani punca penghijrahan tidak teratur yang tinggi, dan parti Republikan telah berusaha menjadikan Cik Harris sebagai punca masalah itu.

Menurut pemganalisis, mengenai pelbagai keutamaan peringkat sejagat, Cik Harris sebagai presiden tidak ubah seperti pentadbiran Encik Biden.

“Beliau mungkin seorang yang lebih bertenaga, tetapi satu hal yang anda tidak boleh harapkan adalah berkaitan sebarang perubahan besar serta-merta berkaitan dasar luar Presiden Biden,” kata Encik Aaron David Miller, mantan perunding Timur Tengah untuk pentadbiran Demokrat dan Republikan.

Cik Harris telah memberi isyarat, bahawa beliau tidak akan menyimpang daripada sokongan padu Encik Biden tentang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), dan akan terus menyokong Ukraine dalam perjuangannya menentang Russia.

Itu berbeza dengan ikrar oleh bekas presiden, Encik Trump untuk secara asasnya mengubah hubungan Amerika dengan perikatan itu, dan keraguan yang ditimbulkannya mengenai bekalan senjata masa depan ke Kyiv. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg