WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Encik Joe Biden, mengumumkan keputusannya untuk berundur daripada bertanding dalam pilihan raya Presiden 5 November ini.
Berikut adalah teks penuh suratnya itu.
Rakyat Amerika yang saya hormati,
Sepanjang tiga setengah tahun yang lalu, kita telah mencapai kemajuan yang besar sebagai sebuah negara. Hari ini, Amerika mempunyai ekonomi terkuat di dunia. Kami telah membuat pelaburan bersejarah dalam membina semula negara kita, dalam mengurangkan kos ubat preskripsi untuk warga emas, dan dalam mengembangkan penjagaan kesihatan mampu milik kepada rekod tertinggi rakyat Amerika.
Kami telah menyediakan penjagaan yang sangat diperlukan kepada sejuta veteran yang terdedah kepada bahan toksik. Meluluskan Akta Keselamatan Senjata Api yang pertama dalam 30 tahun.
Melantik wanita Afrika Amerika pertama ke Mahkamah Agung. Dan meluluskan undang-undang iklim yang paling penting dalam sejarah dunia. Amerika tidak pernah mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk memimpin daripada kita hari ini.
Saya tahu semua ini tidak boleh dilakukan tanpa anda, rakyat Amerika. Bersama-sama, kita mengatasi pandemik yang berlaku sekali dalam satu abad dan krisis ekonomi terburuk sejak Kemelesetan Besar.
Kami telah melindungi dan memelihara demokrasi. Dan kami telah menghidupkan semula dan mengukuhkan pakatan kami di seluruh dunia.
Ia merupakan penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai Presiden anda. Dan walaupun telah menjadi hasrat saya untuk dipilih semula, namun saya percaya demi kepentingan terbaik parti dan negara, saya berundur dan menumpukan perhatian semata-mata untuk memenuhi tugas saya sebagai Presiden untuk baki penggal saya.
Saya akan bercakap kepada negara lewat minggu ini dengan lebih terperinci mengenai keputusan saya.
Buat masa ini, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah bekerja keras untuk melihat saya dipilih semula. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Naib Presiden, Cik Kamala Harris, kerana menjadi rakan kongsi yang luar biasa dalam melaksanakan semua tugas ini.
Dan izinkan saya menyatakan penghargaan setinggi-tingginya kepada rakyat Amerika atas kepercayaan yang anda berikan kepada saya. Saya percaya tiada apa yang tidak boleh dilakukan oleh Amerika – apabila kita melakukannya bersama-sama. Kita hanya perlu ingat kita adalah Amerika Syarikat. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg