BANGKOK: Hartawan binaan Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, secara rasmi memegang jawatan Perdana Menteri pada 7 September, dengan dirinya yang disifatkan sebagai pejuang penggunaan ganja di Thailand, berjaya menyingkirkan dinasti politik dominan negara itu dan menetapkan Pilihan Raya pada awal 2026.
Sejak Pilihan Raya 2023, pejabat tertinggi Thailand telah dimonopoli oleh Parti Pheu Thai dari Dinasti Shinatawatra – sebuah kuasa populis (penyokong rakyat biasa) yang telah lama berseteru dengan golongan promonarki dan protentera.
Ekoran pewaris dinasti tersebut, Cik Paetongtarn Shinawatra, telah dipecat pada Ogos lalu melalui perintah mahkamah, Encik Anutin bergegas menyatukan kerajaan gabungannya dan memenangi undi Parlimen pada 5 September untuk menyekat Pheu Thai daripada jawatan tersebut.
Encik Anutin sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan, tetapi mungkin paling terkenal sebagai arkitek yang meluputkan langkah mensabitkan pengguna ganja sebagai penjenayah di Thailand pada 2022.
Jutawan itu menjadi pemimpin ketiga kerajaan dalam tempoh dua tahun, tetapi telah mengambil alih kuasa dengan sokongan pakatan yang meletakkan syarat supaya beliau membubarkan Parlimen dalam tempoh empat bulan untuk memberi jalan kepada Pilihan Raya baru.
“Saya akan bekerja pada kapasiti penuh saya dengan kejujuran dan moral yang sesuai dengan amanah Baginda (Raja Thailand), untuk kepentingan rakyat dan negara,” kata Encik Anutin sejurus diisytiharkan memegang jawatan sementara itu secara rasmi.
Penggal beliau secara rasmi bermula selepas pengesahan oleh Raja Maha Vajiralongkorn, dibacakan dengan kuat dalam satu majlis rasmi di ibu pejabat Parti Bhumjaithai Encik Anutin di Bangkok.
“Raja telah memperkenankan Encik Anutin Charnvirakul menjadi Perdana Menteri mulai sekarang,” kata Setiausaha Agung Dewan Rendah Parlimen, Encik Arpath Sukhanunth, membacakan titah diraja.
Dalam pada itu, Encik Anutin juga terkenal kerana menguruskan tindak balas penularan wabak Covid-19 di Thailand, negara yang bergantung kepada pelancongan.
Beliau juga pernah menjadi sekutu keluarga Shinawatra, yang telah menjadi kuasa dominan dalam politik Thailand sejak permulaan abad ini.
Encik Anutin meninggalkan gabungan tersebut akibat marah terhadap kelakuan Cik Paetongtarn semasa pertelingkahan sempadan dengan Kemboja.
Mahkamah Perlembagaan Thailand pada 29 Ogos mendapati bahawa kelakuan Cik Paetongtarn telah melanggar etika Menteri, lantas memecatnya selepas hanya setahun berkuasa.
Bapanya, yang juga mantan Perdana Menteri, Encik Thaksin Shinawatra, berlepas ke Dubai dengan menaiki pesawat beberapa jam sebelum pengundian di Parlimen pada 5 September.
Encik Thaksin berkata beliau ke Dubai untuk melawat rakan-rakan dan mendapatkan rawatan perubatan.
Mahkamah Agung akan membuat keputusan pada 9 September dalam kes berhubung Encik Thaksin tinggal di hospital berikutan kepulangannya daripada buangan pada Ogos 2023.
Keputusan mahkamah dijangka boleh menjejas kesahihan pembebasan awalnya daripada penjara pada 2024.
Dalam hantaran di media sosial, Encik Thaksin berjanji akan kembali bagi menghadiri perbicaraan di mahkamah kelak. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg