Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Haruskah Indonesia melarang media sosial untuk kanak-kanak?

Ketagihan pada TikTok, Instagram, dan Snapchat dikaitkan dengan masalah kesihatan mental, gangguan tidur, serta penurunan harga diri di kalangan pengguna muda
Jan 20, 2025 | 5:30 AM
Beberapa orang kanak-kanak menggunakan telefon pintar mereka di tepi jalan raya di Jakarta. Aktiviti ini menjadi pemandangan biasa di ibu kota Indonesia, mencerminkan bagaimana teknologi dan akses Internet semakin mempengaruhi gaya hidup generasi muda di negara ini.
Beberapa orang kanak-kanak menggunakan telefon pintar mereka di tepi jalan raya di Jakarta. Aktiviti ini menjadi pemandangan biasa di ibu kota Indonesia, mencerminkan bagaimana teknologi dan akses Internet semakin mempengaruhi gaya hidup generasi muda di negara ini. - Foto AFP

JAKARTA: Media sosial kini menjadi bahagian penting dalam kehidupan seharian, tetapi ia juga membawa risiko besar, terutamanya kepada kanak-kanak. Ketagihan terhadap platform seperti TikTok, Instagram, dan Snapchat telah dikaitkan dengan masalah kesihatan mental, gangguan tidur, serta penurunan harga diri dalam kalangan pengguna muda.

Menyedari risiko ini, Indonesia mula mempertimbangkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak.

Pada 13 Januari 2025, Menteri Komunikasi dan Digital, Cik Meutya Hafid, mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan peraturan yang menetapkan usia minimum pengguna media sosial. Dalam kenyataannya, beliau berkata, “Kami membincangkan bagaimana melindungi anak-anak di ruang digital.” Presiden Prabowo Subianto juga menyokong penuh rancangan ini, menekankan pentingnya melindungi kanak-kanak dari bahaya dunia maya.

Namun, Cik Meutya tidak menyebutkan usia minimum yang dicadangkan. Ketidakpastian ini mencerminkan cabaran yang dihadapi oleh pemerintah dalam mencapai keseimbangan antara kebebasan digital dan perlindungan kanak-kanak.

CABARAN SYOR HAD USIA MINIMUM

Di Indonesia, usul dari Kementerian Komunikasi dan Informasi (Kominfo) mengesyorkan had usia minimum 17 tahun untuk memiliki akaun media sosial, sejajar dengan Rancangan Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (RUU PDP). Anak-anak di bawah usia ini hanya boleh memiliki akaun dengan persetujuan ibu bapa.

Menurut kajian oleh Persatuan Penyelenggara Jasa Internet Indonesia (APJII), 79.5 peratus penduduk Indonesia mempunyai akses Internet. Dari jumlah itu, 48 peratus pengguna di bawah usia 12 tahun telah menggunakan Internet, termasuk mengakses platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan TikTok. Sementara itu, generasi Z (berusia 12 hingga 27 tahun) mencatatkan akses Internet tertinggi, iaitu sebanyak 87 peratus.

Namun, had umur minimum yang ditetapkan oleh kebanyakan platform media sosial ialah 13 tahun. Walaupun demikian, menurut kajian, banyak kanak-kanak di bawah usia tersebut berjaya membuka akaun dengan memberikan maklumat palsu.

Indonesia boleh mengambil inspirasi daripada negara lain yang telah melaksanakan peraturan serupa. Australia, misalnya, menetapkan undang-undang yang melarang kanak-kanak di bawah usia 16 tahun menggunakan media sosial. Syarikat teknologi yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda sehingga AS$50 juta ($68.5 juta).

Di Amerika Syarikat, beberapa negeri seperti Utah dan California telah melaksanakan undang-undang yang mewajibkan persetujuan ibu bapa sebelum kanak-kanak boleh mengakses media sosial. Walaupun langkah ini bertujuan untuk melindungi kesejahteraan mental dan keselamatan kanak-kanak, keberkesanannya masih dipertikaikan.

Encik Masduki Baidlowi, Ketua Bahagian Informasi dan Komunikasi Majlis Ulama Indonesia (MUI), menyatakan: “Melihat contoh negara jiran seperti Australia, Indonesia perlu segera mengeluarkan peraturan yang sesuai untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya media sosial.”

Media sosial menawarkan banyak manfaat, terutamanya dalam meningkatkan kreativiti dan akses kepada maklumat. Platform seperti YouTube menyediakan tutorial pendidikan yang membantu kanak-kanak di kawasan pedalaman mengatasi jurang pendidikan.

Namun, manfaat ini disertai risiko besar. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan media sosial secara berlebihan boleh menyebabkan gangguan tidur; kebimbangan dan kemurungan; buli siber; pendedahan kepada kandungan berbahaya; eksploitasi seksual dan jenayah siber.

Menurut laporan Katadata Insight Center (KIC), 49 peratus pengguna Internet di Indonesia pernah mengalami buli dalam talian, menunjukkan betapa pentingnya usaha perlindungan di ruang digital.

Encik Haekal Al Asyari, seorang penyelidik dari Universiti Gadjah Mada, menekankan perlunya pendekatan yang seimbang, “Kita mesti mencari cara untuk memastikan kanak-kanak dapat menikmati manfaat media sosial tanpa terdedah kepada bahaya yang tidak terkawal.”

LAKSANA LARANGAN BUKAN TUGAS MUDAH

Melaksanakan larangan media sosial untuk kanak-kanak bukanlah tugas mudah. Beberapa cabaran utama termasuk penguatkuasaan usia minimum.

Ramai kanak-kanak yang berumur di bawah had minimum mungkin memberikan maklumat palsu semasa mendaftar. Seperti yang dinyatakan oleh Encik Heru Sutadi, Pengarah Eksekutif Institut ICT: “Ketiadaan mekanisme pengesahan yang kukuh menjadikan pelaksanaan undang-undang ini sukar. Ramai pengguna mengisi maklumat palsu semasa mendaftar. Ini menjadi cabaran utama dalam memastikan keberkesanan peraturan.”

Cabaran lain termasuk mewajibkan persetujuan ibu bapa untuk membuka akaun media sosial, seperti yang dicadangkan dalam Rancangan Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (RUU PDP). Menurut Encik Semuel Abrijani Pangerapan, Ketua Pengarah Aplikasi Informatika Kominfo, “Komunikasi antara anak dengan ibu bapa perlu wujud sebelum anak memasuki ruang digital.”

PASTIKAN PERLINDUNGAN DIGITAL MENYELURUH

Seorang ibu, Cik Farah, yang mempunyai anak berusia 10 tahun, berkongsi, “Saya membenarkan anak saya menggunakan aplikasi tertentu seperti YouTube Kids. Tetapi saya tetap memantau dan berbincang dengannya tentang apa yang dia tonton.”

Kanak-kanak, terutama yang berusia enam hingga sembilan tahun, masih belum matang untuk memahami implikasi penggunaan media sosial. Mereka cenderung melihat media sosial sebagai alat untuk kelihatan “keren” atau cool di mata rakan-rakan mereka.

Media sosial adalah pedang bermata dua. Walaupun ia menyediakan peluang besar untuk perkembangan kanak-kanak, ia juga membawa risiko serius jika tidak diurus dengan betul. Syarikat teknologi perlu memastikan kandungan yang sesuai untuk kanak-kanak dan melindungi data peribadi mereka.

Sebagai negara dengan akses Internet yang tinggi, Indonesia perlu mengambil langkah tegas untuk melindungi kanak-kanak dalam dunia digital. Seperti yang dinyatakan oleh Encik Masduki: “Kita perlu mendidik masyarakat tentang bahaya media sosial dan memastikan perlindungan digital yang menyeluruh.”

Namun, larangan semata-mata bukanlah jawapan tunggal. Pemerintah, ibu bapa, dan syarikat teknologi mesti bekerjasama untuk mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan inklusif bagi generasi muda.

Dengan pendekatan yang seimbang, Indonesia boleh menjadi contoh bagaimana negara membangun melindungi kanak-kanak di ruang digital sambil memastikan mereka tidak ketinggalan dalam era teknologi.

“Kita tidak hanya boleh bergantung kepada peraturan undang-undang,” kata Encik Pratama Persadha, Penyelidik Keselamatan Siber. “Pendidikan literasi digital perlu ditingkatkan agar anak-anak memahami manfaat dan risiko dunia digital,” ujarnya lagi.

Seperti yang dirumuskan oleh Cik Sinta Dewi Rosadi, Ketua Pusat Undang-undang Siber Universiti Padjadjaran: “Media sosial seperti pisau. Jika digunakan dengan betul, ia bermanfaat. Tetapi jika disalahgunakan, ia boleh membawa bahaya.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg