JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang menimbang untuk mengikut jejak langkah Australia yang baru-baru ini melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah usia 16 tahun.
Menurut Pengarah Kesihatan Mental Kementerian Kesihatan, Dr Imran Pambudi, kajian terperinci diperlukan sebelum keputusan sedemikian dilaksanakan dan proses itu tidak akan berlaku dalam tempoh yang singkat.
“Pelaksanaan larangan seperti ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun,” kata Dr Imran semasa satu perbincangan seperti dilaporkan oleh Katadata.co.id.
Beliau menambah bahawa tanggungjawab pemantauan penggunaan media sosial kanak-kanak kini berada di tangan ibu bapa.
Kebimbangan terhadap kesihatan mental kanak-kanak semakin mendapat perhatian.
Kajian Tinjauan Kesihatan Mental Remaja Kebangsaan Indonesia pada 2023 mendapati bahawa 34.9 peratus remaja di Indonesia atau sekitar 15.5 juta orang, mengalami masalah kesihatan mental dalam tempoh 12 bulan sebelum kajian dijalankan.
Namun, hanya 2.6 peratus remaja yang mengalami masalah kesihatan mental telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling atau kumpulan sokongan dalam tempoh setahun sebelum kajian itu.
Daripada jumlah tersebut, 38.2 peratus menerima bantuan daripada sekolah, termasuk guru atau kaunselor sekolah.
“Anak-anak zaman ini menghadapi cabaran yang jauh lebih besar berbanding generasi sebelumnya,” kata Profesor Siswanto Agus Wilopo, dari Universiti Gadjah Mada yang terlibat dalam kajian tersebut lapor The Jakarta Post.
Beliau turut menekankan bahawa peranti digital dan Internet meningkatkan risiko seperti pembulian siber dan kandungan negatif kepada kanak-kanak.
Langkah Australia melarang media sosial bagi kanak-kanak di bawah usia 16 tahun menjadi penanda aras sejagat dalam penguatkuasaan peraturan terhadap syarikat teknologi.
Larangan itu, yang akan mula dikuatkuasakan pada akhir 2025, mengenakan denda sehingga A$49.5 juta ($43.1 juta) kepada syarikat teknologi yang gagal menghalang akses kanak-kanak ke wadah mereka.
Profesor Siswanto turut menyatakan bahawa pelajaran penting dapat diambil daripada pendekatan Australia.
“Walaupun cabaran perlaksanaan ada, langkah tegas ini boleh menjadi teladan bagi Indonesia untuk melindungi generasi muda daripada kesan buruk media sosial,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg