DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, yang hidup dalam buangan di India sejak digulingkan pada 2024, dilaporkan menetapkan 16 Disember sebagai tarikh kepulangannya ke tanah air, bertepatan dengan sambutan Hari Kemenangan negara itu.

Bagaimanapun, pemerintah Bangladesh menegaskan bahawa dia hanya boleh dibawa pulang menerusi proses ekstradisi dan akan ditangkap sebaik sahaja tiba di negara tersebut.

Portal berita Bangladesh, Daily Waadaa, pada 24 November melaporkan bahawa Hasina telah menetapkan tarikh kepulangannya dan meminta pemerintah Bangladesh mengatur perjalanan beliau dari New Delhi ke Dhaka.

Mantan Menteri Negara bagi Penerangan Bangladesh di bawah pentadbiran Hasina, Encik Mohammad Ali Arafat, mengesahkan perkembangan tersebut kepada agensi berita Anadolu.

“Ya, beliau telah menetapkan tarikhnya. Kini terpulang kepada pentadbiran Bangladesh untuk memudahkan kepulangan beliau,” katanya.

Ini merupakan kali pertama Hasina menetapkan tarikh khusus untuk pulang ke Bangladesh sejak melarikan diri ke India pada 5 Ogos 2024, menyusuli kebangkitan rakyat yang menamatkan pemerintahan beliau selama 15 tahun.

Selain memohon pasport dan dokumen perjalanan baharu, Hasina turut meminta pemerintah mengatur penerbangan pulangnya menggunakan syarikat penerbangan nasional, Biman Bangladesh Airlines.

Pasport beliau telah dibatalkan beberapa bulan selepas melarikan diri ke India.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Jurucakap Sheikh Hasina, Encik Syed Mozammel Ali, berkata pemerintah Bangladesh bertanggungjawab mengatur kepulangan bekas pemimpin itu kerana beliau dibawa ke India menggunakan pesawat Bangladesh ketika digulingkan.

“Setelah beliau dibuang negeri dalam keadaan yang bertentangan dengan Perlembagaan, kini menjadi tanggungjawab pemerintah untuk membolehkan dia pulang ke Bangladesh pada Hari Kemenangan, 16 Disember,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, pemerintah Bangladesh menolak permintaan tersebut dan menegaskan bahawa kepulangan Hasina hanya boleh dilakukan menerusi perjanjian ekstradisi antara Bangladesh dengan India.

Hasina dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya di mahkamah pada November 2025 selepas didapati bersalah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan tindakan keras terhadap kebangkitan rakyat yang dipimpin mahasiswa pada 2024.

Dia menafikan tuduhan tersebut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 1,400 orang terbunuh dalam pergolakan yang membawa kepada kejatuhan pemerintahannya.

Menteri Negara bagi Ehwal Luar Bangladesh, Cik Shama Obaed Islam, berkata pada 23 November bahawa Hasina akan ditangkap dan dipenjarakan sekiranya beliau kembali ke negara itu.

Seorang lagi pegawai pemerintah Bangladesh, Encik Humaiun Kobir, memberitahu Reuters bahawa Sheikh Hasina merupakan pesalah yang telah disabitkan dan sedang melarikan diri daripada hukuman.

“Beliau hanya boleh pulang menerusi perjanjian ekstradisi, dalam keadaan bergari dan di bawah pengawasan ketat,” katanya.

Beliau turut menolak permintaan Hasina supaya pemerintah menyediakan pesawat bagi membawa beliau pulang.

Ketua Pendakwa Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh, Encik Aminul Islam, berkata tidak munasabah bagi seseorang yang telah disabitkan kesalahan dan melarikan diri daripada hukuman mengharapkan pemerintah mengatur kepulangannya.

Kementerian Ehwal Luar India belum memberikan maklum balas terhadap perkembangan terbaru itu.

Pada April, India menyatakan bahawa ia sedang meneliti permintaan Bangladesh untuk mengekstradisi Hasina, selain menyatakan hasrat untuk menjalin hubungan membina dengan pemerintah baharu Bangladesh dan memperkukuh hubungan dua hala.

Pengumuman mengenai rancangan kepulangan Hasina itu dibuat ketika ketegangan politik di Bangladesh semakin meningkat, menyusuli beberapa kejadian keganasan sejak beliau memohon pasport dan dokumen perjalanan baharu pada awal November.

Parti Liga Awami pimpinan Hasina pula masih dilarang menjalankan kegiatan politik di Bangladesh.

Tarikh 16 Disember mempunyai nilai sejarah dan simbolik yang besar bagi rakyat Bangladesh.

Hari Kemenangan disambut setiap tahun bagi memperingati penyerahan kalah tentera Pakistan pada 1971, yang menamatkan perang pembebasan selama sembilan bulan dan membuka jalan kepada kemerdekaan Bangladesh.

Bagaimanapun, pemerintah Bangladesh menegaskan bahawa tiada perbincangan rasmi dengan India mengenai penghantaran pesawat bagi membawa pulang mantan pemimpin itu.

“Bangladesh tidak akan melayan permintaan yang tidak masuk akal seperti itu,” kata Encik Kobir. – Agensi berita.