Topik diikuti
Pergi ke BHkuHelikopter hilang bawa 8 individu di Kalimantan Barat
Helikopter hilang bawa 8 individu di Kalimantan Barat
Helikopter milik Matthew Air Nusantara berlepas dari wilayah Kalimantan Barat menuju ke destinasi lain dalam wilayah sama sebelum putus hubungan sekitar 8.10 pagi, 16 Apr
Helikopter hilang bawa 8 individu di Kalimantan Barat
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia melancarkan operasi mencari dan menyelamat selepas sebuah helikopter yang membawa lapan individu dilaporkan hilang hubungan pada pagi 16 April.
Helikopter milik syarikat tempatan Matthew Air Nusantara itu berlepas dari wilayah Kalimantan Barat di Pulau Borneo menuju ke destinasi lain dalam wilayah sama sebelum terputus hubungan sekitar 8.10 pagi.
Menurut ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, I Made Junetra, helikopter tersebut membawa dua kru dan enam penumpang.
“Kami telah mengerahkan kira-kira 20 anggota penyelamat ke lokasi terakhir yang dikenal pasti,” katanya kepada AFP.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah helikopter Tentera Udara Indonesia telah digerakkan bagi membantu operasi pencarian dari udara.
Pasukan penyelamat kini menumpukan usaha di kawasan lokasi terakhir helikopter dikesan, dengan harapan dapat mengesan kedudukan sebenar pesawat tersebut secepat mungkin.
Setakat ini, punca kehilangan hubungan masih belum diketahui.
Indonesia, sebagai negara kepulauan terbesar di Asia Tenggara, sangat bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan ribuan pulau.
Namun, negara itu sering berdepan cabaran dari segi keselamatan penerbangan, dengan beberapa insiden maut dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada September 2025, sebuah helikopter yang membawa enam penumpang dan dua kru terhempas sejurus berlepas dari Kalimantan Selatan, turut meragut semua nyawa di dalamnya.
Kurang dua minggu selepas itu, empat lagi individu terkorban dalam nahas helikopter di daerah terpencil Ilaga, Papua.
Insiden terbaru ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan di Indonesia ketika operasi mencari masih giat dijalankan. – Agensi berita.
