Pesawat terhempas di Sulawesi Selatan: Kesemua 10 mayat ditemui
Pesawat terhempas di Sulawesi Selatan: Kesemua 10 mayat ditemui
Pesawat ATR 42-500 turboprop milik kumpulan penerbangan Indonesia Air Transport putus hubungan dengan kawalan trafik udara pada 17 Jan
JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia pada 23 Januari mengesahkan telah menemukan kesemua 10 mayat penumpang sebuah pesawat pemantauan perikanan yang dilaporkan hilang di wilayah Sulawesi Selatan sejak hujung minggu lalu, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia.
Pesawat jenis ATR 42-500 turboprop milik kumpulan penerbangan Indonesia Air Transport (IAT) itu terputus hubungan dengan kawalan trafik udara pada 17 Januari sekitar 1.30 tengah hari waktu tempatan ketika berada di kawasan Maros, Sulawesi Selatan.
Pesawat berkenaan disewa oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia untuk menjalankan misi pemantauan udara aktiviti perikanan. Terdapat tujuh kru dan tiga penumpang di dalam pesawat tersebut, dengan kesemua penumpang merupakan kakitangan kementerian berkenaan.
Pegawai Badan Mencari dan Menyelamat Sulawesi Selatan, Encik Andi Sultan, berkata dengan nada sebak dalam satu kenyataan video bahawa pihak berkuasa telah menemukan mayat mangsa kesembilan dan kesepuluh pada awal pagi 23 Januari.
“Kami menemukan mangsa kesembilan dan kesepuluh pada awal pagi ini. Proses pemindahan masih diteruskan,” katanya.
Agensi itu kemudiannya mengesahkan menerusi akaun Instagram rasminya bahawa kesemua 10 mangsa telah ditemui, sekali gus menamatkan operasi mencari mangsa hidup.
Sebelum ini, pasukan penyelamat tempatan telah menemukan serpihan pesawat di beberapa lokasi berasingan di sekitar Gunung Bulusaraung, di wilayah Maros.
Kawasan pergunungan itu terletak kira-kira 1,500 kilometer di timur laut Jakarta dan terkenal dengan bentuk muka bumi yang mencabar.
Keadaan geografi yang sukar serta cuaca tidak menentu dilaporkan menyukarkan operasi pencarian dan pemindahan mangsa, memaksa pasukan penyelamat menggunakan pendekatan berperingkat bagi mengakses lokasi serpihan.
Sementara itu, Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT) mengesahkan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian tersebut.
Ketua KNKT berkata kepada media tempatan bahawa kandungan perakam data penerbangan atau kotak hitam yang ditemui baru-baru ini sedang dianalisis.
Siasatan itu bertujuan mengenal pasti faktor teknikal dan operasi yang mungkin menyumbang kepada kehilangan pesawat berkenaan.
Kejadian ini merupakan kemalangan maut pertama melibatkan pesawat ATR 42 di Indonesia dalam tempoh lebih 10 tahun.
Pesawat ATR dihasilkan oleh syarikat pembuat pesawat Franco-Itali, ATR.
Siri kemalangan tersebut terus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan penerbangan domestik di Indonesia, khususnya bagi penerbangan yang melibatkan laluan mencabar di kawasan pergunungan dan kepulauan.
Pihak berkuasa Indonesia dijangka mengeluarkan laporan awal siasatan dalam tempoh terdekat, sementara keluarga mangsa menunggu penjelasan rasmi mengenai punca tragedi yang meragut nyawa semua penumpang pesawat pemantauan tersebut. – Agensi berita.

